Wednesday 10 October 2012

Hilang Sudah Rentak Tarinya oleh Muhd Nadim Adam

Siapa gerangan si anak muda yang berjiwa gundah?
Saban hari mencari rentak tarinya yang semakin pudar
Setiap detik jantungnya berdebar-debar
Menantikan suatu kepastian yang
sebenarnya masih belum sudah


Cuba dijejak rentak tarinya yang semakin pudar
Diselongkarnya sejarah silam, diterokainya angkasaraya
Namun masih ada rasa sangsi, masih kurang berani,
dimomok perasaan kerdil dan rendah diri
Menjadi racun mawar berduri

Di kiri dan kanan masa terus berlari, tiada kembali
Malangnya rentak tari itu semakin jauh menghilang
Di tengah-tengah suara sumbang laungan bergema
Menyeru jelata supaya Melayu jangan mudah lupa
Kerana hari ini kita rasa berjaya,
namun esok lusa janganlah alpa

Masih lagi terngiang-ngiang di telinga akan pesanan bonda
Katanya secara selamba, "Apa guna melaung merdeka?
Sedangkan kaki dirantai, mulut dikunci, jiwa dijajah"

Maka anak muda itu semakin gundah
Pudar rentak tarinya masih belum terbela
Akibat anak-anak bangsa yang semakin terlupa arah
Masing-masing mencari bahagia, lalu beraja di hati,
sehingga tewas, membakar diri sendiri.

Muhd Nadim Adam

0 comments :

Post a Comment