Friday 22 November 2013

Potret Diri Seorang Yang Bernama Aku oleh Suratman Markasan

Aku besar di tengah keributan keluarga
bapaku mencintai ibu dengan
tangan kasar pipi ibu ditangan
ibuku menyayangi bapa dengan
caci sayang hati bapa dibakar hangus
aku tergantung di atas langit-langit
bara dan asap di bawah
keringatku melilih dan adik-adik
menjilat
menghisapi
hingga darahku
tersedut sama

bapaku hilang riwayatnya
ibuku menjual kehormatan
aku tidak kenal di mana
abc & 123 dan telingaku
tak pernah dibisik dengan alif ba ta
ibuku pandai merokok juga
kenal ace king & queen
adik-adikku tak pernah
minum susu ibu
kerana susu ibu sudah dijual di pasar

aku menandingi ibu
kalau harganya 20 dollar Singapura
aku laku 20 dollar Amerika
kalau keringatnya dimakan king & queen
adik-adik yang menghisap darahku
mereka besar juga dan
melihat bapa tiri bertukar wajah
mereka kenal pintu sekolah tapi
fikirnya diganggu mimpi buruk siang hari

aku tiba-tiba suatu hari menjadi ibu
tanpa suami yang berani berbisik
di hatiku: akulah bapa anakmu!
aku tenggelam dalam-dalam
di pasir-pasir basah yang berisi
makan minum yang melempar kepalaku
jauh dari dunia celaka ini
semakin aku meronta semakin dalam fikiranku tersorok
bagai pasir selut yang tak kenal ampun
aku dipergok polisi Negara
air kencingku tak bisa dibohongi

aku diamankan dua tahun
putus berita adik-adik dan
anakku tanpa bapa yang jantan
ibu tidak pernah tunjuk muka
kerana aku tak pernah mengharapkan
kehadirannya di muka bumi ini
aku teringat adik-adik dan
anakku tanpa bapa yang jantan

aku tak pandai berdoa
kerana aku tak pernah tahu
di dunia ini ada Tuhan yang menyayangi aku
tapi di sini fikiranku kembali waras
tubuhku tidak digeluti
kemudian aku tammat sekolah latihan
aku kembali bertugas lama
kerana tidak ada tangan yang menarikku
cuma mulut-mulut yang menarik kepalaku
dan mataku kabur-kabur dengan dollar di depan

aku lupa menghantar air kencing
minggu berikut aku diseret polisi Negara
bahasa pegawai lebih rendah
daripada pelangganku di kelab malam
kerana mereka bilang aku:
anjing yang lebih anjing daripada anjing-anjing!
air kencing tak bisa dibohongi
tapi aku berani sumpah, oh Tuhan yang baru kukenal
aku tak terbenam di pasir-pasir lagi
tapi semua manusia memalingkan wajahnya
kepada aku-aku-aku
yang lebih anjing daripada anjing-anjing

aku diamankan lagi
berapa tahun aku tak pusing kepala
tapi yang pokok kau yang bernama manusia
harus tahu hati kepalaku
aku baru menemui manusia yang manusia
pabila dia datang satu hari padaku
aku bilang aku tak betah hidup di luar
kerana di luar aku tak menemui manusia yang manusia
yang ada syaitan-syaitan yang akan menguliti tubuhku
atau malaikat-malaikat yang memalingkan wajahnya
pabila bersua tubuh kasar ini

sekarang mahu kau tahu siapa aku?
aku adalah kau-kau-kau yang bernama aku
telinga hidung mata tangan mulut serupa
tapi kau bilang hatimu putih bersih
atau sebenarnya tersembunyi jelaga jauh ke dalam
yang pasti kau nampak dengan senyummu
aku adalah penagih dan penyedap
yang tak dapat mencari jalan pulang
kerana jalan itu telah kau tutup rapat-rapat-rapat
sampai hari kiamat!

Suratman Markasan

Rujukan: Suratman Markasan, (2004). Puisi Luka Dan Puisi Duka (Puisi-puisi Pilihan 1979-2002). Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

0 comments :

Post a Comment