Thursday 12 September 2013

Syawal Ramadhan oleh Rafaat Haji Hamzah

Seorang teman bertanya kepadaku
"Apa yang kau lihat bila Ramadhan tiba?"
Kulihat Syawal, Kulihat Syawal,
Kulihat Syawal disampingnya

Kulihat Syawal dalam Ramadhan
Kulihat keghairahannya sewaktu berbuka
Kulihat kekecohan semasa berbelanja
Kulihat kesibukan semasa berpuasa

Syawal Ramadhan
Syawal di sebalik Ramadhan
Syawal lebih penting dari Ramadhan

Syawal Ramadhan
Kulihat terawih meleleh hingga ke kolong-kolong blok
Kulihat tadarus hanya untuk yang tua sahaja
Kulihat Haig Road penuh waktu berbuka
Kulihat Lailatul Bazaar lebih gemilang
Dari Lailatul Qadar
Kulihat orang makan dan minum seperti biasa
Kulihat orang merokok semaunya
Kulihat Syawal sepanjang masa

"Apa pula yang kau dengar?"

Kudengar Ramli Sarip dengan lagu Ramadhannya
Kudengar Ahmad Jais, Saloma, Rafeah Buang, P. Ramlee
Dan lain-lain menjadi pilihan dendangan Aidilfitri
Kudengar M. Nasir menjadi penyanyi pujaan minggu ini

Tiada lagi malam tujuh likur yang terang benderang
Dan mercun berdentum kerana kita amat patuh
Dengan amaran pemerintah dan polis

Tahun demi tahun Ramadhan silih berganti
Tahun demi tahun Syawal datang lagi
Tiada yang berubah selain dari kita
Tiada yang berubah cuma
Hari Raya menjadi kurang meriah
Dan banyak belanja.

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

0 comments :

Post a Comment