Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Tuesday, 12 January 2016

Ini Nasi Yang Ku Suap oleh Masuri S.N

Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melentok dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap

Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir

Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas hujan dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari manusia

Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah beranting dan bertaut
ini nasi hasil dari — kerja
kembali pada siapa yang patut menerima

Jadi yang kumakan bukan berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi mengalir pasti
jadi kutelan bukan berasal dari padi
tapi dari urat dari nadi seluruh pak tani

Masuri S.N

Monday, 11 January 2016

Senja oleh Othman Bin Suhot

Itu sudah menjadi satu kebiasaan 
Kau datang bertamu,
Sebentar lagi, kau akan pergi lagi
Meninggallkan aku sepi
Biarkan saje aku kesendirian 
Senja...

Ketahuilah, saat kau menjelma
Aku suka memandang langit biru, 
Melihat sicamar pulang petang,
Melayang-melayang sayap-sayapnye
Menuju ke destinasi, yang aku sendiri tak pasti, ke mana arah nye

Dan saat senja bertandang juga
Tempat para-para penyair, 
bersandar segala sastrawi, mengungkap madah bersyair 
Keindahan engkau- senja

Tapi engkau tetap indah yang nyata senja...

Othman Bin Suhot

Betapa Rapohnya oleh Patimah Jaludin

Dulu!
kau kata cintamu ikhlas
kasihmu suci
sayangmu tiada tandingnya.

Tapi!
kenapa semuanya itu musnah?
betapa rapohnya cintamu
betapa rapohnya kasihmu
betapa rapohnya sayangmu
bagai ranting tua yang bakal tanggal dari dahannya.

Dulu!
kau lahirkan semua kata-kata manismu
kau ukirkan semua ayat-ayat madumu
malah kau berani bersumpah untuk menegakkan kebenaranmu
tapi mengapa sekarang kau lupa segala-galanya itu!

Sesungguhnya!
aku insan biasa
aku percaya pada Takdir yang maha kuasa
aku yakin tiap yang terjadi ada hikmahnya.
  
Patimah Jaludin

Pahlawan Negara oleh Effendi Yusop

Pelbagai perasaan menusuk kalbu
sebak sebu isak sedih
23 Mac 2015
engkau menghembuskan nafas
yang terakhir

Kepimpinan engkau bercahaya
menerangi seluruh buana
diiktiraf sebagai peguam
akhirnya pulang menerajui negara

Di kaca televisyen
air mata mengalir
lalu tumpah membanjiri pipi
'merdeka' engkau ucapkan
'merdeka' sekali lagi

Istana tersenyum riang
Yusof Ishak sebagai saksi
bekerja dengan ligat
untuk membangunkan negeri

Gerak hati mengatakan
bahawa engkau tidak bersendiri
Othman Wok dan Goh Keng Swee
S Rajaratnam di sebelah kiri

Lapisan masyarakat bersatu
tidak kira Cina,India atau Melayu
Zubir Said berbunga senyuman
lagu bertajuk Majulah Singapura

Kerana engkau Singapura maju
kerana engkau Singapura progresif
aku ucapkan terima kasih
Lee Kuan Yew
pahlawan negara yang tidak boleh
ditukar ganti

Effendi Yusop

Thursday, 26 February 2015

Persediaan Diri oleh Yesmint K. Hussein

Aku kekosongan di dalam gelombang putih
Menelan arus yang menghanyutkan takungan yang jernih.
Telah ditatang semalaman, diperam bak sebutir benih
Namun langit masih menjauhkan diri daripada bumi.
Aku kehilangan di atas kaki bertapakkan seribu nadi
Menjunjung langit dengan tangan, bertumit setinggi sepi.
Rezekiku tidak dicari dengan menenggelami kawan 
hanya bermandikan keikhlasan, berganti peluh setiap hari.
Kelaziman melayani kehidupan
menjadi alahan terhadap duniawi
Kekuatan melayari kesakitan
sudah lama mengebalkan diri.
Terlahir kekeluan terhadap kebiasaan
dalam buaian tidur ku temui Mati.
Nanti kencana mimpi tidak lagi aku genangi
setiap senja akan ku mengekori awan
menyiapkan diri untuk pulang kepada Ilahi.

