Dendam goda anak cucu Adam sampai hangus kerak neraka
Andai pastinya berlaku, adakah kita akan percaya?
Yang muncul merobek titian pelangi keadilan
Terlaksana kasta memuja dewa palsu hingga marhain manusia
Alkisah rentetan sejarah maka jelas tipu daya alasan bertujuan
Jika tercatat itu semua, adakah kita semakin percaya?
Laungan merdeka retorik nasionalisme agungkan elitisme
Hunus keris buat Melayu gagah di mata dunia
Walhal buta disula korupsi hasad dengki kuasa egoisme
Walau sedar hakikat ini berleluasa, adakah kita yakin percaya?
Membina jati diri insaniah berbakat global universal
Teknologi mangkin maju ilmiah mencakar langit
Jenayah semakin intelektual juga metafizikal
Tanpa sedar, alam milik manusia bukan milik Tuhan
Kita rasmikan agama sebagai musuh utama kebenaran
Arak itu khusyuk, dadah itu ghairah, rokok itu semangat
Wajarkah kita percaya?
Sajikan bulan bintang kejora mimpi bidadari bak kayangan Eden
Berakhir impian semua saat terlahir masyarakat miskin masa
Menakluk akal budi sehingga berani sangsi sang jauhari
Segala harum nikmat iman hanya rugikan jangka hayat
Tak pernah terhitung amalan dosa pahala jadi laporan timbang
Saat itu berlaku, adakah kita mahu percaya?
Retak seribu jati berpegang pada dahan rapuh
Gamam lagi saksikan kezaliman angkara setiap media warta
Yang percaya segala sesuatu kepercayaan!
Jauh lagi mentari kiamat terbenam yang kita sangka
Nescaya mutiara agama bukan lagi kepercayaan
Hanya ritual manusia bertaubat
Mewah darjat & mata wang itulah nirvana kita
Jangan buat kita takut lagi!
Kerana kau ilusi minda mimpi ngeri!
Kita tidak ingat dan inginkan mati!
Kita mahu hidup seratus tahun lagi!
Kerana kau dilema kalbu sengsara sepi!
Sengat kau berbisa hilang seribu bahasa
Kerana kau variasi versi