Anak...
aku masih ingat
kau membesar cepat sangat
ilmu diajar sedikit amat
banyak lagi belum sempat kau dapat
tetapi kau tak sabar
hendak membesar dengan cepat
Daripada kurus ke bulat
daripada kering ke mampat
masih lagi merangkak
sudah hendak melompat
nakalmu tidak makan nasihat
sebab kau hendak membesar dengan cepat
Anak...
aku masih ingat
baju kurung kau sudah tak minat
kau kata rimas dan kolot sangat
baju 'kurang' nampak pusat
kau sanjung
menjadi adat ligat melekat
seluar koyak ketat-ketat
melekuk-lekuk ikut aurat
kau bangga ramai yang melihat
kau kata ini baru hebat!
Anak...
fikiranmu cetek dan singkat
apa nak buat
nasihat sudah terlambat
kau membesar tanpa adat
Pak Mat tengok pun lemah semangat
si mat rempit bertambahlah minat
kumbang jalang semakin mendekat
pujian menggunung memasang jerat
Anak...
ingatlah ingat
simpanlah malu pada malaikat
usah ditempah azab dan laknat
sebab kau dah besarlah aku peringat
tak malukah kau kepada Yang Maha Melihat?
di saat bumi digulung bertukar sifat
dan langit tiada lagi berkudrat
ke mana sesal nak kau bawa bertempat
merintih taubat di api akhirat
Anak...
aku mahu kau ingat
jangan membesar cepat sangat
takut keliru membawa sesat
di dunia hebat di akhirat merempat
hanya menunggu api menjilat
junjung budaya junjunglah adat
junjung ugama melimpah berkat
tiang ugama menjaga solat
tanpa solat peroleh kualat
Anak..
ingat ya..ingat
jangan membesar cepat sangat
biar lambat asal selamat
Zainol Abi
0 comments :
Post a Comment