Yesmint K. Hussein

Sunday, 8 February 2015

Anak oleh Zainol Abi

Anak...
aku masih ingat
kau membesar cepat sangat
ilmu diajar sedikit amat
banyak lagi belum sempat kau dapat
tetapi kau tak sabar 
hendak membesar dengan cepat

Daripada kurus ke bulat
daripada kering ke mampat
masih lagi merangkak 
sudah hendak melompat
nakalmu tidak makan nasihat
sebab kau hendak membesar dengan cepat

Anak...
aku masih ingat
baju kurung kau sudah tak minat
kau kata rimas dan kolot sangat
baju 'kurang' nampak pusat 
kau sanjung 
menjadi adat ligat melekat
seluar koyak ketat-ketat
melekuk-lekuk ikut aurat
kau bangga ramai yang melihat
kau kata ini baru hebat!

Anak...
fikiranmu cetek dan singkat
apa nak buat
nasihat sudah terlambat
kau membesar tanpa adat
Pak Mat tengok pun lemah semangat
si mat rempit bertambahlah minat
kumbang jalang semakin mendekat
pujian menggunung memasang jerat

Anak...
ingatlah ingat
simpanlah malu pada malaikat
usah ditempah azab dan laknat
sebab kau dah besarlah aku peringat
tak malukah kau kepada Yang Maha Melihat?
di saat bumi digulung bertukar sifat
dan langit tiada lagi berkudrat
ke mana sesal nak kau bawa bertempat
merintih taubat di api akhirat

Anak...
aku mahu kau ingat
jangan membesar cepat sangat
takut keliru membawa sesat
di dunia hebat di akhirat merempat
hanya menunggu api menjilat
junjung budaya junjunglah adat
junjung ugama melimpah berkat
tiang ugama menjaga solat
tanpa solat peroleh kualat

Anak..
ingat ya..ingat
jangan membesar cepat sangat
biar lambat asal selamat

Zainol Abi

Saturday, 31 January 2015

Qiam oleh Zainol Abi

Seluruh jiwaku memendam
rindu mandam mendalam
kuluahkan dalam diam
di anjung sepertiga malam
Kalam kasih bersalam
untaian zikir bersulam
raga hati tenteram
seperti air di dalam talam
'Kan kugenggam
pendupaan bara azam
'kan kusembam
kalut buih dosa semalam
Hibanya kutelan
pahitnya kutahan
bekalnya kusimpan
moga senang di hari kemudian.

Zainol Abi

Kembara Dalaman oleh Zainol Abi

Semakin dalam hijab alam ditebak
semakin karam jiwanya merana...
Di satu sudut sunyi 
ada sang murba yang pilu
menyaksikan kantu dataran bentala
runtuh di jejeran penjara kepalsuan
Semakin dalam puing kelancangan disemak
semakin dahsyat labun kebohongan dijamah mata...
Dikala dia lemah tersandar
pada bahu senja nan pudar
ditebarkan jala ricunya
memukat ciciran iman
menggugah lena taqwa
agar tidak bercempera
melawan arus kefasikan
Semakin dalam iman dipasak 
semakin dahsyat syaitan menggoda...
Dia memandang awan
dia mengerling bintang
bulan pun senyum seakan faham
karamnya kendiri bersendi iman.

