Tuesday 27 November 2012

Aku Hanya Gadis Biasa oleh Nurdiyanah Samsuri

aku hanya gadis biasa

aku hanya gadis biasa
menginginkan yang tidak luarbiasa

aku bukan Puteri Gunung Ledang
yang meminta hantaran berdulang
aku hanya orang yang sedang
mendamba cinta yang menjulang
mahalkah itu?

aku bukan Cenderawasih
yang pinginkan kerabu dari bintang
aku sekadar seorang kekasih
yang inginkan kesetiaan sebidang
mustahilkah itu?

aku seorang gadis
yang tidak mengharapkan majis
menghargai butiran cinta yang percuma
berlandaskan perasaan cuma
bahagia... sukarkah itu?

aku hanya gadis biasa
menginginkan yang tidak luarbiasa

Nurdiyanah Samsuri

Sunday 25 November 2012

Cubalah... Oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

kalau sudah sampai waktunya, silakan
ambillah, jangan biarkan
pergilah, jangan dihalang
yang penting..kita cuba!
dan cuba itu selalu cuba-cuba untuk bermesra dengan kita
kadang kita terlalu malu dengannya
dan segan untuk mencuba
lalu segala cubaan pun tak berani kita berdepan dengan
dan...benar-benar menjadi cobaan!
dan kalau cuba selamanya yang kau mahukan,
kukira jangan
takut nanti,
yang kau cuba kelak menjadi madat
atau pelerai jiwamu
sungguh ironis!
kita terus mencuba!
dan kemana perginya yakin
setelah beribu tahun mencuba?

Muhd Andi Mohd Zulkepli

Kita Bukan Generasi Cengeng Oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Cukuplah dengan cengengan-cengengan meluat!
Orang-orang membutuhkan orang-orang yang kuat!
yang berani menghadap penentangan
yang berani menghadap kritikan
yang berani berdepan ketidakadilan
yang berani melawan penindasan
yang berani memperkatakan dan berani melawan
yang berani berdepan kematian
dan kehidupan!
Cukuplah dengan leretan-leretan yang tak sudah-sudah berlarutan!
Kita butuh suara yang tegas berucap
kita butuh suara yang ampuh mengkedepankan
kita butuh suara yang berani melawan
dan terus melawan
tanpa sempadan waktu, usia
dan jalan
Kita bukan generasi cengeng
yang terus cengeng dalam menghadap kehidupan!
Kita bukan generasi cengeng
yang terus tunduk berserah dan tunduk memberi dan tunduk melentok
pada apa namanya kenikmatan materi yang tiada batasnya
pada apa namanya kenikmatan myopis dan yang terlalu rendah dan meloyakan
pada apa namanya kenikmatan yang tahapnya di aras spesis hewan
Kiita bukan generasi cengeng
yang kalau bercinta pun sekadar cukup sweet dan aww like nya semata!
yang kalau bercinta pun tidak kenal arti keteguhan dan kesetiaan
dan airmata kekuatan rahib Sang Pencinta
yang kalau bercinta pun hanya sekadar pada fizik dan pada namanya segala bentuk rupa materi
yang kalau bercinta pun hanya mampu mengucap cinta tentang yang ingin dimiliki dan bukan untuk 'bersama dengan'
yang kalau bercinta pun hingga hilang kosa kata kemanusiaan, keadilan, kesetaraan, kemakmuran, kepedulian, kesedaran
Kita bukan generasi cengeng yang terus takut menghadap Tuhan
tapi tak sekali pun berani melawan pembodohan, pemiskinan, penjahanaman pemikiran dan etika kemanusiaan
yang cengengnya hidup beragamanya
hanya mampu mengucap kata dosa dan pahala
dan menghukum siapa masuk syurga dan siapa terhumban ke neraka
di saat terjadinya penginjakan ke atas harakat kemanusiaan!
Kita bukan generasi cengeng
yang terus berdalih dengan segala macam alasan
untuk tidak membangunkan bahasa dan kesusasteraan
dan sahsiah dan kepedulian siasah
dan segenap jalur dan alur kebudayaan
untuk mudah kata...membangkitkan keintelektualan
yang harus hadir dalam setiap anak cucu di bumi ini
yang miliknya bukan hanya para elit dan kaum inteligentsia
tapi pengintelektualan itu harus berlaku di setiap dasar dan setiap peringkat!
dan pengintelektualan apakah itu???
nah, menjadikan manusia yang celik dan sedar
yang mampu berdiri di atas kaki sendiri
dan mencermati dan menekuni
baik dia seorang wali mahupun seorang abdi
dan pengintelektualan itu adalah pencerahan
dan pencerahan itu adalah liberasi
dan liberasi itu adalah pembebasan
dalam semangat ruh kemanusiaan!

