Thursday 17 January 2013

Tangisan oleh Hajis Salim

Tangisan 
Anak yang baru melihat dunia 
setelah membesar lama dalam kandungan ibunya
Syukur di atas ada tangisannya
Disambut dengan tangan melepas rasa 
Dalam ingatan Kuasa Pencipta . 

Tangis lagi
Tidaklah sama maknanya
Kerana kini ia membelah kami semua
Yang sedang nyenyak atau terlena
Merana…

Mmmmmmmmmm ma
Apabila anak mula bermain suara
Lulus mulus melalui rongga udara
Dengan mulut mengatup dan membuka
Ibu dan bapa ketawa ria
Abang kakak amat selesa
Anak mengekeh-ngekeh gembira
Ditimang didodoi didakap erat di dada
Terasa seperti dalam kandungan semula.

Mamamamamamama…
Irama harmoni menari di bibir
Lagu gembira meriang semua
Menjengul wajah ibu menerpa:
Memanggil emak ya! Mengapa?
Tidak basah, berbau atau nampak kurang selesa.
Mahu bersenda agaknya… ma ma ma
Panggil emak ya!
Anak mengekeh-ngekeh ketawa gembira.

Emak kini tidak pernah pergi
Baik di mulut atau di hati
Walau mula belajar bahasa banyak negeri
Juga yang terpaksa diajari dan dipelajari
Dan kini mula faham hakikat kehadiran di dunia ini.

Alamak!
Terseru akibat keliru
Atau terasa diri tertipu
Memarahi diri yang sudah jauh dari ibu
Merayu dengan lagu mendayu
Dan ada yang marah dan mengejar dengan penyapu
Apa saja yang terlintas di mata dan kalbu
Dalam bahasa yang kami semua tidak mahu tahu.


Menangis tidak berhala tujuan
Dalam kelompok bertompok
Seorang ibu yang terus hilang pengsan
Melihat anak yang baru dilahirkan
Ketawa riang!


Hajis Salim

0 comments :

Post a Comment