Saturday 24 November 2012

Variasi Versi Oleh Fariz Husna

Ingat sketsa derhaka sombong Iblis
Kontrak muamalat dengan Tuhan hingga kiamat
Dendam goda anak cucu Adam sampai hangus kerak neraka
Andai pastinya berlaku, adakah kita akan percaya?

Pemimpin dunia puncak perdana
Yang muncul merobek titian pelangi keadilan
Terlaksana kasta memuja dewa palsu hingga marhain manusia
Alkisah rentetan sejarah maka jelas tipu daya alasan bertujuan
Jika tercatat itu semua, adakah kita semakin percaya?

Syahdan tercipta wira sakral dalam kabus kekalahan
Laungan merdeka retorik nasionalisme agungkan elitisme
Hunus keris buat Melayu gagah di mata dunia
Walhal buta disula korupsi hasad dengki kuasa egoisme
Walau sedar hakikat ini berleluasa, adakah kita yakin percaya?

Menegakkan pengaruh lidah kolonial berbisik feudal
Membina jati diri insaniah berbakat global universal
Teknologi mangkin maju ilmiah mencakar langit
Jenayah semakin intelektual juga metafizikal
Tanpa sedar, alam milik manusia bukan milik Tuhan

Nah, kita yang bina dunia bangsa bersatu, bukan lagi Tuhan
Kita rasmikan agama sebagai musuh utama kebenaran
Arak itu khusyuk, dadah itu ghairah, rokok itu semangat
Wajarkah kita percaya?

Wayang kulit babi sandiwara erotis ilham pujangga kapitalis
Sajikan bulan bintang kejora mimpi bidadari bak kayangan Eden
Berakhir impian semua saat terlahir masyarakat miskin masa

Mungkin kita yakin dan tahu, haruskah kita terus percaya?
Menakluk akal budi sehingga berani sangsi sang jauhari
Segala harum nikmat iman hanya rugikan jangka hayat

Akhir kalam terukir saham harta insurans di batu nisan kita
Tak pernah terhitung amalan dosa pahala jadi laporan timbang
Saat itu berlaku, adakah kita mahu percaya?
Retak seribu jati berpegang pada dahan rapuh

Mata terbeliak aura bencana mengetuk keras pintu balkoni
Gamam lagi saksikan kezaliman angkara setiap media warta
Yang percaya segala sesuatu kepercayaan!

Mungkin fenomena 2012 tidak akan berlaku
Jauh lagi mentari kiamat terbenam yang kita sangka
Nescaya mutiara agama bukan lagi kepercayaan
Hanya ritual manusia bertaubat
Mewah darjat & mata wang itulah nirvana kita

Pergilah kepercayaan
Jangan buat kita takut lagi!
Kerana kau ilusi minda mimpi ngeri!

Pergilah kepercayaan
Kita tidak ingat dan inginkan mati!
Kita mahu hidup seratus tahun lagi!
Kerana kau dilema kalbu sengsara sepi!

Nyahlah kepercayaan!
Sengat kau berbisa hilang seribu bahasa
Kerana kau variasi versi

Fariz Husna

0 comments :

Post a Comment