Friday 25 January 2013

Pantun oleh MAS

1 Kemarin  - zaman malu
   sopan adat terjalin rapi di budaya ibu
   slogan : hidup dikandung adat, mati dikandung tanah
   termeterai di hati

   teruna nakdara disua si tua - baru bertemu
   gelora rasa membara mencetus dada, lalu
   bermulalah sejarah indah di pantun klasik:
   
          Lembu baru kereta pun baru,
               Baru sekali masuuk Melaka;
          Dik ayu baru kekanda pun baru,
               Baru sekali bertentang muka.

2 Semalam - zaman maju
   angin Barat melanda desa budaya bunda
   slogan : biar putih tulang, jangan putih mata
   mencengkam emosi

  jejaka perawan berontak menolak adat - proclaim bebas
                                                                                                    lepas

  pertama bercinta baru si tua bicara jelas
  menjarahlah sejarah gagah di pantun romantik : 
  
          Tanjung Katung airnya biru,
               Tempat nakmuda memadu cinta;
           Duduk sekampung lagikan rindu,
               Inikan pula jauh di mata!

3 Sekarang - zaman teknologi
    budaya ibu keliru diharu konflik modenisasi vs westernisasi
    slogan : suka sama suka, 'ranglain apa peduli
    mengongkong naluri
    belia beliawani bertemu bebas tanpa batas
    di pesta dansa biasa; di kilang dermaga juga selesa
    si tua lumpuh kuasa - endorse cuma

          konon:
          Zaman dulu kereta lembu
               Zaman sekarang kapal angkasa;
          Tolak bapak buanh ibu,
               Pabila cinta menggugat rasa!

          lalu berkumandanglah pantun sumbang:
          Ke teluk sudah ke tanjung sudah,
               Ke Mekah sahaja depa yang belum ;
          Seronok sudah sebumbung sudah,
               Nikah sahaja depa yang belum.

4 Terjemahan dilema manusia semasa
    Entahkan silap buapak membelai kasih nakmuda
    Entahkan salah nakmuda menilai cinta 'rangtua
    Entahkan memang sahaja begitu resam dunia,

         lain hulu lain parang
         lain dulu lain sekarang..

    ataukah benar mungkin pantun pusaka ninda:

          Pulau sembilan tinggal delapan,
               Satu merajuk ke Kuala Kedah;
          Sudahlah nasib permintaan badan,
                 Kita di bawah kehendak Allah!

Wallahu a'lam bissawab...

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Bersatu Dirgahayu oleh MAS

Ahad pagi
Ogos 6, 19 lima puluh
di bawah kanvas usang terikat pisang sesikat
19 nakmuda julung berkeris duduk berbaris
bicara pidato meluap-luap dengan semangat penuh
debat mendebat tukar pendapat - bermuafakat
memacak tiang seri sebuah persatuan penulis:
Angkatan Sasterawan '50 - Asas '50

Dalam bicara diperkukuh:
gagasan: bersatu teguh bercerai rapuh
idea: sastera baru dipupuk, sastera lama diperwutuh
cita-cita: karya sastera jadi pencapai kemerdekaan penuh
slogan: seni sastera untuk masyarakat rakyat seluruh 
tindakan: sendiri-sendiri dalam satu persatuan yang teguh
Angkatan Sasterawan '50 - Asas '50

Mudah-mudahan, Asas '50
kelahirannya: dialu-alui rakyat
kehidupannya: direstui masyarakat

kerana
cita-citanya adalah cita-cita masyarakat
perjuangannya ialah perjuangan rakyat

untuk mencapai satu matlamat
sebuah Malaya merdeka yang sihat dan kuat. 

Dirgahayu
Angkatan Sasterawan '50.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Hujan Panas oleh MAS

1
Empat musim sudah kemarau menjangkau bumi
racun dan api sepakat membakar nadi
dunia dan manusia sama-sama dirangkul binasa
dibakar kemarau api dan racun nan bisa

          bahawa
          dunia binasa pada raga
          manusia binasa pada jiwa!

II
Gejala murni menjelma langit gelap pekat
mendung tergabung erat diikat malaikat
alamat hujan kan mendarat membawa Rahmat
dunia dan manusia bersorak gemuruh sejagat

         kerana
         tak ada pangkal tanpa hujung
         tak ada awal tanpa akhir berkunjung!