Zainol Abi

Monday, 19 January 2015

Bayang oleh Zainol Abi

Tanpa diundang
Kau datang mengencang
Pintu hatiku tergenggang
Masih terasa siatnya
Masih teruja bisanya
Masih terbuka lukanya
Penangan sepak terajangmu
Di atas
Di bawah
Di kiri
Di kanan
Di depan
Di belakang
Kata kata misteri canggung terngiang
Di kelopak mata bergenang
Di pelupuk jiwa bergoncang
Fikiran jauh melayang
Menerawang
Imbasan igauan dikenang
Masihkah diri ini dibuang
Jauh ke dlm jurang 
Tanpa ada yg peduli mengenang
Setiap langkah dilejang
Dibayangi bebayang cenggang

Zainol Abi

Monday, 5 January 2015

Kekupu Malam oleh Zainol Abi

Semalam..
mereka merangkak keluar 
dari kepompong fitrah
maruah diperagakan
lelongan termurah
baht demi baht diselit
bertukar tangan 
bersulang keseronokan
Aroma jantan menerawang
di balik langkah kepit sumbang 
lantunan suara adam
menyilangi arus alam
akibat salah hormon disuntik
asal kejadian digadai diusik
lentiknya...geleknya
kalahkan itik
cantik?
entah..aku semakin pelik
mataku dibius asyiikk
senyum ghairah tak lokek
lembut santun melirik
lenggang lenggok si 'adik-adik'..
Sayang sekali
andai dapat kau selami
kau kan mengerti fitrah Ilahi
malang sekali
takdir hikayatmu begini
kau lemas dalam lautan cetek
berombakkan ilusi..
Krabi-fantasi bersulam realiti
Ka pun kap-mengakrabi jalan berduri

Zainol Abi

Thursday, 1 January 2015

Yang Dicari oleh Patimah Jaludin

Begitu lama ku harapkan
sekian lama ku nantikan

Nun! Di padang pasir yang luas terbentang
ku lihat wajahmu begitu syahdu
kau sepertinya mencari sesuatu
di tengah Arafah yang luas itu.

Kau seperti kehilangan
sesuatu yang ada di dalam benakmu
matamu tepat menuju ke Jabar Rahmah
seperti ada yang bermain di ruang matamu.

Lalu kau berdoa dan tafakur
di bukit sejarah itu
di tempat Adam dan Hawa dipertemu
begitu jugalah harapanmu
agar dapat dipertemukan jua
dengan insan yang terpisah denganmu
sekian lamanya.

Tapi, riak wajahmu tanda kecewa
yang kau nanti tak kunjung tiba
namun kau tidak putus asa

kau masih juga mahu berkunjung ke sana.

Patimah Jaludin

Sunday, 21 December 2014

Kosong...Kosong...Kosong... oleh Zainol Abi

Ada titis airmata
yang mengalir dalam jiwa
kosong...kosong...kosong
Ada luahan kata
bicara hampa
menggamit resa
kosong...kosong...kosong
Ada rekahan sukma
lara tak terkata
raung sebak berbisa
maki melata
berputus asa
mengapa
tidak boleh terima?
rebah egonya
kecundang akhirnya
besar tandatanya
berdengung bunyinya
kosong...kosong...kosong
Akhirnya
mulut yang
melopong...!


Zainol Abi

Mereka oleh Effendi Yusop

Dari kaca mata ku melihat
kau berlakon tanpa penat
bertahun sudah berlalu
di manakah kau Azhar, Azroy
dan Rafaat


Dendangan nasyid sungguh merdu
suara bagai buloh perindu
Al Jawaher memanggil Al Mizan
serta merta Hidayah datang


Celoteh kau atas pentas
membuat kita tak kering gusi
hati-hati jangan tempias
ku mencari Alias, Hussin dan Mahadi


Mas diberi gelaran
rakan baiknya bernama Suratman
Mohd Latiff menunggu Masuri
Isa Kamari berbunga senyuman


Sarkasi sibuk melukis batik
tanya khabar tuan tembikar
jangan panggil dia patik
nama dia Iskandar Jalil


Sayang disayang tajuk lagunya
flora fauna menyanyi nada sepi
wahai Iskandar Mirza dan
Kartina Dahari
tempat kamu di taman firdausi

