Thursday 25 October 2012

Pesan oleh NurPertunjuk

Dik, jika kau melangkah kakimu ke ufuk itu
bersedialah
menggugah rasa aman
hilang selera makan
tidur tiada keruan
tidak boleh lagi bicara kosong
setiap kata dipertanggungjawabkan
meski suara tidak kedengaran
di telinga-telinga Dekan


Dik, bila kau ke menara itu
nikmatilah
jamuan-jamuan peluang
dari dewan
mahupun di pinggir jalan
kerana tesis tak semesti kritis
nyanyian bukan hanya hiburan


masyarakat akan melihat kau sebagai calon:
Wirasakti; memikul bebanan


kucing-kucing kelaparan
anak kecil tidak disusukan
wanita bertelanjangan
anak muda suntik-suntikkan
setiap tindakan menuntun pertimbangan


Ingatlah Dik, tidak mudah nakhodai bahtera
Sungai keringat, Lautan tangis
Gunung hampa, Dataran kecewa
tidak kurang pula
Taufan fitnah, Banjiran cerca
yang paling bahaya
lintasan Halimun hasad
menikam kejam dalam diam


semuanya harus kau tentang
dengan alunan kesabaran


Pesanku Dik, jika kau mahu takluk istana
hanya untuk peroleh takhta
aku rasa tidak usah
apa makna meraih takhta
hanya untuk berasa puas
lebih baik kau di luar sana
selongkar rahsia seisi buana


Tapi Dik, jika masih kau mahu ke taman itu
sunting bebunga ilmu
petik bebuah ihsan
tanam bebenih iman


Pergilah Dik...
Jangan lupa
Cium tangan ibumu, minta restu.


NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk

0 comments :

Post a Comment