Muhd Andi Mohd Zulkepli

Lagak Menerjang Yang Segak Oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Ku tak mau rayu rengek cengeng berterusan
ku tak mau ratap rawan hiba berpanjangan
ku tak mau longlai layu bungkam memamah usia
Ayuh! Persetan dengan kejahilan!
Ini zaman membutuhkan lawan yang berisi kekritisan
yang bertunjang kecermatan
tapi lagak membelahnya bagai halilintar memecah keheningan!
Tapi awas!
Jangan rasuk! Jangan menggila! Jangan membabi buta!
Kita melangkah menerjang, ayuh!
dengan kecermatan
dengan ketajaman
bagai halilintar memecah kesayuan!
Ini zaman bukan untuk terus membungkam durja
Ini zaman darah anak muda harus disalur menjadi tenaga bercahaya
buat masa depan mereka
dan masa depan...mereka!

Muhd Andi Mohd Zulkepli

Saturday 24 November 2012

Variasi Versi Oleh Fariz Husna

Ingat sketsa derhaka sombong Iblis
Kontrak muamalat dengan Tuhan hingga kiamat
Dendam goda anak cucu Adam sampai hangus kerak neraka
Andai pastinya berlaku, adakah kita akan percaya?

Pemimpin dunia puncak perdana
Yang muncul merobek titian pelangi keadilan
Terlaksana kasta memuja dewa palsu hingga marhain manusia
Alkisah rentetan sejarah maka jelas tipu daya alasan bertujuan
Jika tercatat itu semua, adakah kita semakin percaya?

Syahdan tercipta wira sakral dalam kabus kekalahan
Laungan merdeka retorik nasionalisme agungkan elitisme
Hunus keris buat Melayu gagah di mata dunia
Walhal buta disula korupsi hasad dengki kuasa egoisme
Walau sedar hakikat ini berleluasa, adakah kita yakin percaya?

Menegakkan pengaruh lidah kolonial berbisik feudal
Membina jati diri insaniah berbakat global universal
Teknologi mangkin maju ilmiah mencakar langit
Jenayah semakin intelektual juga metafizikal
Tanpa sedar, alam milik manusia bukan milik Tuhan

Nah, kita yang bina dunia bangsa bersatu, bukan lagi Tuhan
Kita rasmikan agama sebagai musuh utama kebenaran
Arak itu khusyuk, dadah itu ghairah, rokok itu semangat
Wajarkah kita percaya?

Wayang kulit babi sandiwara erotis ilham pujangga kapitalis
Sajikan bulan bintang kejora mimpi bidadari bak kayangan Eden
Berakhir impian semua saat terlahir masyarakat miskin masa

Mungkin kita yakin dan tahu, haruskah kita terus percaya?
Menakluk akal budi sehingga berani sangsi sang jauhari
Segala harum nikmat iman hanya rugikan jangka hayat

Akhir kalam terukir saham harta insurans di batu nisan kita
Tak pernah terhitung amalan dosa pahala jadi laporan timbang
Saat itu berlaku, adakah kita mahu percaya?
Retak seribu jati berpegang pada dahan rapuh

Mata terbeliak aura bencana mengetuk keras pintu balkoni
Gamam lagi saksikan kezaliman angkara setiap media warta
Yang percaya segala sesuatu kepercayaan!