Effendi Yusop

Wednesday, 3 December 2014

Bingkisan Doa oleh Zainol Abi

Izinkan ku lorek aksara hati
menyulam bait-bait puisi
agar dapat kau tenun
mencitra palitan 
wangian warna dan warni
dalam perca kehidupanmu ini
Tangisanmu tiada yang mengerti
tercurah berzaman kini
gelora hiba di kolam hati
kau renangi 
kendiri kau harungi
sejuta rahsia masih bersemadi
sejuta rahsia bernadi misteri
Tawamu cerminan sanubari
ketabahan dan harga diri
semangat utuh srikandi
yang tiada bergalang ganti 
Kubingkiskan doa dihimpun
stanza syairan kelopak hati
segala kebaikan padamu
ku pohon
membingkai seri 
di hari keramat ini
Selamat harilahir
padamu yang selalu 
tersemat di hati.


Zainol Abi

Sunday, 16 November 2014

Patutkan Aku Pulang oleh Izwan Manan

Mengapa engkau suruh aku pulang?
Pulang ke mana? Ke pangkuanmu?
Pulang ke zaman datuk nenek?
Pulang ke zaman Jepun?

Pulang ke zaman kegemilangan kata kau!

Apa ada pada zaman itu?
Siapa yang gilang? Siapa yang gemilang?
Engkau atau aku?

Tak habis-habis kau mengarah aku
Pulang ke sini
Pulang ke situ
Tidakkah kau tahu aku ini sibuk
Sibuk menangani masalah kerjaku
Masalah hutangku
Masalah keluargaku
Masalah bangsaku
Masalah agamaku

Kau apa tahu!

Kau jangan kacau aku
Aku dah jemu dengan soalanmu menyoalku
Aku dah muak dengan jawabanmu
Menjawab soalan yang bukan dipersoalkan
Yang senantiasa menjadi persoalan

Alasanmu kini menjadi rayuanmu
Rayuanmu hanya dimakan kuncumu
Kuncumu menjadi kunci masa depanku
Masa depanku hanya menunggu bila
Waktu Pulangku

Izwan Manan

Ribut oleh Zainol Abi

Mengapa ribut-ribut
semua mau direbut
dari jauh terembut-rembut
yang akhirnya kan putus runut
Mengapa ribut-ribut
semua mau direbut
ambil mana yang patut
jadi nafas tak semput
Mengapa ribut-ribut
semua mau direbut
tenang semakin kalut
jalan semakin kabut
Mengapa ribut-ribut
semua mau direbut
takut tak dapat diangkut
merana mati mengujut
Jangan ribut-ribut
jangan rebut-rebut
jangan ikut-ikut
jangan ikut ribut rebut


Zainol Abi

Wednesday, 5 November 2014

Coretan Guru Menjelang Keputusan (PSLE) oleh Khaziah Yem

Aduhai, anak-anak didikku...
Tenanglah...janganlah dibuai risau
Keputusan bakal menjelang

Tidakkah kautelah berusaha bersengkang mata
menelaah makna
tidakkah cukup guru-gurumu menabur jasa,
ikut resah merampang
tika kau tiada hati mengulang kaji
masih jauh peperiksaan lagi katamu
walaupun telah dekat dihujung hari
memancar panas bahang
kau tak gentar, resah pun tiada

Aduhai, Anak-anak didikku...
Sehari sebelum peperiksaan
gurumu memanjat doa agar semua
tidak lupa pelajaran diajar,
tidak ada yang panik, hilang
semua formula yang sekian lama
ditancap atau hanya semalam menghafal,
tidak ada yang pengsan,
tidak ada yang menumpang di tandas
menahan sakit perut akibat takut,
tidak ada yang mengantuk
tersengguk-sengguk
khayal tika penamu mula menari
aksara menjadi kelabu, hilang...
hanya air liur yang meleleh tenang

Aduhai, Anak-anak didikku..
Apa pun kerenahmu
menimba ilmu atau pengalaman
melimpah penuh atau separuh
bersemangat waja atau terlintuk lemah
semua telah tempuhi medan pertempuran
siap berkuda-kuda, berpencak silat
keris berkilat menghunus abjad-abjad

