Tuesday 7 May 2013

Pada Tanggal Yang Janggal (Versi Lanjutan) oleh Rafaat Haji Hamzah


Sembah:
Ampun hambaku beribu-ribu ampun
Sembah beta harap diampun.
Politik:    
Suara terbanyak kalah
Yang dipertikai menang
kerana yang mempertikai pilih mereka.
Adab:  
Lelaki pegang perempuan, biasa
Perempuan pegang perempuan, luar biasa
Lelaki pegang lelaki, Alamak!!!
Bahasa:  
Nenek belajar cakap Inggeris
kerana cucu tak tahu cakap Melayu.
Biasiswa:
Bantu yang cemerlang
bukan yang kurang.
Ekonomi:
Hanya yang kaya
layak berhutang.
Agama:  
Yang sesat mencari kitab
Yang dah ada kitab, ubah.
Pelajaran:
Yang menghafal pandai,
Yang belajar, pandai-pandai.
Ilmu:
Yang tak tahu, bodoh
Yang tahu, bodoh-bodoh.
Jantina:
Yang lelaki, sexist
Yang perempuan, feminist
Yang bingung, semua rembat.
Makanan:  
Yang halal, ada cap
Yang haram, cap sendiri.
Fatwa:
Boleh diubah
Yang tak boleh ubah, Hari Raya.
Jenayah:  
Yang rogol, 23 tahun
Yang dirogol, 80 tahun.
Keluarga:    
Mak sayang anak
Anak sayang amah.
Keluarga:  
Mak sayang ayah
Ayah pun sayang amah.
Sekolah:      
Murid takut guru
Guru takut mak bapak.
Penyanyi:  
Yang main bola buat album
Yang menyanyi jual burger.
TV Melayu:  
Televisyen 12
Stesen 1 aje!
Drama Melayu:
Yang Malaysia punya bagus
Yang Singapura punya pun bagus
Yang 60 episode? Ha! Ha! Ha!
Radio:  
Yang dengar orang Singapura
Yang diperdengarkan orang Malaysia.
Forum perdana:
Yang nak disampaikan, syarahan
Yang peminat nak dengar, Raihan.
Perkahwinan:
Yang cerai diceritakan banyak
Yang tak nikah tapi kahwin
tak ada cerita.
Zuriat:  
Yang tak ada anak, cari anak angkat
Yang ada anak, jemur atas galah.
Pada tanggal yang janggal,
Yang tak janggal tertinggal,
Pada tanggal yang janggal,
Siapakah yang sebenarnya gagal?

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

0 comments :

Post a Comment