Mungkin fenomena 2012 tidak akan berlaku
Jauh lagi mentari kiamat terbenam yang kita sangka
Nescaya mutiara agama bukan lagi kepercayaan
Hanya ritual manusia bertaubat
Mewah darjat & mata wang itulah nirvana kita

Pergilah kepercayaan
Jangan buat kita takut lagi!
Kerana kau ilusi minda mimpi ngeri!

Pergilah kepercayaan
Kita tidak ingat dan inginkan mati!
Kita mahu hidup seratus tahun lagi!
Kerana kau dilema kalbu sengsara sepi!

Nyahlah kepercayaan!
Sengat kau berbisa hilang seribu bahasa
Kerana kau variasi versi

Fariz Husna

Wednesday 21 November 2012

Di Sebuah Alam oleh Hajis Salim

Sebuah padang luas
berumput  bersemak dan berhutan belantara
menjadi tempat haiwan berhuni pada buminya
manusia merasa gersang pada bencana dan mala petaka
namun ada yang mahu berada dan mengenal siapa mereka.

Harimau dan singa mengaum
gajah meraung
burung bersiulan dan binatang malam sentiasa tahu waktunya
dalam dunia yang angin juga sendu merasakan romanya.

haiwan manusia dan tumbuh-tumbuhan
dalam lapangan senda gurau yang menakjubkan
berlaku dan terus berlaku
tidak kira di titik mana edaran dan kedudukan
tidak kira di mana kemahuan dan kecitaan

Hajis Salim

Durian oleh Hajis Salim

Raja segala buah
Itulah gelaran baginya
Sudah lama diterima
Walaupun ada yang memberontak tidak mahu bersama.

Durian
Hidangan alam
Membawa cerita dan penentuan
Bagi kita
Manusia dan Insan
Dan yang dapat dimengertikan
Raja Segala Alam.

Hajis Salim

Bicara Teman Padaku oleh Putri Lily

Bicara seorang teman
Katanya bangkitlah
Keluarlah dari kelompok yang membelenggu
Bukan hanya membelenggu  diri
Malah membelenggu jiwa dan hati

Katanya lagi
Apa dapatnya mendiamkan diri?
Apa untungnya dengan bersembunyi?
Ada bakat tidak diserlah
Ada ilmu tidak dikongsi
Ada kebijakan hanya disimpan
Untuk apa?

Seterusnya dia berkata
Majulah setapak ke hadapan
Ikuti tiap kemajuan
Rasai nikmat kebebasan
Apa guna ada kecanggihan
Jika masih kolot tak berfikiran

Kata-kata teman meresap jua di hati
Lantas ku cuba memulai
Setapak ke hadapan kini ku langkahi
Memang nikmatnya tidak terperi
Namun bahagia sesaat cuma
Terkapar ku mencari kebenarannya

Nikmat yang ada meragut ketenangan
Nikmat yang menghancurkan kedamaian
Aku hilang semua yang ku pertahankan
Prinsip, pendirian dan kebahagiaan
Yang menjadi kebalikannya hanyalah
Sifat iri, cemburu, sindiran dan prasangka
Terpaksa kerana dipaksa
Mengikut tanpa rela
Semuanya gara-gara mahu menjaga kata
Apakah itu perkongsian namanya?

Kekadang kekecewaan yang melanda
Menginginkan ku pulang ke tempat semula
Biarlah tidak mengenal kecanggihan
Asal semua yang ku lalui
Lebih aman dan lebih ikhlas
Ikhlas untuk segalanya...