III
Petir kilat saling sabung menyabung
angin panas membuas menyambar mendung
terserak hujan berderai membunga rampai
sorak serak membisu - doa tak sampai

          sebab
          hujan yang datang itu hujan panas
          hujan yang datang itu hujan penyakit!

IV
Bumi usang sudah berubah menjadi rawa
manusia masih banting kepala pada kecewa
musim kelima menerpa, ratap tetap serupa
yang kocak memuncak - yang tak apa papa...

          memang
          kemarau dan 'janpanas sama sahaja
          bila dipeluk kemarau tersepit perit
          bila dicium 'janpanas sakit melekit

          bezanya cuma
          kemarau gagah mewah kering menggigit
          'janpanas lemah memamah basah sedikit!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Tafsir Alam oleh MAS

Telah sekian lama umurku terbuang percuma
merenung alam untuk hidup mencari tafsir
puas sudah kucari erti agar saksama;

tapi 
batu itu batu dan pasir tetap pasir!

Kalau pasir tidak ada bercampur batu
senang sahaja mata cangkul datang melutu
jika tanah tiada pasir bercampur sama
padat liat takkan tumbuh rumput sehama...
demikianlah amsal hidup manusia mengharung maya.

Selagi pangkat
harta dan nafsu tersimpul erat
yang miskin tetap miskin - si kaya bertambah kaya
kelana dagang masih teraniaya hidup melarat.

Ingatlah..
selagi raja itu raja
rakyat itu rakyat
takkan dapat dibentuk corak
cita-cita merdeka
nan jadi idaman seluruh rakyat
mengatur tenaga dalam berjuang
sehaluan bergerak.

Bari itu.. wahai
Pemuda harapan bangsa
Pemudi penegak negara
kalau sudah kamu nampak di mana bocornya:
bangkitlah sekarang
berpimpin tangan usaha segera
untuk melahirkan
masyarakat baru yang subur sempurna. 

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak AdaSingapura: Angkatan Sasterawan '50

Selamat Tinggal Maktab oleh MAS

1
Selamat tinggal ibu kandungan
kami kembali atas panggilan
tinggallah Maktab Suluh Budiman
kekal menyeluh budi kawalan...

     [Tinggal Maktab tinggallah ibu
      lepas kami pulang sekarang 
      tinggal Maktab tinggallah ibu
      hidup berjasa kekal berzaman]

2
Salah dan khilaf teranjur kata
barang terambil termakan serta
halal dan maaf kami meminta
salah dan dosa leburlah rata...

3
Budimu Maktab kekal termeterai
dalam kenangan tidak bercerai
biarpun luluh tulang berderai
gugur laksana manik terurai.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50


Rayuan Asmara oleh MAS

Kerana senyummu yang basah
hatiku jadi resah gelisah
perasaanku melambung ke langit biru
dilamun khayal ke alam merindu...

Sebab kerlinganmu yang manis
rohku selalu tersedu menangis
semangatku terbang lenyap berbatu
seperti takkan kembali lagi ke jasadku...

Dek lenggangmu wei sayang
fikiranku hilang terbang melayang
siumanku undur membawa diri
meninggalkan badan tidak bererti...

Sungguh hebat seranganmu, O kasih
datang menubi tak dapat kusisih
menunsukjiwa si sebatang kara
tenggelam dalam badai asmara..!

Rentikanlah 
rentikanlah godaanmu wei jelita
tak tertahan rasanya aku menderita...

    Marilah berdamai kita sekarang
    berpimpin tangan menuju terang!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak AdaSingapura: Angkatan Sasterawan '50

Satu Kapal, Dua Nakhoda oleh MAS

Tidak pernah
terkisah dalam sejarah
satu kapal dua nakhoda
    yang sama-sama mengarah - 
    yang sama taraf kuasa..

tapi
satu kisah unik yang lucu
berlaku di kapal bapaku:
    sekunar kecil mengepil di buritan
    minta berkongsi mengharung lautan...

anehnya
sang penumpang membuat tuntutan
supaya dia diberi kesempatan
sesama memerintah kapal perikatan
bapaku nakhoda dia kapitan!

