Showing posts with label NurPertunjuk. Show all posts
Showing posts with label NurPertunjuk. Show all posts

Tuesday, 22 January 2013

Mana Hala oleh NurPertunjuk

Ku telusuri jejak-jejakmu
Langkah ku terjah bebatu aksara
Tinggalan para pendeta penggugah bangsa

Ku singkap tirai jendela penguasa
Yang datang dan pergi
Meninggalkan bangsaku terus bermimpi

Ku dekati pujangga cinta
Suara merdunya menguak lena
Atau mendodoi mesra buat selamanya

Dengan resah, ku ke puncak nusa
Tangan kecilku mengumpulkan sisa
Membina kembali gerbang istana
Bersama sekumpulan hulu balang setia
Bukan menantikan kepulangan raja
Menunggu putera-puteriku kembali terjaga


NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk

Thursday, 17 January 2013

Lawan Bola oleh NurPertunjuk

Sebentar nanti
akan bermula
lawan bola

Wisel ditiup
meledak gerak
dari setiap penjuru merebut
bola yang satu mula teriak
dipulas dipagut dirampas diragut
terlantun ke sini-sana

Gerombolan pemuda-pemudi berkejar-kejaran
menolak menyiku tergolek tersandung
mundar mandir hulu hilir
bola dituntun menuju agung

Sorak puji dan keji berkumandang di jalanan
berbagai strategi diatur
arahan diberi
kepada pemuda-pemudi

Jurulatih berdiam diri
tenggelam dalam asakan berlarutan

Pemuda-pemudi terumbang-ambing mencari arah
bersama bola bersalut keringat dan darah

Wisel ditiup lagi
lawan bola sudah tamat
pemuda-pemudi berdiri lesu

ternyata semua kalah
semua tewas
semua gagal

...kecuali oportunis menghitung untung

Pendakian Yang Melelahkan oleh NurPertunjuk

Sungai keringat mengalir deras
Berhujan tangis di terik petang
Lelah kupanjati gegunung ilmu
Wacana curam diredah terjah

Di lerengan penuh perlumbaan
Kutempuh pelbagai liku
ke puncak buana kulihat

ada yang berlari
ada yang berjalan
ada yang terkandas di pertengahan

Yang cekal mengorak langka
Memeta rahsia seraut alam
Yang pasrah terkulai di  tepian
Patah harapan dirembas duga

Perjalanan ke menara gading
Walau sukar direntas jua
Walau sulit kuteruskan jua
Bersama bekal restu dan doa
Menjadi harapan seisi keluarga.

Sunday, 16 December 2012

AKAR oleh NurPertunjuk

Membenih, Menjalar, Menyusup
Di ruang-ruang minda
Menumbuh rasa Menyingkap jiwa
Membunga amanat untuk anak bangsa
Membuah belia bersemangat waja

NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk

Tuesday, 20 November 2012

Hijrah oleh NurPertunjuk

Tiba masanya dirimu ku tinggalkan
Sinar rembulan memberi isyarat hujung pertemuan
Batas waktu setia memisahkan
Walau kau meraung meminta belas kasihan
Tiada kan ku toleh menatap kepura-puraan
Yang selama ini menyelubungiku dalam kealpaan.

Tiba masanya ku tebarkan layar
Bendera Iman akan ku kibarkan
Bersama laungan azan memulakan perjalanan
Menuju daratan indah nan abadi.

Bersamaku kan ku bawa
Anak bangsa yang lapar dahaga
Ditinggalkan di tanah gersang
Oleh orang-orang tua yang bergelut-gelutan
Memamah dedaun kering taburan sultan.

Bersamaku ibu-ibu kan tersenyum riang
Diberi wewangian semerbak kasturi
Dibalut ihram penuh kesucian
Selembut sutera mengubat kedukaan.

Hari ini ku siapkan bahtera
Dengan muatan doa dan pesan
Buat bekalan ummah di akhir zaman
Supaya mereka tiada lemas di tengah lautan
Fantasi dan parodi umpanan syaitan.

Bismillahirahmanirrahim...
Dengan izinMu aku mulakan perjuangan.

Tuesday, 30 October 2012

Tekad oleh NurPertunjuk



Bila hati disulam tekad
Setiap tindak bercita tersemat
Belia maju penuh terhormat
Menjunjung bangsa di puncak terhebat

NurPertunjuk

Thursday, 25 October 2012

Pesan oleh NurPertunjuk

Dik, jika kau melangkah kakimu ke ufuk itu
bersedialah
menggugah rasa aman
hilang selera makan
tidur tiada keruan
tidak boleh lagi bicara kosong
setiap kata dipertanggungjawabkan
meski suara tidak kedengaran
di telinga-telinga Dekan


Dik, bila kau ke menara itu
nikmatilah
jamuan-jamuan peluang
dari dewan
mahupun di pinggir jalan
kerana tesis tak semesti kritis
nyanyian bukan hanya hiburan


masyarakat akan melihat kau sebagai calon:
Wirasakti; memikul bebanan


kucing-kucing kelaparan
anak kecil tidak disusukan
wanita bertelanjangan
anak muda suntik-suntikkan
setiap tindakan menuntun pertimbangan


Ingatlah Dik, tidak mudah nakhodai bahtera
Sungai keringat, Lautan tangis
Gunung hampa, Dataran kecewa
tidak kurang pula
Taufan fitnah, Banjiran cerca
yang paling bahaya
lintasan Halimun hasad
menikam kejam dalam diam


semuanya harus kau tentang
dengan alunan kesabaran


Pesanku Dik, jika kau mahu takluk istana
hanya untuk peroleh takhta
aku rasa tidak usah
apa makna meraih takhta
hanya untuk berasa puas
lebih baik kau di luar sana
selongkar rahsia seisi buana


Tapi Dik, jika masih kau mahu ke taman itu
sunting bebunga ilmu
petik bebuah ihsan
tanam bebenih iman


Pergilah Dik...
Jangan lupa
Cium tangan ibumu, minta restu.


NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk

Thursday, 27 September 2012

Tikus Kritikus oleh NurPertunjuk

Sebar virus
Bibir mulus
Bual tak putus
Tenggorok tak haus
Wajah nampak serius
Hati tak tulus


Tikus Kritikus

Terang jadi kabus
Kebenaran dibungkus
Pertalian diputus
Hanya mahu nampak bagus
Nista disisip rakus


Tikus Kritikus
Wabakmu mesti dihapus


NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk