Wednesday 28 September 2016

Sajak Melayu Oleh Zulfadly Rashid Big

Kita dah tak punya
Sawah, kebun, dusun
Tanah pusaka turun-temurun,
Istana dah jadi taman,
ditebas sekali setahun.
Gasing, Wau Bulan, Jong,
Khazanah repository
Tongkat, kacip, gamat
Mainan laboratory.
Hukum dan adat
Saling sudah tak terlibat.
Santun dan sopan
Sekadar pamer-pameran.
Taat dan hormat
Tergantung pada undian.
Samping dan songkok
Untuk yang terbongkok-bongkok.
Kenduri-kendara
Majlis untuk para peniaga.
Pahlawan laksamana
Lakon-lakonan sahaja.
Puisi, pantun, peribahasa
Sekadar setakat pengisi masa.
Cincin, hantaran, pelamin
Simbol terjamin alat kelamin.
Tek pi Tombak Golok dan Keris
Hiasan dinding bersama cornice
Makan berdamai, bergotong-royong
Tercicir pindah dari kampung
Berjoget lambak, berdondang-sayang
Rancangan TV berulang-tayang
Jampi, serapah, petua, mantera
Tinggal tatapan Misteri Nusantara


Kita dah tak punya
masa
Mengutip mengenang
Menitis air mata

Kita dah tak punya
masa
Menjahit menyulam
Memori lama

Kita dah tak punya
masa
Menjadi patung
Beku kaku harap disanjung

Yang tinggal di tangan
Bukan pungut-pungutan
Dari suara rungut-rungutan
Telah kita kutip sesuatu
Bekalan zaman gembala ilmu


Kerana nama
Dikongsi sama
Bangsa dan bahasa
Satu dan sama
Punya kau dan
Punya aku
Kita tetap punya itu.
Kerana Melayu tetap Melayu
Itu kita semua tahu


‘Takkan tu pun Lu tak tahu?

Big

0 comments :

Post a Comment