Para keasi pada keliru
perintah nakhoda jadi celaru
akibat diharu kapitan yang baru..

    satu kapal dua nakhoda
    tengkar sengketa pastilah ada
    sampai bila pun tak boleh reda.

Jalan selamat tak ada pilihan
ketua turus agung pemerintahan
mesti tunggal, tak ada saingan - 
penguasa lain harus diturunkan
sama ada mengalah atau dikalahakan, 
barulah kapal akan selamat dilayarkan
sampai ke tempat matlamat di pengkalan!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Bicara Dua Profesor oleh MAS

prolog

Ramadhan mengundang datang Profesor A dari selatan
Syawal mempersila pula Profesor B dari utara
kedua profesor pada main di arena yang sama
pada bicara tentang 'ainulyakin dan ilmalyakin.

dialog

round 1

Profesor A tenang bicara penuh takwa
"pabila mata kepala melihat maya indah tergubah
segera hati nurani memuji terserlah madah Alhamdulillah
wujud Maha Pencipta dirasa dengan teguh ilmu di dada
sekali-kali tidak ia teraba oleh mata kepala."

tegas: ilmalyakin mengatasi 'ainulyakin!

round 2

Profesor B lantang suara penuh selera
"manusia kini pada keliru; menilai ilmu mengabai mata
ilmu menghitung tak selalu jitu - ia bisa keliru
mata terang memandang; jelas lantas kelihatan
melihat dengan mata, bijak - mengira dengan ilmu, tidak."

jelas: 'ainulyakin mengatasi ilmalyakin!

round 3...

round 4 - sampai selesai...

dua profesor hujah menghujah bidas membidas tak capai
                                                                         damai
sekitar arena jadi kelabu, harubiru campur keliru

spektator pada kehilangan neraca; pabila
emosi naluri mengatasi segala bicara, dan
sorak tindak melonjak memihak favourite sendiri-sendiri.

monolog

dua profesor pada benar; pada yakin dengan teori, tapi
pengikut-pengikut ikut-ikutan menurut hati tanpa kaji, lalu
tuduh-tuduhan fitnah-fitnahan sama sendiri, sudahnya
tak siapa pun untung malah semuanya rugi. Pasti!

epilog

benarlah kata pepatah Melayu:
gajah berjuang dengan gajah, pelanduk mati di tengah-tengah

persis jenaka Si Velo yang lucu:
lembu sama lembu ada gusti, itu rumput juga ada mati!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Satu Perjalanan Panjang oleh MAS

Satu perjalanan sempurna
dari dinihari ke senjakala
perjalanan pasti berakhir, pabila
janji dan waktunya tiba.

di citra
di garis on-your-mark iap sedia
dengan gemuruh darah di dada
dengan jantung mendebar rasa - steady dah!

di subuh
perjalanan bermula cermat waspada
memanjat dewasa mendaki cita-cita
dengan pelbagai ragam gaya
quo vadis anta [ mu nak gguano] ?
    makin jauh perjalanan, 
    makin banyak pengalaman - hurrey!

di zohor
kedewasakan memuncak tegak
membakar separuh usia kelana
namun; perjalanan tambah mengghairah
    dengan pengalaman serba indah
    dengan kejayaan serba cerahh - banzai!

di asar
tenaga dan kuasa makin mengendur
pandangan mata mula mengabur
uban di kepala makin  bertabur
gigi di gusi banyak yang gugur
   warna suasana terus meluntu
   sedarlah diri semakin uzur - taubat.. !

di maghrib
bermula era baru - era lesu
akhir perjalanan
    semakin mendekat
    semakin mencepat - masya' Allah!

di Isyak
perjalanan tamat
berakhirlah sebuah hayat

dinihari yang menjelang
bukan punya kita lagi..
punya generasi pengganti
untuk meneruskan perjalanan panjang
seperti yang telah kita lalui...

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Terlentang... oleh MAS

I
Aku tidak pasti
betapa peristiwa itu terjadi..

sedar-sedar, aku dapati
terlentang di katil seorang diri, CRIB;
di dada di tangan di pergelangan kaki
berseliratan tali-temali seni
tersambung ke mesin ECG.

