Friday 22 November 2013

Dalam Almanak oleh Noridah Kamari

(tergerak daripada sajak Sutardji Calzoum Bahri, Kapak Hitam)

aku cuba takik almanak ini dengan kapak hitammu, sutardji
ingin aku lihat isninku selasaku jumaatku mengalir
bak sungai waktu yang tak bertepian
deras meluncur dari 365 kotak-kotak
pantas melepasi putaran 1 hingga 12

yang sudah terlalu lama mengait bayang bayang
yang sudah terlalu lama mencongak kehidupan
yang sudah terlalu lama meluruhkan daunan
yang sudah terlalu lama memburui luka
yang sudah terlalu lama menoktahkan mimpi
yang sudah terlalu lama membekukan dunia

kotak-kotak ini menjadi lopong-lopong hidup
membendung hari dan saat menjadi salinan salinan
yang berlalu kini serupa dengan semalam atau esok
tiada denyut dan debar dalam takwim ini
sesekali dihiburkan dengan perayaan itu ini
sesekali dirancakkan dengan panjangnya cuti
hingga tawa dan tangis menjadi emosi serupa
seakan diarah mengalir dari skrip drama maya

dan masa terus menjadi hamba yang 
mengabdi kepalanya kepada almanak
yang menjanjikan hari esok dan lusa dan tulat
hingga ke helaian terakhir
sebelum aku buka lembaran almanak baru
dengan api azam yang tak pernah luput bahangnya
untuk hidup setahun lagi

aku cuba takik almanak ini dengan kapak hitammu, sutardji
ingin aku lihat isninku selasaku jumaatku mengalir
dalam darah keringat dan airmata
tapi aku hanya mampu merangkak dari kotak-ke-kotak
kerana hidup ini perlu ada yang dikorbankan
biar mimpi hilang dalam lopak lopong kosong ini
yang wira itu sebenarnya mereka yang paling tahan diuji
biar dalam bebas atau balik besi bergerigi

demi penakatan,
aku hidup untuk hari ini

Noridah Kamari

Rujukan: Noridah Kamari & Farihan Bahron, (2005). Kail Panjang Sejengkal: Antologi Puisi. Singapura: [s.n.] 

0 comments :

Post a Comment