Monday 2 December 2013

Makna Sebuah Agama oleh Khaziah Yem

tanpa agama
kita hanyalah seekor manusia
hidup berpaksi naluri
benang-benang malu seurat pun tiada
hukum akal bertongkat hati
hukum rimba

lautan ghairah nikmat pesona nafsu
lorong-lorong hitam selaput dosa
tarian rona-rona dunia 
rakus mengancam
pemuja materi dan kemewahan
rasa berkuasa menguasai
naluri haiwan berkumpul jati

tiada pegangan, tiada tujuan
kerepotan manusia ingkar agama
hilang cahaya tinta nestapa
pada hati sembahan di mata
kebanggaan yang sementara
bak embun pagi hilang sahaja

Agama bukanlah dongeng
tentang mambang
yang sulit dijelaskan

Dengan agama
terlahirlah insan
Keimanan menjadi pakaian
terpancar nur kudus halus 
sejuk menyerap ke tulang sulbi
kendali hati 
faham lahir diri
berpegang pada tiang yang hakiki

tenang minda 
menggarap makna
antara yang ada dan tiada
kemewahan materi jambatan ikatan
antara hidup dan mati

Tanpa agama
kita seekor manusia
Dengan agama
kita insan istimewa
di sisiNya

Khaziah Yem

0 comments :

Post a Comment