II
Di kamar sekitar 3
pintu jendelanya tertutup selalu
York model 48 gargaran gemuruh
sinar floresyen samar-samar menyuluh..

    terlantar di situ aku, 6 minggu;
    terlentang menyapu lelangit, lesu
    tiarap menekur lantai, beku
    miring tertumbuk tembok batu
    segala tindak jadi buntu!

III
Mujurlah janji belum sampai
dikembalikan juga daku ke alam permai..

sekalipun
telah banyak nikmat yang dicukai..

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Terimalah Daku oleh MAS

1 [ 751108]
Labbaik Allahumma labbaik
La syarikalaka labbaik..
[aku datang menyahut seruan-Mu
menegaskan tiada sekutu bagi-Mu]

Tuhanku!
terimalah daku datang dengan ibadahku
memohon keredhaan-Mu, sesuai bahawa
"tidak Engkau jadikan jin dan manusia
melainkan untuk beribadah kepada-Mu"

Labbaik Allahumma labbaik..
[Tuhanku! Ini aku datang menyerah, pasrah]

2 [751110 - 751212]
Dengan izin-Mu, ya Allah
di samping mengerjakan haji dan umrah
kuziarahi Haram Mona Arafah Muzdalifah
dan segala tempat bersejarah..
dari Maulud di Makkatul-musyaraffah
sampai ke Uhud di Madinatul-munawwarah.

3 [ 751212]
Tuhanku, jadikanlah
   hajiku mabrur
   usaha suciku masykur
   segala dosaku lebur
   amalsalihku maqbul!

4 [ 751217]
Tawaf Wada' = tawaf sayonara
namun, jangan Engkau jadikan
tawafku ini tawaf penghabisan..

Kurniailah daku
   iman yang luhur
   kesihatan yang subur
   rezeki yang makmur
nescaya aku datang lagi, ke mari
kerana rinduku masih berapi..

tapi, jika memang mahu-Mu
ini tawaf terakhir bagiku
maka terimalah daku
menjadi penghuni syurga-Mu!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Timun Dengan Durian oleh MAS

Mari teman
mari rakan
mari kengkawan
mari timun-timun sekalian,

          kita susun satu barisan
          kita gempur sang durian
          yang merajalela sepanjang zaman...

Mentang-mentang kita bangsa mentimun, yang
menggelek kita luka - digelek apatah lagi;
jangan kita diperbudak sesedap hati
jangan disangka: kepala kita mudah dibeli!

Mari kita sepakat berikat
kita hempap sang durian sebiji, sebiji
biar ranap kulit yang tajam berduri
biar terpancut segala punat dan isi:

          seperti pakatan ABCD
          melumpuhkan tentera Fascist dan Nazi.

Percayalah
kekuatan kita ada pada persatuan
kelemahan ada pada sendiri-sendiri!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Yang Tua + Yang Muda oleh MAS

1
          ada manusia
          yang tua
          yang muda
          kalau umur jadi penyata

ada juga
          yang tua tapi muda
          lebih muda dari yang muda - 
          tua umur muda hatinya
          kalau hati jadi neraca;

          yang muda tapi tua
          lebih tua dari yang tua - 
          muda umur tua akalnya
          kalau akal jadi penyama.

2
tapi
apa benarlah ertinya tua
          kalau tua cuma lama - tua bangka
          kagum pada jaya/ pahala zaman muda, cuma;

apa pulalah gunanya muda
          kalau muda hanya bergaya - muda pekaka
          khayal pada syurga leka pabila dewasa, hanya
          dan, berkelana di dunia tanpa makna!

3
demi manusia
          yang tua + yang muda
          biarlah 3 unsur pengukur jadi 1 trio
          umur = pengimbuh pengalaman
          hati = pengukuh iman
          akal = penyuluh budiman

semoga terbuktilah Firman:
laqad khalaqnal insana fi ahsani taqwim...

