Showing posts with label Anak. Show all posts
Showing posts with label Anak. Show all posts

Tuesday, 12 January 2016

Ini Nasi Yang Ku Suap oleh Masuri S.N

Ini nasi yang kusuap
pernah sekali menjadi padi harap
melentok dipuput angin pokoknya kerap
tenang berisi tunduk menatap

Ini butir nasi yang kukunyah
sedang kutelan melalui tekak basah
jadi dari darah mengalir
dalam badan gerak berakhir

Angin kencang mentari khatulistiwa
membakar raga petani di sawah
panas hujan dan tenaga masuk kira
dan nasi yang kusuap campuran dari manusia

Ini budi yang kusambut
pemberian lumrah beranting dan bertaut
ini nasi hasil dari — kerja
kembali pada siapa yang patut menerima

Jadi yang kumakan bukan berasal dari nasi
tapi peluh, darah, dalam isi mengalir pasti
jadi kutelan bukan berasal dari padi
tapi dari urat dari nadi seluruh pak tani

Masuri S.N

Monday, 11 January 2016

Senja oleh Othman Bin Suhot

Itu sudah menjadi satu kebiasaan 
Kau datang bertamu,
Sebentar lagi, kau akan pergi lagi
Meninggallkan aku sepi
Biarkan saje aku kesendirian 
Senja...

Ketahuilah, saat kau menjelma
Aku suka memandang langit biru, 
Melihat sicamar pulang petang,
Melayang-melayang sayap-sayapnye
Menuju ke destinasi, yang aku sendiri tak pasti, ke mana arah nye

Dan saat senja bertandang juga
Tempat para-para penyair, 
bersandar segala sastrawi, mengungkap madah bersyair 
Keindahan engkau- senja

Tapi engkau tetap indah yang nyata senja...

Othman Bin Suhot

Betapa Rapohnya oleh Patimah Jaludin

Dulu!
kau kata cintamu ikhlas
kasihmu suci
sayangmu tiada tandingnya.

Tapi!
kenapa semuanya itu musnah?
betapa rapohnya cintamu
betapa rapohnya kasihmu
betapa rapohnya sayangmu
bagai ranting tua yang bakal tanggal dari dahannya.

Dulu!
kau lahirkan semua kata-kata manismu
kau ukirkan semua ayat-ayat madumu
malah kau berani bersumpah untuk menegakkan kebenaranmu
tapi mengapa sekarang kau lupa segala-galanya itu!

Sesungguhnya!
aku insan biasa
aku percaya pada Takdir yang maha kuasa
aku yakin tiap yang terjadi ada hikmahnya.
  
Patimah Jaludin

Pahlawan Negara oleh Effendi Yusop

Pelbagai perasaan menusuk kalbu
sebak sebu isak sedih
23 Mac 2015
engkau menghembuskan nafas
yang terakhir

Kepimpinan engkau bercahaya
menerangi seluruh buana
diiktiraf sebagai peguam
akhirnya pulang menerajui negara

Di kaca televisyen
air mata mengalir
lalu tumpah membanjiri pipi
'merdeka' engkau ucapkan
'merdeka' sekali lagi

Istana tersenyum riang
Yusof Ishak sebagai saksi
bekerja dengan ligat
untuk membangunkan negeri

Gerak hati mengatakan
bahawa engkau tidak bersendiri
Othman Wok dan Goh Keng Swee
S Rajaratnam di sebelah kiri

Lapisan masyarakat bersatu
tidak kira Cina,India atau Melayu
Zubir Said berbunga senyuman
lagu bertajuk Majulah Singapura

Kerana engkau Singapura maju
kerana engkau Singapura progresif
aku ucapkan terima kasih
Lee Kuan Yew
pahlawan negara yang tidak boleh
ditukar ganti

Effendi Yusop

Sunday, 8 February 2015

Anak oleh Zainol Abi

Anak...
aku masih ingat
kau membesar cepat sangat
ilmu diajar sedikit amat
banyak lagi belum sempat kau dapat
tetapi kau tak sabar 
hendak membesar dengan cepat

Daripada kurus ke bulat
daripada kering ke mampat
masih lagi merangkak 
sudah hendak melompat
nakalmu tidak makan nasihat
sebab kau hendak membesar dengan cepat

Anak...
aku masih ingat
baju kurung kau sudah tak minat
kau kata rimas dan kolot sangat
baju 'kurang' nampak pusat 
kau sanjung 
menjadi adat ligat melekat
seluar koyak ketat-ketat
melekuk-lekuk ikut aurat
kau bangga ramai yang melihat
kau kata ini baru hebat!

Anak...
fikiranmu cetek dan singkat
apa nak buat
nasihat sudah terlambat
kau membesar tanpa adat
Pak Mat tengok pun lemah semangat
si mat rempit bertambahlah minat
kumbang jalang semakin mendekat
pujian menggunung memasang jerat

Anak...
ingatlah ingat
simpanlah malu pada malaikat
usah ditempah azab dan laknat
sebab kau dah besarlah aku peringat
tak malukah kau kepada Yang Maha Melihat?
di saat bumi digulung bertukar sifat
dan langit tiada lagi berkudrat
ke mana sesal nak kau bawa bertempat
merintih taubat di api akhirat

Anak...
aku mahu kau ingat
jangan membesar cepat sangat
takut keliru membawa sesat
di dunia hebat di akhirat merempat
hanya menunggu api menjilat
junjung budaya junjunglah adat
junjung ugama melimpah berkat
tiang ugama menjaga solat
tanpa solat peroleh kualat

Anak..
ingat ya..ingat
jangan membesar cepat sangat
biar lambat asal selamat

Zainol Abi

Tuesday, 30 October 2012

Anak, Wanita, Hamba, Aku oleh Khadijah Jantan

Aku hanyalah seorang anak perempuan,
Sayang.
Harapan.
Jatuh.
Usaha.
Pengorbanan.

Aku hanyalah seorang wanita,
Lemah.
Tewas.
Sakit.
Kecewa.
Bangkit.

Aku hanyalah seorang hambaNya,
Kerdil.
Dosa.
Hina.
Leka.
Lupa.

Aku adalah aku,
Lembut.
Tersenyum.
Gagah.
Positif.
Matang.

Aku adalah aku, anak perempuan, seorang wanita dan salah satu hambaNya.

Khadijah Jantan