Wednesday 2 January 2013

Tanah Liat Di Tangan Tukang Tembikar oleh Noridah Kamari

diuli dengan tanah
dibasah dengan air
dibakar dengan api
dikering dengan angin

gelembung urat-urat di kulit nipis
pada tangan dan dahi tukang tembikar
bukti tenaga besar yang dikerah
gabungan fikir dan rasa

ini kerja keras
hasil upaya sepanjang hidup
mencipta keindahan
dari madu alam

di roda tembikar
bangkitlah ia perlahan-lahan
bagai pohon yang mula sedar
ia mampu bernafas dan membesar
bumi milik semua
kini miliknya juga

tetapi ia masih akur
ada tangan yang bergerak
menguli dan melentur

mungkin ia jadi kendi
isi air hapus dahaga
atau jadi mangkuk periuk
tanak akar kayu beri tenaga
atau pasu ukiran bunga
suntik keindahan di ruang tamu
atau terbentuk menjadi bekas
rehat terakhir sesetengah insan
setelah jasad dibakar menjadi abu

di tangan tukang tembikar
mimpi berubah menjadi nyata
berisi dan berdarah
bernafas dan bersejarah

kerana ia tanah liat
ia faham gerak manusia

Noridah Kamari

0 comments :

Post a Comment