Friday, 25 January 2013

Bersatu Dirgahayu oleh MAS

Ahad pagi
Ogos 6, 19 lima puluh
di bawah kanvas usang terikat pisang sesikat
19 nakmuda julung berkeris duduk berbaris
bicara pidato meluap-luap dengan semangat penuh
debat mendebat tukar pendapat - bermuafakat
memacak tiang seri sebuah persatuan penulis:
Angkatan Sasterawan '50 - Asas '50

Dalam bicara diperkukuh:
gagasan: bersatu teguh bercerai rapuh
idea: sastera baru dipupuk, sastera lama diperwutuh
cita-cita: karya sastera jadi pencapai kemerdekaan penuh
slogan: seni sastera untuk masyarakat rakyat seluruh 
tindakan: sendiri-sendiri dalam satu persatuan yang teguh
Angkatan Sasterawan '50 - Asas '50

Mudah-mudahan, Asas '50
kelahirannya: dialu-alui rakyat
kehidupannya: direstui masyarakat

kerana
cita-citanya adalah cita-cita masyarakat
perjuangannya ialah perjuangan rakyat

untuk mencapai satu matlamat
sebuah Malaya merdeka yang sihat dan kuat. 

Dirgahayu
Angkatan Sasterawan '50.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

0 comments :

Post a Comment