Wednesday 23 January 2013

Kekawan oleh MAS

INSIDEN

Ada kekawan
mahu jadi champion gelanggang
suara sumbarnya menjalang lantang
menegang dada jantan minta ditantang:

malangnya
pabila diundang dia tidak datang.

Ada rerakan
mahu jadi tunggak juara
langkah sumbangnya merancak rata
mendongak bongkak mencabar siapa sahaja;

sayangnya
pakala diuja hidungnya tiada ketara.

Ada teteman
mahu jadi partner sejoli
suara membantah tak pernah bunyi
langkah durhaka malah jauh sekali;

tetapi
ketika teruji kita ditinggal pergi!

PROBLEM

Mana kekawan mulia
          yang lurus segala kata bicara
          yang sedia berdebat hangat memecah sengketa?

Mana rerakan secita
          yang tetap sepakat seiya sekata
          yang rela semati bila tiba ketika?

Mana teteman budiman
          yang tak ganjak setapak masa derita
          yang kekal kebal menanggung segala petaka!

KONSEKWEN

Di zaman yakjud wa makjud, kini
          kawan sepakat tak banyak lagi
          rakan sejihad sukar dicari
          teman selahad jauh sekali...

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

0 comments :

Post a Comment