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Pencen oleh MAS

Akhirnya
Aku pun pencen
seperti teman-teman lain pencen..

cuma

pencen teman-teman
pencen relax A - 
relax mutlak...

sedang pencenku

pencen relax B
relax bergerak
relax berubah corak;
    routinnya sahaja berhenti
    tugasnya silih berganti,
    selesai yang satu
    datang pula yang baru.

relax A, bebas dari tekanan

relax B, menempa pengalaman...
   
    bak rerama menjelajahi taman
    taman kuntum ke kuntum berterbangan
    mendapatkan madu yang segar nyaman...

Pencenmu..

pencen yang man satu?

MAS


Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Nature Tidak Abadi oleh MAS

Langit yang biru
masih membiru

biru lazuardi...

dedaun yang hijau
masih menghijau
hijau zamrud,

tetapi
hati yang sekepal ini
yang termuda dari langit dan dedaun
sentiasa goyah - berubah
dulu merah menyala - bersemangat
sekarang sudah mengungu - berserah...
dulu lemah lembut - memeri
sekarang liat kaku - beku.

Mungkin
oleh umur yang kian melanjut
oleh otot yang kian melandut
rasa hati berubah - terikut-ikut
bagai pasir di pantai dilanda ribut.

Percayalah bahawa
segala makhluk, termasuk
langit & dedaun yang tampak gagah, megah
pasti akan berubah
binasa juga sudahnya
pabila sampai ketikanya...

segala
yang didului oleh tiada

pasti diakhiri dengan tiada...
demikianlah hukum alam!

itulah bukti
nature tidak abadi.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Thursday 24 January 2013

Plethora Melayuku II oleh Zahir Ayub

jika biru dikenal erti tahu,

mungkin Pandir tidak bertindak melulu.

jika ungu dikenal erti sepadu,

mungkin Lebai masih lagi berbaju.

jika jingga dikenal erti waspada,

mungkin Kaduk kini punya istana.

jika merah dikenal erti usaha,

mungkin Jenin berputeri juga akhirnya.

jika putih dikenal erti kasih,
mungkin Tanggang anak yang soleh.
jika kuning dikenal erti bening,
mungkin Nadim ke menara gading.
jika hitam dikenal erti tenteram,
mungkin Jebat tak mati ditikam.
jika hijau dikenal erti hirau,
mungkin Sultan tak bersifat macam kerbau.

bila aku, kau, dia, mereka, kita

celik warna

tersingkap nilai di sebalik plethora

bila mereka, dia, kita, kau, aku
celik warna
tidak akan kita buta
tidak akan kita derita
walau kabus sekelabu mana
walau gelap gelita gila
cahaya pertunjuk kemudikan jiwa.

barulah bicara ubi berisi,

barulah manikam dikenali jauhari,

barulah kailnya luas sehektar,

barulah padi tak dimakan pegar,
barulah belalang tak mengaku helang,
barulah langit tak diukir, asap tak digantang.

bukalah mata, lihatlah warna!

kembalikan adab dan adat,

kembalikan muafakat hidup bermasyarakat,

kembalikan semangat perjuangan yang tersekat,

kembalikan pembangunan dari belenggu merempat!

bebaskan deria!

bebaskan plethora!

bebaskan warnamu hai orang-orang Melayuku

sama-sama kita corakkan dunia!

Zahir Ayub

Pintu oleh MAS

Apa itu pintu?

gawang besi, kayu atau batu
tempat yang sah untuk dilalu;
masuk keluar menerusinya, tentu.

Pintu apa itu?

pintu besi
benteng jejaring di pajak gadai
penghalang penjahat merusuh di kedai...

pintu taubat
peluang tertutup rapat bertaut
ketika insan di ambang maut...

pintu syurga
cuma sedia mempelawa
insan kamil yang penuh takwa...

pintu neraka
gawang yang sentiasa terbuka
menerima masuk manusia durhaka...

pintu penjara
jalan masuk keluar pesalah negara
menjalani hukuman yang pelbagai cara...

pintu hati
ialah penanti suci
penjunjung titah Firman Ilahi.

Tahukah anda yang mana pintumu?
ambillah cermin tonton peribadimu!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Panas Dua Tipa oleh MAS

Panasku
panas memarak bara;

Panasmu
panas melegak darah...

bara membahang cita menyala
darah merangsang marah menjarah.

