Thursday 12 September 2013

Terima Kami Seadanya oleh Khaziah Yem

Berkepak-kepak terbang si gagak
di pohon beringin bertapak
ingin bertapa mencari makna
erti kehidupan sebenar
seperti sang sufi mencari makna
dalam khudus alam ghaib

Pandangan si gagak terus memanah
teman sekawan di pohon nun jauh
biarlah dia menyendiri seorang diri
agar jelas pandangan sufi
biar jelas cerminan diri

Kalaulah paruh dapat menguntum senyuman
dapat juga memperlihatkan hatinya yang suram

Gagak dah lama fikir-fikirkan
Gagak dah lama rasa-rasakan
Gagak dah lama dengar-dengarkan
Gagak dah lama pandang-pandangkan

Gagak sedih pandangan manusia
terhadap kaum sejenisnya
kata orang hitam lambang kegelapan, kejahatan
apakah warna peranan berkesan?
wajarkah kami dikaitkan tanpa pembelaan?

Terimalah kami seadanya..

Dongeng Inggeris mengait makna
petanda buruk, alamat tak baik
ilmu sihir tidak menjadi
tanpa kami sebagai pemerhati

Sastera Melayu merangkai cerita
hitamku dihodoh-hodohkan
Si Tanggang disumpah gagak jadinya
juga pembawa berita bencana

Kata orang kami jenis pendendam
seperti Mak Menti kami didam
bukan pendendam jenisku satu hati
berjuang membela jenis sendiri
kalau bukan kami siapa lagi?

Asal usul kami diolah buruk sekali
konon sombong hidung tinggi
padah diterima hingga kini

Beginikah akal manusia yang mencorak dunia?

Terimalah kami seadanya...

Kehadiran kami bagai disingkir 
di hutan konkrit metropolitan
ke mana harus membawa diri
hadir kami setakat menyusahkan
das-das tembakan mengerunkan kami
bertaburan kami terbang lari

Nyawa melayang apakah perlu?
hadir kami benarkah mengganggu?
hadir kami bolehkan rosak kemajuan duniawi?

Terimalah kami seadanya...

Tanpa hitam tiada putih
tanpa jahat tiada baik
tanpa hodoh tiada cantik

Hadir kami ada cerita
hadir kami ada makna
ying dan yang 
syurga dan neraka
bukankah itu akhir cerita dunia?

Sekurang-kurangnya...
kami menambah
perbendaharaan kata
jenis unggas mergastua

Terimalah kami seadanya...

Khaziah Yem

0 comments :

Post a Comment