Monday 2 December 2013

Talqin oleh Rafaat Haji Hamzah

Wahai!
Si polan melayu bin si polan islam
Hari ini telah tiba saatnya
Telah sampai harinya
Kita melihat dengan mata kepala

Bahawa
Setiap yang kita tonton di kaca TV
Di layar lebar adalah benar.

Yang manusia berbunuh itu benar
Yang memperkosa anak tirinya itu benar
Yang membunuh anak kecil yang tidak berdosa itu juga benar!

Yang ibunya khayal dek dadah
Yang bapa tirinya penuh serakah
Yang neneknya bertattoo
Itu semua benar.

Sementara yang kita baca di dada akhbar juga benar.

Yang remaja dua beradik menetak orang dengan parang
Itu benar.

Yang mati ditikam dalam kondo Kuala Lumpur itu benar

Yang abang-abang merogol adiknya setelah menonton video lucah
Itu benar.

Yang ustaz binatang beristeri sepuluh merogol anaknya sendiri itu
amat benar!

Yang kita jumpa setiap hari
Yang kita lihat setiap masa
Yang kita tonton dalam siri drama hanyut
Itu benar belaka!

Percayalah!
Bahawa setiap apa yang kita lakukan di dunia
ini akan dikira

Yakinlah!
Setiap apa yang kita jalani akan dihisab!

Percayalah!
Wahai kamu yang duduk di belakang meja
Wahai kamu yang berdiri di mimbar
Wahai kamu yang bergelar menteri
Wahai kamu yang bergelar guru
Wahai khalifah zaman dan umatmu

Segalanya bukan lagi igauan
Bukan juga impian
Tapi suatu ngeri yang menjadi kenyataan.

Percayalah!
Di atas segala kebenaran ini,
Atas nama Tuhan dan agamamu.
Dengan hanya berdiam juga,
Kita semua turut berdosa!

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

0 comments :

Post a Comment