Friday 25 January 2013

Terimalah Daku oleh MAS

1 [ 751108]
Labbaik Allahumma labbaik
La syarikalaka labbaik..
[aku datang menyahut seruan-Mu
menegaskan tiada sekutu bagi-Mu]

Tuhanku!
terimalah daku datang dengan ibadahku
memohon keredhaan-Mu, sesuai bahawa
"tidak Engkau jadikan jin dan manusia
melainkan untuk beribadah kepada-Mu"

Labbaik Allahumma labbaik..
[Tuhanku! Ini aku datang menyerah, pasrah]

2 [751110 - 751212]
Dengan izin-Mu, ya Allah
di samping mengerjakan haji dan umrah
kuziarahi Haram Mona Arafah Muzdalifah
dan segala tempat bersejarah..
dari Maulud di Makkatul-musyaraffah
sampai ke Uhud di Madinatul-munawwarah.

3 [ 751212]
Tuhanku, jadikanlah
   hajiku mabrur
   usaha suciku masykur
   segala dosaku lebur
   amalsalihku maqbul!

4 [ 751217]
Tawaf Wada' = tawaf sayonara
namun, jangan Engkau jadikan
tawafku ini tawaf penghabisan..

Kurniailah daku
   iman yang luhur
   kesihatan yang subur
   rezeki yang makmur
nescaya aku datang lagi, ke mari
kerana rinduku masih berapi..

tapi, jika memang mahu-Mu
ini tawaf terakhir bagiku
maka terimalah daku
menjadi penghuni syurga-Mu!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

0 comments :

Post a Comment