Putri Lily

Kelu oleh Izwan Manan

Gerun aku melihatnya
Gerun aku mendengarnya
Gerun engkau membicarakannya
Satu persatu terkulai jatuh
Satu persatu terduduk diam
Satu antara satu termanggu, terganggu, terbelenggu
Tunggu, tunggu, tunggu...
Iya, kamu hanya bisa menunggu...
Apa lagi dayamu...
Apa lagi mahumu...
Apa lagi, apa lagi...
Simpan sahaja alasanmu...
Buang sahaja helahmu...
Tutup sahaja mulutmu...
Yang benar pasti benar dalam kebenaran...
Yang salah tetap disalahkan dalam kesalahan...
Yang dituntut akan menuntut atas dasar tututan..
Yang menuntut akan dituntut atas dasar tuntutan..
Tiada yang merelakannya...
Tiada yang melekakannya...
Kau lihat, kau pandang, kau tenung dan kau renung..
Pasti kau akan nampak...
Bukan dengan matamu,
Bukan dengan hatimu,
Bukan dengan imaginasimu,
Bukan dengan fikiran logismu,
Bukan dengan akal warasmu,
Semua bukan...
Hanya sedikit yang sedar,
Tapi ramai yang mendengar,
Hanya sedikit yang mahu,
Tapi ramai yang tahu,
Hanya sedikit yang yakin,
Tapi ramai yang makin
Lupa, Leka dan Lalai,
Cemas tapi cuai,
Cuba tapi gagal,
Tiada yang kekal,
Mungkin mereka belum kenal,
Tak kenal maka tak cinta,
Takkan dapat kalau tak meminta,
Mintalah petunjuk,
Mintalah jalan keluar,
Mintalah bahagia,
Mintalah apa saja...
Jangan membisu...
Jangan kelu...

Izwan Manan

Tuesday 20 November 2012

Jam Kekita oleh Nurul Arini Junaidi

Kuasa masa
Tidak lambat
Tidak cepat
Tidak lena
Tidak jaga
Tidak kejar
Tidak tunggu
Tidak bisik
Tidak seru
Tidak takut
Tidak berani

Semakin baru
Jadi lama,
Terus tua
Semakin sabar
Jadi gusar.

Ia mengambil
Tiada memberi

Nampaknya masa
Tidak mengizin.

Masa manusia,
Masa yang sama
Dan cukup lain.

