Tuesday 20 November 2012

Beratur Ke Pintu Bumi oleh Noridah Kamari

aturannya panjang berpusar memutar
berbelit melilit mengelilingi bumi
yang dahulu tak semesti didahulukan
yang kemudian kadang di kepala barisan
tak perlu engkau tercengang tunggu giliran
tak mungkin engkau tahu bila masamu
teruskan sahaja membina kekayaan
untuk hidup seribu tahun lagi
pabila tiba waktumu untuk beredar lalu
akan ada pengiring datang menjemput
nyamanlah engkau jika dia berbisik mesra
tanda dia tahu engkau sudah siap sedia
selalu sedar dia merenung wajahmu
tujuh puluh kali sehari tak jemu-jemu
risaulah engkau jika dia jerit marah dan hina
kerana engkau tamu yang lupa tempatmu
melayan diri sendiri bagai tuan rumah
hingga engkau alpa dengan peranan sebenar
lalu dihalau pulang pabila sudah lewat malam
dialah penghisab masa usiamu
supaya tidak terlampau waktu
bagai guru menyelia ujian
“berhenti!” jeritnya di akhir masa
bagai pengadil di tengah padang
meniup seruling tamat permainan
tak kira menang atau kalah kumpulanmu
bagai penjaga masa di radio
memasang anthem negara di akhir siaran
bila namamu dipanggil
sebelum rebah kedua kaki
sebelum sesak rongga dada
sebelum kelu ligat lidah
lafazkanlah anthem hidupmu
yang engkau pegang sepanjang hayat
walau sekeras mana nafasmu
selemah mana lututmu
sekejang mana lidahmu
mungkin engkau sedang berenang
bersukaria waktu lapang
tiba-tiba ombak datang mengganas
menarikmu ke bawah arus
lalu namamu dipanggil
balik jeritan rakan-rakan
mungkin engkau di depan televisyen
tawa geli hati tonton seloka
badai ribut di luar jendela
melonggarkan tanah pasak rumahmu
menggegar duniamu di atas sana
hingga rebah runtuh di kaki bukit
lalu namamu dipanggil
balik deraian batu dan besi
mungkin engkau sedang bertugas
di luar negara beri ceramah
malamnya duduk di hotel terkemuka
tiba-tiba diserang segerombolan manusia
bersenjata bersenapang datang menyerbu
dan engkau jadi punca
amarah mereka pada dunia
lalu namamu dipanggil
balik hujan peluru berdesir lalu
mungkin engkau dalam jalan pulang
setelah sehari berhempas pulas
meluncur laju untuk bersama ayah dan ibu
dan jalanraya menjadi danau kerikil
gaung ngeri menanti mangsa
tergelincir, terlanggar dan dilanggar
lalu namamu dipanggil
balik derit roda dan brek tayar
mungkin juga engkau antara yang bertuah
punya masa beristeri dan beranak
mungkin juga bercucu dan bercicit
lihat mereka berijazah, berkerjaya dan berkeluarga
masa pula mencemburuimu
memamah dirimu jadi lemah dan lesu
penyakit datang berkembar membiak
hingga tiba harinya tubuhmu tak mampu
menggendong jerih perih perit lagi
lalu namamu dipanggil
di balik sayup syahadah
bisikan anakmu di cuping telinga
tatkala engkau tercungap di pangkuannya
alangkah, bertuah!
mungkin engkau antara yang terpilih
dihadiahkan penyakit dengan tarikh akhir
barah sudah merebak tiada ubatnya
tiga hingga enam bulan kata pakar
mulalah engkau cermat dengan masa
menghayati segala nikmat yang dipinjamkan
memisah antara sementara dan abadi
kerana engkau mula sedar
masamu sudah bergaris tamat
engkau mahu siap sedia
giliranmu semakin terasa
alangkah, bertuah!
atau mungkin engkau seperti aku
terima berita kematian bertalu-talu
baru terfikir esok mungkin bukan milik diri
lalu engkau mula cermat dengan tindak
menginsafi segala silap dan salah
hanya untuk mengumpulnya semula esok hari
apatah lagi pada awal tahun baru
dihadiahkan sebuah kalendar biru
tanda harapan untuk hidup satu tahun lagi
kita lalui hidup ini
antara sedar dan lupa
bila-bila saja nama boleh dipanggil
untuk menjengah pintu bumi
hakikatnya kita sedang beratur
barisan panjang melilit berbelit
mengelilingi benua dan lautan
nama kita pasti dipanggil
untuk melangkah batas bumi
hanya tunggu masa
dan entah bagaimana
Noridah Kamari

0 comments :

Post a Comment