Showing posts with label Sidek Saniff. Show all posts
Showing posts with label Sidek Saniff. Show all posts

Monday, 2 December 2013

Belajar oleh Sidek Saniff

Belajar
Belajar
Belajar
Biar matamu rabun
Tersekang bersama turun embun
Bakar hati segenggam itu
Bersama lilin semalam
Asah otak segumpalmu
Duri terperosok didalamnya
Esok dunia kan berputar
Ligat sekali
Bersama karakter
Lincah sekali
Lemparkan tilam empuk itu
Selimut kemalasan lapukmu
Mereka berlari memecut
Kecut perut
Larian ini tanpa henti
Lalu berlarilah
Sekuat hati
Berlari
Berlari
Berlari
Berhenti
Bererti mati.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

TV oleh Sidek Saniff

Kotak ajaib ini
Punya otak sendiri
Guru anak-anak kita
Yang terpaku
di depannya
sepanjang waktu
Merobah rona hidup
meneroka falsafah baru
menobat budayanya

Hubaya, hubaya
jangan sampai satu hari
kau tergapai di rumah sendiri.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Ketua Pelajar oleh Sidek Saniff

Entah apa agaknya yang mereka pandang
Diri ini yang serba kekurangan
Tertolak kehadapan
Anak tanah jajahan
Di mercu kemerdekaan
Entah bakti apa yang dapat ku canai
Dengan otak sederhana amat
Sedang api kemerdekaan terus menghangat
Memarak galak
Dengan mata mat saleh
Principal terbelalak
Melihat Union Jack menyembah bumi
Entah apa sahaja
Yang telah ku lakukan

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Berlepas oleh Sidek Saniff

Keretapi mula bergerak
Begitu perlahan
Semboyan mengherdik nyaring
Bising
Mata mencari-cari
Wajah ibu, ayah, adik-adik
jiran sekeliling
Di celah-celah jeruji pintu
Mata bertemu, terpaku
Terpukau masa lampau
Membongkar dawai-dawai sejarah
Menyelongkar badai
Surau Radin Mas
Perigiku dan sebatang kandar
Kuih-muih bakul dan takar
Jiwa terus memekik
Adakah esok
Jejalan masih diselangi duri
Kaki terpaksi
Terseksa diri
Tuhanku
Lepaskan kami
dari lengkaran jahanam ini
Dengan golongan kertas ditangan.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Friday, 22 November 2013

Takai oleh Sidek Saniff

Ia ayam jaguhku
Nama ala Jepang
Warisan perang
Sebentar tadi
Waktu tua sedikit dari bayi.

Takai berjalan bersamaku
membimbit buku ke sekolah
Mengiringiku ke pokok jambu
Yang ku petik buahnya
waktu malam berbalam
bersama rakan, milik Nyai Yam.

Begitu ku pulang
Takai berkokok datang

Beras, jagung ditelapak tangan
jadi kesukaan santapan
Anak-anak memimiki muka disakiti
Bagiku ia bak therapy
Bikin darah mengalir lancar
Tubuh segar bogar.

Kepalanya ku usap mesra
Tapi ditajami
Bak keris
dah banyak jaguh terbaring
bila mengebeng betinanya.

Suatu hari
Berak kapur menyerang
satu demi satu mangsa melayang
Pagi itu
Takai merapatiku, sayu
Aku merapatinya, kaku.

Ia pergi membawa sama
Hati anak desa ini.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Thursday, 14 November 2013

Perigiku oleh Sidek Saniff

Di tengah-tengah pepohon merimbun
Sela bersela
Rumbia, kelapa, sena, kabu-kabu dan bambu
serta hijauan lainnya
dengan tanah becah
Licin selepas rahmat turun
merekah tanah bahang mentari
Melebar kaki
Jejari diulati
Mengandar air di dinihari
dan perigi sakti ini
yang orang kata ia berhantu
berpenunggu, berpuaka
yang meremang roma
bila irama jengkerik terhenti
Tapi ia kawanku nan setia
penghilang dahaga
penjaga marwah dara
Ia saksi mati
seorang tua dan anaknya
merentas liku-liku kehidupan
yang mencarik-carik dada
yang melorek-lorek masa muka
bertatih-tatih erti ketabahan
meredhai takdir Tuhan
tanpa dahi berkerut
mulut merungut
walau perut terus mencerut
Dengan sabar menanti air mengisi ruang
Dengan tabah aku dan ayah menunggu tenang
Perigiku, pepohonku,
Malam, dinihariku
Bersemadi, bersatu.

Sidek Saniff

Rujukan: Sidek Saniff (2004). Bukan Binatang Buruan Kumpulan Sajak 1955-2004. Singapura: Majlis Bahasa Melayu Singapura.