Monday 2 December 2013

Berjuang Bukan Menentang - Warkah Buat Sis oleh Khaziah Yem

Salam Sis,

Syukran atas kata-katamu yang baik budi
Menjadi peringatan bagi diriku ini
Kami bukan menentang takdir Illahi
Namun penentangan yang kau maksudkan
mempunyai makna yang berbeda bagi mereka yang mengalami
Inikan pula bagi mereka yang tidak pernah melalui

Katamu kami harus menerima dan reda
Tidak boleh menentang kehendak Illahi
Sesungguhnya menentang tidak sekali
Kami berjuang menerima keadaan diri dan hidup sebegini

Sis,

Apakah harus anakku membiarkan sahaja melihat alam kanak-kanaknya 
perlahan-lahan merayap meninggalkannya...
Apakah harus anakku diam melihatkan kebebasannya dikekang...
Apakah harus anakku diam merasa diri tiada masa hadapan...

Dia harus berjuang
Berjuang bukan bererti menentang.

Dan aku..

Apakah harus aku diam sahaja tatkala melihat tubuhnya
tinggal isi dan tulang seakan anak-anak kebuluran waktu perang..
Apakah harus aku mendengar sahaja keluhan dan rintihannya...
Apakah harus aku berdiam diri melihat dia terdiam pasrah..

Dari matanya kulihat satu penanggungan yang tidak terhingga
Satu penanggungan yang telah putus asa, telah pasrah, telah reda...

Sis,
Kami akur akan kasih sayangNya...
Kami berjuang untuk mendapatkan kasih sayangNya..
Kami berjuang bukan menentang.

Wasalam, 
Khaziah 


Khaziah Yem

0 comments :

Post a Comment