Nurul Arini Junaidi

Beratur Ke Pintu Bumi oleh Noridah Kamari

aturannya panjang berpusar memutar
berbelit melilit mengelilingi bumi
yang dahulu tak semesti didahulukan
yang kemudian kadang di kepala barisan
tak perlu engkau tercengang tunggu giliran
tak mungkin engkau tahu bila masamu
teruskan sahaja membina kekayaan
untuk hidup seribu tahun lagi
pabila tiba waktumu untuk beredar lalu
akan ada pengiring datang menjemput
nyamanlah engkau jika dia berbisik mesra
tanda dia tahu engkau sudah siap sedia
selalu sedar dia merenung wajahmu
tujuh puluh kali sehari tak jemu-jemu
risaulah engkau jika dia jerit marah dan hina
kerana engkau tamu yang lupa tempatmu
melayan diri sendiri bagai tuan rumah
hingga engkau alpa dengan peranan sebenar
lalu dihalau pulang pabila sudah lewat malam
dialah penghisab masa usiamu
supaya tidak terlampau waktu
bagai guru menyelia ujian
“berhenti!” jeritnya di akhir masa
bagai pengadil di tengah padang
meniup seruling tamat permainan
tak kira menang atau kalah kumpulanmu
bagai penjaga masa di radio
memasang anthem negara di akhir siaran
bila namamu dipanggil
sebelum rebah kedua kaki
sebelum sesak rongga dada
sebelum kelu ligat lidah
lafazkanlah anthem hidupmu
yang engkau pegang sepanjang hayat
walau sekeras mana nafasmu
selemah mana lututmu
sekejang mana lidahmu
mungkin engkau sedang berenang
bersukaria waktu lapang
tiba-tiba ombak datang mengganas
menarikmu ke bawah arus
lalu namamu dipanggil
balik jeritan rakan-rakan
mungkin engkau di depan televisyen
tawa geli hati tonton seloka
badai ribut di luar jendela
melonggarkan tanah pasak rumahmu
menggegar duniamu di atas sana
hingga rebah runtuh di kaki bukit
lalu namamu dipanggil
balik deraian batu dan besi
mungkin engkau sedang bertugas
di luar negara beri ceramah
malamnya duduk di hotel terkemuka
tiba-tiba diserang segerombolan manusia
bersenjata bersenapang datang menyerbu
dan engkau jadi punca
amarah mereka pada dunia
lalu namamu dipanggil
balik hujan peluru berdesir lalu
mungkin engkau dalam jalan pulang
setelah sehari berhempas pulas
meluncur laju untuk bersama ayah dan ibu
dan jalanraya menjadi danau kerikil
gaung ngeri menanti mangsa
tergelincir, terlanggar dan dilanggar
lalu namamu dipanggil
balik derit roda dan brek tayar
mungkin juga engkau antara yang bertuah
punya masa beristeri dan beranak
mungkin juga bercucu dan bercicit
lihat mereka berijazah, berkerjaya dan berkeluarga
masa pula mencemburuimu
memamah dirimu jadi lemah dan lesu
penyakit datang berkembar membiak
hingga tiba harinya tubuhmu tak mampu
menggendong jerih perih perit lagi
lalu namamu dipanggil
di balik sayup syahadah
bisikan anakmu di cuping telinga
tatkala engkau tercungap di pangkuannya
alangkah, bertuah!
mungkin engkau antara yang terpilih
dihadiahkan penyakit dengan tarikh akhir
barah sudah merebak tiada ubatnya
tiga hingga enam bulan kata pakar
mulalah engkau cermat dengan masa
menghayati segala nikmat yang dipinjamkan
memisah antara sementara dan abadi
kerana engkau mula sedar
masamu sudah bergaris tamat
engkau mahu siap sedia
giliranmu semakin terasa
alangkah, bertuah!
atau mungkin engkau seperti aku
terima berita kematian bertalu-talu
baru terfikir esok mungkin bukan milik diri
lalu engkau mula cermat dengan tindak
menginsafi segala silap dan salah
hanya untuk mengumpulnya semula esok hari
apatah lagi pada awal tahun baru
dihadiahkan sebuah kalendar biru
tanda harapan untuk hidup satu tahun lagi
kita lalui hidup ini
antara sedar dan lupa
bila-bila saja nama boleh dipanggil
untuk menjengah pintu bumi
hakikatnya kita sedang beratur
barisan panjang melilit berbelit
mengelilingi benua dan lautan
nama kita pasti dipanggil
untuk melangkah batas bumi
hanya tunggu masa
dan entah bagaimana
Noridah Kamari

Berwaspada! oleh Muhd Hafiz Yusof

Berwaspada!
dengan apa yang diminta
kerna yang diminta mungkin dipunya
bersama juga
perkara tidak diinginkan
diberi kesemuanya
diperoleh kesemuanya
namun semua dipunya
tidak mungkin diingini,
berwaspada!


Muhd Hafiz Yusof

Hujan Keinsafan oleh Izwan Manan

Titisan hujan mengalir tiada hentinya
Membasahi bumi yang tandus
Bagai mengalirnya airmata seorang hamba
Mengenangkan dosa-dosanya

Tiada akan hujan itu berhenti
Selagi mana Yang Maha Kuasa mengkehendakinya
Begitulah pengampunan kepada hamba-hambaNya
Sentiasa akan diberi atas RahmatNya

Maka begegaslah hamba itu
Mencapai pintu rahmat yang masih terbuka
Dengan keinsafan dan air mata yang mengalir
Bak titisan hujan yang mengalir tiada hentinya
Membasahi iman yang tandus...

