Sunday 8 December 2013

Teman Den Lah oleh Karmin Abbas

teman den lah
yang tak suka sakiti hati sesiapapun
sekalipun dia telah disakiti orang itu

teman den lah
yang paling beradab dan bersopan santun
walaupun tindasan negara berleluasa sekejam itu

teman den lah
yang bangkit dari tempat duduk apabila dihidangkan teh
oleh wanita berbangsa angkuh yang berkulit putih

teman den lah tu
kena tangkap kena lokap
teman den lah  tu
kena tahan berabad-abad

teman den lah tu
tinggi kehormatannya
tinggi juga hormat pada semua
kehebatan berdaya tarikan
rakyat jelata

kalau nak tulis buku tentang teman den lah
tak cukup satu jilid
sejilid itu cukup sekadar bercerita
tentang keteguhan timbang rasa tanpa agenda yang terselit

timbang rasa kepada semua
demi selamatkan yang satu sahaja

Karmin Abbas

Monday 2 December 2013

Mengejar Makna oleh Nurul Arini Junaidi

Wujud,
ada tanpa suara
sedia pabila tiada

percaya ia selalu di sisi
bentuk begitu sahaja. 



Hadir, 

diperhatikan mata

seronok dalam bicara

sama dan setia

datang-pergi semata-mata.

Ada,

seperti udara

wujud dan hadir
tapi sukar untuk merasanya

kecuali udara menjadi angin

terasa juga.



Hilang,

sekelip mata 

ia mati 

tenang atau sudah pergi

yang tinggal hanya aku yang meronta-ronta cari.



Kosong,
sudah pudar dan lenyap

bagaikan tidak pernah wujud, hadir atau ada
tiada yang kekal selamanya. 

Kesannya, 

kekosongan jiwa.


Nurul Arini Junaidi

Kejujuran oleh Kamilah Ahmad

Kejujuran menghiasi peta semestaku
Dengan kegemilangan tiada tandingan.
Mari kita maju dengan kejujuran,
Bertekad bersama-sama bertindak balas
Serangan sumpitan yang menjadikan
Kara dan sia-sia dalam hidup ini.
Tiup dengan tepatnya
Ibu sasaran tertera di hadapan kita
Lenyap lesap segala keusangan.

Kamilah Ahmad

Rujukan: Kamilah Ahmad (2001). Langkah Kembara. Singapura: Triple Eleven Enterprise.

Belajar oleh Sidek Saniff

Belajar
Belajar
Belajar
Biar matamu rabun
Tersekang bersama turun embun
Bakar hati segenggam itu
Bersama lilin semalam
Asah otak segumpalmu
Duri terperosok didalamnya
Esok dunia kan berputar
Ligat sekali
Bersama karakter
Lincah sekali
Lemparkan tilam empuk itu
Selimut kemalasan lapukmu
Mereka berlari memecut
Kecut perut
Larian ini tanpa henti
Lalu berlarilah
Sekuat hati
Berlari
Berlari
Berlari
Berhenti
Bererti mati.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

TV oleh Sidek Saniff

Kotak ajaib ini
Punya otak sendiri
Guru anak-anak kita
Yang terpaku
di depannya
sepanjang waktu
Merobah rona hidup
meneroka falsafah baru
menobat budayanya

Hubaya, hubaya
jangan sampai satu hari
kau tergapai di rumah sendiri.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Maruah Kita oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Dunia semalam menghadirkan hari ini
dan hari ini menyaksikan penerusan
ulang tayang maruah rakyat senang-senang diinjak-injak
dan kalau kau tanyakan apakah itu maruah rakyat
aku kan mengatakan:
bahawa bilamana rakyat tidak dipandang sebagai musuh negara
dan bilamana rakyat tidak ditahan seperti anjing di tanah tumpah darahnya sendiri
dan bilamana rakyat bebas bersuara secara bijak dan bernurani
dan bilamana jalan tarbiyah lebih mulia daripada hukum-hukum yang mencabut jiwa insani
itukan tanda maruah rakyat diberi afirmasi!


Muhd Andi Mohd Zulkepli

... oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Betapa Tuhan telah memberi ketabahan
dan pastinya akan terus memberi ketabahan
buat para anak didik
yang hidupnya penuh liku dan ranjau duri
yang terpaksa bermain dengan kesusahan
dan bergelumang dengan ketidakadilan
dalam meniti usia pendewasaan
betata pun mereka bukanlah bocah cilik
tetapi adalah roh-roh
yang memerlukan pencerahan jiwa dan akal yang sihat
betapa pun merekalah angkatan
yang seringkali ditempelkan stigma dan stereotaip
yang sangat mencengkam dan menusuk
yang lebih malang pabila ucap terhambur keluar dari mulut seorang guru!
Para anak didik,
ternyata dunia ini telah kau lihat bukanlah seterang hitam-putih seperti yang dicerekakan kepadamu di masa lalu
dan ternyata banyak lagi pelajaran-pelajaran tentang hidup yang perlu kita alami bersama
dan ketika pintu fajar mulai tertutup,
jangan kau pandang kelamnya adalah untuk menakutkanmu - tabahkan hatimu!
tapi kelam yang melanda adalah hikmah yang harus kita baca
bagi melawan tantangan tatkala suria menjelma kembali
dan dengan itu, lalu aku pertanyakan kepada angkatan sebaris denganku,
beranikah mencumbui kesakitan
dalam upaya kita sama membebaskan?


Muhd Andi Mohd Zulkepli

Membebaskan Bahasa Daripada Belenggu Phantom Diktat oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

ini kali bukan soal bahasa rojak lagi
ini kali bukan soal bahasa sms lagi
ini hari kita bicara soal bahasa rigid, bahasa kaku, bahasa beku (baca: bukan baku, bukan pun sebutan baku!)
ini hari kita bicara soal bahasa yang mati
ini hari kita harus bicara masalah bahasa masalah budaya, masalah intelektual, masalah kemanusiaan
ini hari kita tidak boleh terlepas berbicara tentang masalah bahasa yang hari ini
ini hari kita tidak lagi harus terus sibuk bicara soal teknis dan aplikasi segala yang nampak 'seksi'
ini hari kita hendak bangun bahasa yang ampuh dan berfungsi
ini hari kita hendak bina bahasa yang mencelik dan menyadarkan
ini hari kita hendak bina bahasa, kita yang punya!
jangan nanti,
hari esok bahasa kita terus didiktat dan dikongkong!
jangan nanti,
bahasa kita hanya milik pemimpin yang sibuk kononnya perjuangkan bahasa tapi rupanya sibuk memperdagangkan bahasa!
jangan nanti,
bahasa kita jadi bahasa yang mati di saat berdepan dengan tantangan hidup masanya nanti!
dan jangan nanti orang kata
kita bangsa yang tidak berbahasa.


Muhd Andi Mohd Zulkepli