Thursday 14 November 2013

Perigiku oleh Sidek Saniff

Di tengah-tengah pepohon merimbun
Sela bersela
Rumbia, kelapa, sena, kabu-kabu dan bambu
serta hijauan lainnya
dengan tanah becah
Licin selepas rahmat turun
merekah tanah bahang mentari
Melebar kaki
Jejari diulati
Mengandar air di dinihari
dan perigi sakti ini
yang orang kata ia berhantu
berpenunggu, berpuaka
yang meremang roma
bila irama jengkerik terhenti
Tapi ia kawanku nan setia
penghilang dahaga
penjaga marwah dara
Ia saksi mati
seorang tua dan anaknya
merentas liku-liku kehidupan
yang mencarik-carik dada
yang melorek-lorek masa muka
bertatih-tatih erti ketabahan
meredhai takdir Tuhan
tanpa dahi berkerut
mulut merungut
walau perut terus mencerut
Dengan sabar menanti air mengisi ruang
Dengan tabah aku dan ayah menunggu tenang
Perigiku, pepohonku,
Malam, dinihariku
Bersemadi, bersatu.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

0 comments :

Post a Comment