Friday 31 October 2014

Yang Tersisih oleh Patimah Jaludin

Malangnya nasib anak itu
mengenangkan dirinya 
semua orang punya ibu
tapi dia sendirian selalu
ke mana pergi ibunya
mengapa dia dibuang begitu.

Mengapa dia dilontar di mana saja
di tempat sampah, di dalam longkang
dicicirkan di mana-mana
sepertinya dia itu jijik sekali.

Wahai ibu!
jika tahu anak itu tidak diperlu
tidak mahu dia wujud di dunia ini
kenapa dia dilahirkan
kemudian dibuang tanpa belas kasihan.

Inilah akibatnya keseronokan yang didambakan
inikah keinginan yang memang kau cipta
inikah kebahagiaan yang kau cari
mengapa tidak kau atasi dari mulanya
agar anak itu tidak lahir ke dunia.

Sesungguhnya ramai wanita ingin menjadi ibu
mahukan anak-anak yang dapat meneruskan zuriat
terkadang susah untuk memilikinya
tapi kau wahai ibu
membuang anakmu setelah dia kau lahirkan
kejamnya kau ibu
semoga dosa-dosamu diampunkan
carilah anakmu itu wahai ibu
agar dapat dipeluk erat dan mencium pipimu.

Patimah Jaludin

0 comments :

Post a Comment