Tuesday 14 May 2013

Manusia Gerak Cepat oleh Rafaat Haji Hamzah

8.00 pagi :
mereka mulai menderu
langkah deras
seperti askar kawalan
muka mencermin otak-otak kosong
badan bergerak membawa mimpi-mimpi enak
tubuh masih tertinggal di katil
tangan berbekal akhbar harian
fail pejabat mula mengisi ruang-ruang kosong

12.00 tengahari :
mereka menderu lagi
langkah makin segar
kerana perut makin lapar
bunyi-bunyi sepatu ramah berlagu
walau si pemakai masih membisu
hanya lima belas minit untuk makan
yang bakinya sengaja diketepikan
untuk menyambung mimpi
atau berborak dengan teman

5.00 petang :
mereka menderu lagi
kali ini kurang pantas
kerana setiap titis tenaga telah terperah
ke otak dan segala otak telah terperah
kepada kompeni dan firma masing-masing
tenaga yang baki harus diperah
untuk keluarga dan anak-anak
tapi langkah longlai sedikit

epilog :
lebih cepat kita bergerak
belum tentu jauhnya

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

0 comments :

Post a Comment