Thursday 27 March 2014

Pulau Rampasan Oleh Karmin Abbas

Diego Garcia
kusebut namamu
kerana putih kulit
hitam hatimu
tanganmu
mencabut akar-akar sejarah
suku-suku #Chagos
dengan lima generasinya

sedikit tak kau peduli
masa depan segugus pertiwi
satu demi satu
kau rampas
dan pemiliknya
kau tindas

Diego Garcia
kusebut namamu
kerana muslihat
rancanganmu kutahu
senyummu
memukau senusantara
satu-satu bobos
dengan tipu dan perdaya

namun
kucerap kelicikan itu
setinggi mana persada siasahmu
anak-anak gugusan
'kan dapat kembali
sesuatu yang bukan tahkikmu lagi

Diego Garcia
kusebut namamu
kerana selat ini
berbekas sesuatu
limpahan nafsu
ke pesisir renungan
bolak-balik hujah
dengan benih persengketaan

Karmin Abbas

0 comments :

Post a Comment