Tiada harapan setinggi Gunung Heng
Harapan kami kita semua
Kauberjaya menghambat cita-cita 

Hadapilah Anak-anak didikku...
tika keputusan sudah ditangan
harus kauredha

Yang berjaya
bersyukur jangan lupa
bertemasya ria
mulakan peta masa depanmu
mantapkan langkah majumu

tika kejayaan tak sejalan
dengan harapan
Harus kauredha jua 
mana baik buat teladan
mana tidak buat sempadan
yang penting kausedar
mana kesilapan mana kelemahan
kegagalan hari ini bukan penghalang masa depan

Apa pun keputusan
Apa pun takdir yang ditentukan
Gurumu ucapkan selamat 
Hidup harus diteruskan.

Khaziah Yem

Kembalilah Jiwa oleh Zainol Abi

Di manakah kamu
di saat azan mendayu-dayu
apakah jiwamu diam beriktikaf
atau sedang meronta
meronai khilaf?
Jiwa... masihkah kau bergelora
meniti samudera fana
raka sendi menanti pecah
tersiat luka membusung nanah
Pulanglah jiwa
aku meruah penuh keinsafan
bersimpuhlah ke datar kebenaran
usirlah anasir amukan
yang merayan
membisik keliru dilema kegalutan
Tenanglah pelupuk jiwa
istiqamahlah dalam narwastu lidah
berbunga untaian zikiran khafi
berenang lenang di tasik cinta
menyelam ke dalam rindu hakiki
Leraikanlah wahai jiwa 
rantai-rantai tipuan dunia
yang memasung keramat hati
yang mengelabui jerebu mata
yang mengkafankan secupak harga diri
Kembalilah jiwa
dalam keredaan
yang diredai

Zainol Abi

Friday, 31 October 2014

Yang Tersisih oleh Patimah Jaludin

Malangnya nasib anak itu
mengenangkan dirinya 
semua orang punya ibu
tapi dia sendirian selalu
ke mana pergi ibunya
mengapa dia dibuang begitu.

Mengapa dia dilontar di mana saja
di tempat sampah, di dalam longkang
dicicirkan di mana-mana
sepertinya dia itu jijik sekali.

Wahai ibu!
jika tahu anak itu tidak diperlu
tidak mahu dia wujud di dunia ini
kenapa dia dilahirkan
kemudian dibuang tanpa belas kasihan.

Inilah akibatnya keseronokan yang didambakan
inikah keinginan yang memang kau cipta
inikah kebahagiaan yang kau cari
mengapa tidak kau atasi dari mulanya
agar anak itu tidak lahir ke dunia.

Sesungguhnya ramai wanita ingin menjadi ibu
mahukan anak-anak yang dapat meneruskan zuriat
terkadang susah untuk memilikinya
tapi kau wahai ibu
membuang anakmu setelah dia kau lahirkan
kejamnya kau ibu
semoga dosa-dosamu diampunkan
carilah anakmu itu wahai ibu
agar dapat dipeluk erat dan mencium pipimu.

Patimah Jaludin

Shika oleh Effendi Yusop

Shika
Kehidupanku di sampingmu
bawah bimbinganmu ku tidak jemu
pada ku kau adalah permata hati
berbagai masalah kuhadapi
kau adalah kunci jawapannya

Shika

Aku masih ingat
apabila kau bersamaku
melalui tangisanku
kau menolong kumelihat
kemurungan diusik rindu azali
sebagai teman yang rapat dengan ku

Shika 

Pengetahuan yang kau beri
selalu sinar seperti bunga api
kutahu sebelah ku kau berdiri
menolongku melalui onak dan duri

Shika 

Tiada tempat yang kutujui
hanya kau penghibur hati
terima kasih kuucapkan
kau menerangi hidupku
seperti malam bulan di
pagar bintang

Effendi Yusop