Sunday 30 September 2012

Cinta Semalam oleh Hafiza Hussin

Siapa tidak kenal erti cinta?
yang bisa merubah dunia
siapa tidak perlukan cinta?
adakah aku orangnya?
bukanku tidak perlukan cinta
tetapi kuserik untuk terluka


tatkala hari berganti malam
cuaca dingin kelihatan muram
kedengaran suara curahan ilham
inginku berbisik ke seluruh alam
menceritakan kenangan silam
tetapi takut akan dosa semalam


dapatkah hidupku mengecapinya?
atau bertemu di akhirat sahaja?
aku berserah pada Yang Esa
aku insan yang sangat lemah
yang menanti secawan air cinta
ketika dahaga datang melanda


Hafiza Hussin

Entah oleh Muhd Herwanto Johari

entah yang bagaimana yang engkau butuhkan
entah yang mentah
atau
entah yang ranum rasa
hingga menelan petah

entah yang mentah
atau
entah yang dicecah perisa
hingga larut dalam resah

entah yang mentah
atau
entah yang secukup fasa
hingga pendulum terhayun rebah

entah yang mana yang kau butuhkan
entah

Muhd Herwanto Johari

Si Nelayan Ke Laut Jua oleh Khaziah Yem


(Dinyanyikan dan digubah oleh Cikgu Karmin)

Si Nelayan memandang jauh ke laut luas
Dipandang ke langit, ditenung riak ombak
Pagi ini langit mendung, angin seolah membawa khabar ribut
Namun hatinya nekad menuju ke laut


Hidup harus diteruskan...

Mendung mega tidak bererti turunnya hujan
Kuat angin belum tentu datangnya ribut
Bersiap si nelayan berserta bekalannya
Cukup untuk menahan lapar dan dahaga

Penyambung nyawa...

Akur dia pada bahaya
Akur dia pada cubaan
Akur dia pada kekecewaan

Semua itu asam garam kehidupan...

Menjauh bererti patah harapan
Hilang pegangan
Hilang sumber pencarian
Hilang sumber kehidupan

Patah tumbuh hilang berganti...

Sekuat mana tenaga Si Nelayan
Badai dan ribut hendak dilayan
Khudrat yang ada menempuh cubaan
Yang kuat ternyata semangat dalaman

Namun Si Nelayan harus bijak
Membuat keputusan
Ilmu penentu tabah sulaman
Mengait naluri rasa bertujuan
Doa merangkul semua tindakan

Mendung mega berarak perlahan
Angin ribut reda seakan
Perahu bergerak mengorak tujuan
Bertekad kuat meneruskan kewajipan.

Khaziah Yem

Thursday 27 September 2012

Tikus Kritikus oleh NurPertunjuk

Sebar virus
Bibir mulus
Bual tak putus
Tenggorok tak haus
Wajah nampak serius
Hati tak tulus


Tikus Kritikus

Terang jadi kabus
Kebenaran dibungkus
Pertalian diputus
Hanya mahu nampak bagus
Nista disisip rakus


Tikus Kritikus
Wabakmu mesti dihapus


NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk

Wednesday 26 September 2012

Keramat oleh Zahir Ayub

sedangkan nujum tersilap menafsir nubuat,
inikan aku, putera, yang bergantung pada firasat,
tersemat, di dalam lubuk hati
kutakut tersesat,
ramalan, khayalan, kekaburan,
dalam minda yang berangan-angan.

bila emosi bergolak,
penaku bergerak.

Zahir Ayub

(Diinspirasikan oleh pengalaman mementaskan Awallah Dondang 2012 - Nubuat Dewa Pujangga)

Lumba Dunia oleh Erdiah Samad

Biar mereka berlumba-lumba,
Mengejar kekayaan berlipatganda, 
Untuk duniawi semata-mata, 
Makin ditambah, makin sedikit kelihatannya. 

Biar mereka berlumba-lumba, 
Menutup peluang orang sekelilingnya, 
Mengejar ilmu hingga memijak kita, 
Sedangkan ilmu itu tiada sepadannya. 