Izwan Manan

Aku, Insan Kerdil oleh Erdiah Samad

Terdampar aku di titian itu
Meratap kesedihan yang sungguh pilu
Walau bebannya hanya satu
Namun, duri sembilu, jumlahnya seribu

Airmata terus jatuh ke riba
Memikirkan kepedihan membungkam di jiwa
Pernafasan tersekat seketika
Kerana bukan mudah menelan segalanya

Aku hanya insan kerdil di bumi Tuhan
Mengharapkan kehidupan yang penuh ketenangan
Mendambakan ketabahan mengharungi dugaan

Erdiah Samad

Hijrah oleh NurPertunjuk

Tiba masanya dirimu ku tinggalkan
Sinar rembulan memberi isyarat hujung pertemuan
Batas waktu setia memisahkan
Walau kau meraung meminta belas kasihan
Tiada kan ku toleh menatap kepura-puraan
Yang selama ini menyelubungiku dalam kealpaan.

Tiba masanya ku tebarkan layar
Bendera Iman akan ku kibarkan
Bersama laungan azan memulakan perjalanan
Menuju daratan indah nan abadi.

Bersamaku kan ku bawa
Anak bangsa yang lapar dahaga
Ditinggalkan di tanah gersang
Oleh orang-orang tua yang bergelut-gelutan
Memamah dedaun kering taburan sultan.

Bersamaku ibu-ibu kan tersenyum riang
Diberi wewangian semerbak kasturi
Dibalut ihram penuh kesucian
Selembut sutera mengubat kedukaan.

Hari ini ku siapkan bahtera
Dengan muatan doa dan pesan
Buat bekalan ummah di akhir zaman
Supaya mereka tiada lemas di tengah lautan
Fantasi dan parodi umpanan syaitan.

Bismillahirahmanirrahim...
Dengan izinMu aku mulakan perjuangan.

Dalam Kematangan... oleh Khaireen Faezah

Jika engkau perlu tahu,
akhlakku adalah pakaianku,
tutur bicaraku adalah perhiasanku,
ketabahanku adalah keayuanku,
keimananku adalah kekuatanku,
akalku adalah ketangkasanku,
keikhlasanku adalah kelembutanku,
ketaqwaanku adalah kesucianku,
keperibadianku adalah kemuliaanku,
keyakinanku adalah kecantikanku dan...
keistimewaanku adalah Aku... kerana sesungguhnya Aku seorang wanita...

Khaireen Faezah

Di Saat Kita Berharap Pada Masa Depan Dan Generasi Masa Depan... oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Anakku, jangan kau risau
kelak nanti di saat kelahiranmu
aku pasti kan berkongsi denganmu sejuta makna kehidupan
jangan kau ragu
dan jangan kau takut
kita bertatih bersama memahami hidup
dan yang penting sekali, hai anakku
jangan kau takut
untuk berdepan dengan hidup
jangan kau kira kau bodoh tak berilmu
bukalah matamu, pasangkan telingamu, bukakan hatimu
dan itulah kuasa ke'akuan'mu
dalam mencuba mentafsir mimpi dan realiti
dan jangan sekali-kali kau curangi
akan makna sebenar kemanusiaan
kalau itu wasiat terakhirku
sebelum kau meneruskan langkah perjuanganku
karena anakku,
sekecil manapun dirimu
ingatlah
takkan ada kurikulum pendidikan yang mampu menebarluaskan sayap kemanusiaanmu
melainkan hadirnya insan-insan tercerah
yang bakal menginspirasimu
karena kecelakaan kita hari ini adalah
kemunafikan dan kejalangan
dalam mencerdaskan intelekmu!

Muhd Andi Mohd Zulkepli