Wednesday 2 January 2013

Tilik Tok Nujum oleh Noridah Kamari

Baginda Raja:
“Wahai Tok Nujum, tolonglah tilik
Apa angkara bala nan pelik
Orang muda beta tunggang-terbalik
Mungkinkah cuaca nan kian terik
Atau angin dendam datang mengusik
Atau ada hikmah dari Ya Khalik

Bagai tanda lahir, lebam hijau bentuk naga di dada si lanang
Bagai disampuk, rambut dan mata menjadi hijau, biru dan perang
Bagai dimamah kuman, hidung dahi hingga anu mula berlubang
Mata layu kuyu, jalan huyung-hayang, tangan semakinlah panjang

Si dara pula perut masuk angin bak kena tuju-tuju orang
Membuncit sembilan purnama sedang jari manis masih telanjang
Mulut hidung berasap bak tertelan pawaka kuda kepang
Wahai Tok Nujum, tolong tilikan angkara nasib beta nan malang”

Tok Nujum:
“Wabak ini pantas berleluasa
Jauh datangnya serata inderaloka
Mungkin anasir Eropah atau Amerika
Atau Timur sendiri punca angkara

Ada kata ini punca si mata satu
Salurkan bala bencana tanpa sempadan
Orang muda kita jadi tak menentu
Hilang neraca untuk buat pertimbangan

Sebelum penawar wabak hamba berikan
Sudi kiranya dijawab satu soalan
Selama wabak ini masih berjangkitan
Apa sudah rakyat baginda usahakan”

Baginda Raja:
“Mereka cuba apa terdaya
Tutup malu mana yang mampu
Jari tercincin sekelip mata
Mana berlubang dipasang kerabu

Ada yang cari ubat nan gah
Baik disuntik atau dihidu
Ada sanggup melanggar titah
Mencari tuak lengkapkan bumbu

Tapi kesannya tidak mujarab
Sendi sengal semakin berbisa
Entah apa punca dan sebab
Semakin condong tiang istana”

Tok Nujum:
“Ambilkan air satu belanga
Biar hamba tilikan penawar duka...

Kumpulkan semua rakyat jelata
Di pinggir sungai di hujung rimba
Tatkala suria tegak di atas kepala
Titahkan semua renung di perairan muka
Pada bayang-bayang sendiri bertentang mata
Dari hujung rambut ke hujung kaki dan balik semula

Biar mereka lihat cacat dan cela
Biar mereka renung yang berlubang, berlebam, dan lasa
Biar mereka tangiskan fananya dunia
Biar mereka cari sendiri daya upaya
Kerana tiada yang dapat membantu mereka
Tanpa mereka sendiri yang berusaha”

Akhir:
Diturutkanlah tilik Tok Nujum dititahkanlah apa yang perlu
Dan sembuhlah rakyat jelata menjadi manis yang dulu hempedu

Makin ramai pengunjung Tok Nujum ingin ditilik setiap waktu
Nama bayi, tarikh walimah, nasib masa depan ingin ditahu

Yang ditilik semua percaya hingga berpaling dari yang Satu
Baginda raja duduk termangu – ahai timbul pula wabak baru!

Noridah Kamari

0 comments :

Post a Comment