Jika kedua panas berimbang
nescaya dunia kita sandang - 
jika panas kita bertentang
pasti kita sama kecundang.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Teratai Murni oleh MAS

Tuhan bersifat Adil Saksama
mengatur alam luas saujana
sepuak di sini sepuak di sana

dengan penuh mengandung makna.

Mawar diletak di dalam taman
menghias alam membentuk aman
teratai tumbuh di air kolam

memayung ikan mengharungi alam.

Tidak teratai beriri hati
menerima takdir aturan Gusti
teratai syukur ke hadrat Ilahi
walaupun teratai berendam kaki.

Teratai insafkan kebesaran Tuhan
hidup makhluk dalam sembahan
tak rasa mulia di taman puspa
tak pula hina di lembah rawa.

Tuhan menunjuk kias dan tamsil
kepada insan nan berotak jahil
hina dan mulia semata nihil
mainan dunia benarnya mustahil!

Manusia yang punya jiwa sejati
sujud menyembah Rabbil-izzati
senyampang hidup dermakan bakti
sediakan bekalan bawaan mati...

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Sederhana oleh MAS

Kita manusia biasa
punya hati punya rasa
punya darah daging pula
punya malu segala.

Kita hidup dalam dunia
untung mewah sama bahagia
rugi celaka sama derita
semua untuk satu; satu untuk semua!

Jangan tamak jangan dengki
jangan bongkak jangan takbur
berbudi bahasa sikap terpuji...


Jangan boros tidak berkira
jangan kikir genggam tak tiris

tapi: sederhana sikap mulia.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Jangan Tak Ada oleh MAS

I
Hidup dalam masyarakat majmuk, kita
hak punya tiap kelompok sama rata

tapi
sama pada hak, pada bagiannya tidak:
jika kelompok lain bisa punya 100 benda
punyaku satu cuma, sudah pada - 
"jangan tak ada", kata orang...
itu kan "adil", namanya!

toleran... toleran!

II
Hidup dalam masyarakat berlumba tenaga
peluang ditawar rata tak kira marga

tapi
pabila ganjaran diagih, quota jadi kriteria:
kalau yang lain bisa dapat berkoyan-koyan
bagianku satu sahaja, sudah lumayan - 
"jangan tak ada", kata orang...
itu kan "generous", tandanya!

syukran... syukran!

III
Hidup dalam usaha melestari cipta
tunjangan semua seniman pada dipinta

tapi 
entah betapa para essessor mengukur tara:
berbelas punya mereka terdaftar sebagai sumbangan
punyaku satu hanya, masuk bilangan - 
"jangan tak ada", kata orang...
itu kan "pénaké déwé", nyatanya!

hairan... hairan!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Malam Di Kolam oleh MAS

1.  Malam di tepi kolam
     cahaya bulan kelam, kelam...

     embun jantan sudah menjelang
     jantan berembun masih menjalang
     isteri kurus dibungkus walang
     menanti suami yang belum pulang.

     sekonyong-konyong
     sang anak melalak tangisnya lantang
     menagih susu, perutnya kontang!

II.  Malam di tepi kolam
      cahaya bulan berbalam-balam...

      hantu longgok berpasang-pasang
      duduk cengkerama di tikar usang
      main asmara di gurun gersang
      makin sejuk semakin rangsang,

      tiba-tiba
      malam berundur citra menjelang
      sesalnya hantu bukan kepalang!

III. Malam di tengah kolam
      cahaya bulan kelam berbalam...

      biduk kecil terkatung-katung
      insan kerdil mengadu untung
      mengail rezeki anak bergantung
      sekadar penyambung hayat sepuntung,

      paginya
      biduk kecil separuh tenggelam
      insan kerdil tewas di kolam.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Janji oleh MAS

Janji bukan bukti
bukannya semua janji berpadu
janji itu kosong, bohong...
kalau usaha tiada mengiring.

Janji hanya menggula hati
         lahir dari gerakan dua bibir
         lidah naik turun jadi alat
         sedang hasilnya belum tentu
         omong kosong, dongeng!

Janji tidak mesti jadi
janji lepas macam angin lalu
janji hanya alat pengeliru
janji cuma muslihat penipu:
         berani pasang janji
         usaha tiada sekali
         janji tinggal basi
         dibawa angin pergi...

Sebab
janji bukan bukti.

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50