Biar mereka berlumba-lumba, 
Membentuk syurga mereka di dunia, 
Sedangkan syurga Allah SWT telah tersedia, 
Hanya perlu tingkatkan usaha. 

Biar mereka berlumba, 
Biar mereka memijak, 
Biar mereka menentang. 

Perisai kita merupakan keikhlasan, 
Senjata kita merupakan senyuman, 
Peluru kita merupakan kesyukuran.

Erdiah Samad


RujukanErdiah Samad - Aku penulis setia

Wednesday 12 September 2012

Bahtera Si Nakhoda oleh HafizLia

Nakhoda kapal dijadikan tempat soal arah dituju.
Segala gusar gara-gara si gelombang menjadi teman penglipur lara.
Anak kapal diberi petunjuk agar perjalanan diteruskan tanpa hela.
Beraninya si Nakhoda terletak pada keyakinannya berkemudi.
Gagahnya si Nakhoda tersemat pada kebolehan melangkah aral.
Hormatnya si anak kapal kerana kepercayaan hidup mati di tangannya.


Bila di tengah lautan, pagi ditemani sang mentari.
Malam disinari kelam bulan dan pari-pari bintang.
Bila di tengah lautan, angin ribut dan ombak deru menjadi permainan.
Tiada sengketa lebih besar dari onak yang dilalui seharian tanpa pengetahuan.


Luasnya pemandangan, dalamnya pengalaman.
Hidup bagai bermain catur.
Mengatur langkah mengorak strategi.
Jagaan anak kapal harus sentiasa diawasi.
Takut dihati dipendam seribu kaki.
Hati yang berkecamuk dihenyak mimpi.
Hanya kerana Nakhoda tanggungjawabnya tinggi.


Si awan biru yang sentiasa memerhati.
Kadang tersenyum kadang diguris muram.
Hanya kerana si Nakhoda menjadikannya tempat bual bicara.
Segala kesedihan yang menerpa, kegembiraan yang menyinggah.
Menjadi halwa buat si awan biru.


Oh Nakhoda yang banyak berjasa.
Kau tidak pernah bermuram durja di hadapan anak kapalmu.
Kau gagah melangkah.
Kau yakin mengarah.
Wahai Nakhoda kapal, jasadmu mungkin tiada lagi.
Namun, jasamu sentiasa diingati.


HafizLia

Guru oleh Nurul Arini Junaidi

Aku seorang guru.
Gu ru
G uru
Gur u

Berkongsi ilmu
Bidang ini yang diceburiku
Tidak ku persoal pilihan ini
Kerjaya ini tidak ku ragui.

Tetapi
Setiap hari ku persoal
Sama ada ilmu yang ku kongsi...

Memadai?
Mencukupi?
Yang terbaik sekali?

Setiap hari ku pening menyoal
Berjayakah aku,
Mendidik si kecil?
Adakah aku bersikap adil?
Sudahkah aku memastikan,
Tiada terasa kerdil?

Aku seorang guru
Gu ru
G uru
Gur u

Dan setiap hari,
Ku mengharapkan yang terbaik dari diriku
Ku mencabar diri untuk cuba sesuatu yang baru
Ku merangsang minda mereka agar terus maju.


Nurul Arini Junaidi

Perilaku Tak Selari Nawaitu oleh ZRSyukurnia

Hasratnya ingin tegakkan kebenaran
Fikirnya ingin hapuskan kezaliman
Tapi sayang
Perilakunya bagai hilang pedoman

Dendam yang mencengkam
Meletuskan lava geram
Lidah mula menikam
Meleret sehingga diri menerkam

Kabur sudah sebuah kebenaran
Kerana kezaliman dibalas kekejaman
Pahit sudah sebuah kemenangan
Kerana jalan terlarang menjadi pilihan

Ke manakah menghilangnya
Kemuliaan dan keelokan nawaitu
Pabila songsangnya
Pilihan dan perilaku
Dirimu.
ZRSyukurnia
(Diinspirasikan oleh pementasan Awallah Dondang 2012 - Nubuat Dewa Pujangga)