Thursday 14 November 2013

Mimpi Bakal Isteri Jin (LS) oleh Khaziah Yem

Aku sering bermimpi bertemu ular
dalam mimpi aku dikejar

Ular berkata : Kahwini aku!
Aku jawab : Hei, ular! Bagaimana mungkin
ular berkahwin dengan manusia!

Aku bermimpi dikejar ular lagi
realiti hidup kuberkahwin berbadan dua
dalam mimpi berpusing-pusing mengelilingi ambin
terasa penat kududuk bawah pohon rambutan
sekonyong-konyong ular bertukar rupa
orang tua membawa kertas dan pena
ditulis di atasnya beberapa angka

Pada Mak Bidan luahan rasa :  Dia beri aku nombor.
Mak Bidan kata : Nasib baik nombor tidak dibeli.
Kalau kena, anak kau diambil pasti!

Antara mimpi dan alam nyata
sering kulihat lelaki berkain pelikat
kekadang menyerupa ahli keluarga
ikut sahaja ke mana-mana
sehingga kuterima hadirnya dalam hidup ini
walaupun ini satu misteri menghantui

Amalan sendiri merugyah diri
solat wajib, sunat serta zikir
tak lepas kudindingkan diri
memberi kekuatan takut dijauhi
iilmu perorangan turut dicari
pendamping bukan untuk kunikmati
salah tingkah binasa diri

Satu hari usai solat dia menjelmakan diri
hitam bagai arang, seperti kayu terbakar ngeri
jerangkung bertulang hitam aku tengokkan sahaja
jelmaan lelaki berkain pelekat yang ikut aku ke
mana-mana  

Aku berkata : Balik tempat kau, jangan ganggu aku lagi!
Dia menjawab : Pertolongan pasti kuberi
memang aku sering dibantu dalam mimpi
namun janjinya tak boleh kupercayai

Satu hari aku bermimpi lagi
pengantin berseri bakal dinikahi
busana pengantin bak bidadari
kain sutera kuning bersulam emas  
bertudung rona hijau
duduk di atas batu biduri bulan  
di kawasan bertanah, sedikit tinggi
menunggu bakal suami

Bakal suami tiba berkereta mewah
berbadan gempal berkaca mata hitam
memberi salam tiada yang sambut
kerana seorang diri aku di kamar suram
dia berbual sendirian aku diam membungkam

Tiba saat aku diijabkabulkan
Janji keramat menuntut disatukan
Hadirin berjubah putih membawa kitab
Saksi wali penuh beradab

Orang berjubah putih bertanya :  Bolehkah
wanita bersuami berkahwin lagi?
Bakal suami membisu, aku menjawab : Haram.
lantas bakal suami naik kereta dan terus pergi

Satu malam aku bermimpi lagi
lelaki gempal berkain pelikat
datang mencium di dahi
terasa sayu dan syahdu
kufaham bahasa sedihmu
kau akan meninggalkanku
mungkin telah tiba waktu
yang hak akan kekal
yang bathil terusir lalu


Sejak itu aku tidak bermimpi lagi….

Khaziah Yem

0 comments :

Post a Comment