Tuesday 1 January 2013

Aku [akuan] oleh MAS

Aku ialah aku
bukan dia bukan dikau
dan bukan pula siapa-siapa,


jangan aku disamakan
dengan segala yang lain!


Syair kutulis sajak pun kutulis
kusyairkan apa yang aku fikir
kusajakkan apa yang aku hendak


tapi aku
bukan pendedah bukan pendeklamasi
bukan pengeritik penilai puisi,
aku bukan penyair/pemuisi
aku penulis cuma...


jangan aku disamakan
dengan penyair yang lain
walaupun aku suka pada puisi,


Cerpen kutulis novel pun kutulis
kucerpenkan apa yang aku mahu
kunovelkan apa yang aku tahu


tapi aku
bukan cerpenis pun bukan novelis,
aku pengisah/penceritera cuma...


jangan aku disamakan
dengan cerpenis/novelis yang lain
walaupun aku minat pada cerpen/novel.


Sasterais aku bukan
sasterawan pun aku bukan
walaupun aku cinta pada sastera...


itulah barangkali aku
kalau kalian mahu tahu!


MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

0 comments :

Post a Comment