Thursday 12 September 2013

Balada Bukit Botak oleh Farihan Bahron

kelmarin,
kita sering hilang kerana khayal mencari lelabah
di balik semak belukar, dan kita masih seronok
berlaga ikan dalam balang, masih juga seronok memukul canang
dan leka menangkap belalang di padang lalang
seronok menarik layang-layang
beruratkan benang kaca
kawan... kelmarin kau dan aku masih ligat
berkejar-kejar urat
dan masih terkinja-kinja bermain jelon, begitunya gelitis
tak senang duduk diam kerana mahu bermain sojar-sojar
berperang-perang, bertembak-tembakan, berpistol-pistolan
bersama berkubukan bantal dan kekabu
hingga tak sedar
mentari dah lama pulang

kawan... semalam kita masih lagi bicara tentang kehidupan
sambil memetik gitar tong beriramakan lagu-lagu cinta
lagu rakyat, lagu keadilan, lagu perjuangan, lagu kemusnahan
dan semalam juga kita masih lagi berdebat tentang kesahihan masa depan
apakah intan apakah berlian yang kita agungkan
apakah hujan apakah taufan yang sama kita dambakan
di kolong blok itu juga kita masih berbincang pasal dunia
apakah kita tamadun, apakah kita jakun, atau hanya
sekadar pura-pura berlakun?
dan sepanjang malam kita masih lagi berbual hingga tak perasan
bulan dah lama sampai ke sebelah alam

kawan... hari ini kita sempat berbicara
walaupun rupa kita serupa, sama gondol, sama hijau
sama mentah, sama semuanya
telah kita bersama melafaz akad nikah di balik cahaya
lilin yang seakan mentertawakan kematangan usia kita
sama kita berjalan seiring, berlari serentak
sehayun langkah kiri, kirilah kita, setapak langkah kanan
kananlah semuanya
kita juga telah memanggang kulit di bawah terik zuhur
sama gelap, sama merah, sama menitiskan peluh dan air mata lelah
apakah sudah kau lupa di bukit anu
saat kita berkubang di dalam lumpur dek hujan, saat bergolek
ke sana ke sini dek musuh yang tak pernah kelihatan?
kiranya tangan dan kaki bisa berkata-kata,
mungkin dipohon agar dicabutnya mereka
saatnya nafas seakan mengejar angin dan saat darah tiada mengalir ke kepala
sudahkah kau lupa kawan?

kawan...
apakah esok kita masih lagi bersama?
merintangi lekuk dan danau menyeberangi sungai dan paya
memerangi nafsu dan kemahuan
menentang musuh-musuh yang tidak kelihatan
biarlah esok sahaja yang menentukan
kerana kita masih lagi perlu tidur dan sama berdengkur
dan kita harus bangun kerana tanah tempat bonda tumpahkan darah
masih lagi memerlukan kita
mungkin esok
kita akan sambung bicara...

Farihan Bahron

Rujukan: Noridah Kamari & Farihan Bahron, (2005). Kail Panjang Sejengkal: Antologi Puisi. Singapura: [s.n.] 

0 comments :

Post a Comment