Showing posts with label Hajis Salim. Show all posts
Showing posts with label Hajis Salim. Show all posts

Sunday, 20 January 2013

Hakiki oleh Hajis Salim

Rumput melata merata
Memenuhi lelaman dan lelapang 
Dalam kesendiriannya ia tidak nyata
Pada pandangan orang segala.

Merayap di celah-celahan
Merentasi segala olahan
Dalam caranya yang terus-terusan
Sehingga dalam ketidaksedaran
Tercipta hutan di sepanjang jalan.

Dalam kawanan lelalang
Ia tenggelam dari pandangan
Jelas tajaman-tajaman ceracak kekuatan
Menjulang meninggi ke awan
Dari sinaran cahaya bergemerlapan
Angkasa luas terbentang diperjelaskan
Mata menyusuri jauh melewati kuasar-kuasar
Bagai ketiadaan hari bagi dimengerti.

Air hujan menitis menitis
Jatuh satu-persatu
Membasahi lelalang lelalang rumput
Rumput rumput rumput
Rumput merata tidak terkata
Dibasahi air yang menitis
Lalu meresap ke bumi

Sekelompok pohonan
Yang bertempat di sini
Sudah lama kesejukan kegusaran
Kehangatan kelegaan dari hembusan nafas yang panjang
Batang-batang lelalang jadi teduhan
Urat-uratan lelalang jelas kelihatan membilang
Dan
Cahaya pelangi dari mentari terselindung indah sekali
Dengan deruan hembusan angin seribu bunyi.

Dari seisi bumi dan kehebatan cakerawala di jagatraya
Belum sezarah yang boleh melepasi
Kiraan ketentuan yang menyorot
Apa yang dipanggil hakiki.


Hajis Salim

Pesakit oleh Hajis Salim

Orang tua yang sakit di rumah sakit
Terlantar seorang diri di katil 
Terbaring miring 
Tangan lekap pada pipi kiri
Lelap tenang seperti tiada apa-apa lagi 
Tenggelam dalam situasi rehat yang paling dicari.

Dengan langkah cermat aku menghampiri
Hati-hati duduk di kerusi memerhati
Wajah lemah otot-otot kendur
Bahana berat beban lama bertapak
Tak terdaya lagi menolak kehendak.

Merenung mukanya tergamak tidak
Merampas damai yang sudah hilang ertinya
Lama duduk di kerusi di sisinya
Aku keliru
Antara kita apa.

Perlahan berundur berlalu
Di hatiku: begitu, biarlah begitu.


Hajis Salim

Friday, 18 January 2013

Bahteraku oleh Hajis Salim

Nabi Noh tidak terkata 
Disuruh membina sebuah bahtera
Di tengah-tengah rakyat jelata
Yang menjadi angkara murka.

Bina bahtera tiada lautan?
Perbuatan bodoh jadi sebutan
Dilawak bagai orang utan
Atau dalam pengaruh setan.

Tidak peduli nista dan cabar
Puas menasihat jangan ingkar
Tapi dituduh Noh kelakar
Rahsia apa hendak dibongkar.

Kisah ini banyak yang tahu
Tapi iktibar habis di situ
Berulang-ulang sejarah begitu
Mesejnya tenggelam beribu batu.

Bukan titanic jadi sasaran
Tidak juga bahtera ke bulan
Mari melihat diri si insan
Bahtera diri perlu diselamatkan.


Hajis Salim

Serangga oleh Hajis Salim

Penat tadi dibawa kaki
Meniti kerikil-kerikil 
Dalam kepuasan bebas merpati 
Terlepas terbang melihat keindahan alam
Yang selama ini terangkul dalam imaginasi.

Langkah-langkah kerancaman tempo
Dengan derapan gesekan ala inang dan zapin 
Sayup bergema memerangkap hati kembali
Yang terus menjunam balik ke bumi:
Ada sandiwara girang-gemirang
Ramai pula datang mengungsi.

Itu lurusan menggolek menggelek
Gelak membahak ketawa mengekeh
Itu ayunan menjulang ngeri
Ada pautan kuda merendah meninggi
Dibawa berlari Si Rusa Nani
Dalam kesegaran sedutan udara Hyde Park
Siapapun tidak mahu lupa
Kemeriahan sebegini.

Langkah-langkah bersejarah lagi
Bebanan raksasa gergasi
Menghitung saat dalam kabutan kegenangan
Dengan kepala mengiri
Hidupan diredas pohonan mengenepi
Udara sudah lama mati
Dalam satu kelipan mata
Terdengar kekata yang menyelangi
Pada alam yang kita sama tahu menghuni
Kuasa gelap lurus meluru
Meleset masuk ke lubuk
Yang disangkakannya
Dunianya sendiri. 


Hajis Salim

Thursday, 17 January 2013

Tangisan oleh Hajis Salim

Tangisan 
Anak yang baru melihat dunia 
setelah membesar lama dalam kandungan ibunya
Syukur di atas ada tangisannya
Disambut dengan tangan melepas rasa 
Dalam ingatan Kuasa Pencipta . 

Tangis lagi
Tidaklah sama maknanya
Kerana kini ia membelah kami semua
Yang sedang nyenyak atau terlena
Merana…

Mmmmmmmmmm ma
Apabila anak mula bermain suara
Lulus mulus melalui rongga udara
Dengan mulut mengatup dan membuka
Ibu dan bapa ketawa ria
Abang kakak amat selesa
Anak mengekeh-ngekeh gembira
Ditimang didodoi didakap erat di dada
Terasa seperti dalam kandungan semula.

Mamamamamamama…
Irama harmoni menari di bibir
Lagu gembira meriang semua
Menjengul wajah ibu menerpa:
Memanggil emak ya! Mengapa?
Tidak basah, berbau atau nampak kurang selesa.
Mahu bersenda agaknya… ma ma ma
Panggil emak ya!
Anak mengekeh-ngekeh ketawa gembira.

Emak kini tidak pernah pergi
Baik di mulut atau di hati
Walau mula belajar bahasa banyak negeri
Juga yang terpaksa diajari dan dipelajari
Dan kini mula faham hakikat kehadiran di dunia ini.

Alamak!
Terseru akibat keliru
Atau terasa diri tertipu
Memarahi diri yang sudah jauh dari ibu
Merayu dengan lagu mendayu
Dan ada yang marah dan mengejar dengan penyapu
Apa saja yang terlintas di mata dan kalbu
Dalam bahasa yang kami semua tidak mahu tahu.

…
Menangis tidak berhala tujuan
Dalam kelompok bertompok
Seorang ibu yang terus hilang pengsan
Melihat anak yang baru dilahirkan
Ketawa riang!


Hajis Salim

Penyilap Mata oleh Hajis Salim

Ia keluar dengan lenggang selengguk tubuh
Diiringi dengan bunyian menggema penonton yang ada
Kepala tunduk mengiri cantik sekali
Dan gemuruh semangat dengan sorakan beranjal 
Mabuk dalam ruang yang dibatas dinding tebal.

Topi dibuka terurai rambut beraneka warna
Menggerbang dan mempesona 
Semua yang hadir turut tenggelam dan hilang dalam auranya
Dalam jubah hitam yang tersimpan segala rahsia
Penyilap mata yang agung lagi ternama.

Selama satu jam penonton menari dalam rentak dan gerak
Sebatian alunan rasa dan kelazatan nikmat selera
Jauh jauh hanyut tersedut mengecil dan hilang dalam kekhayalan
Lupa dan tak larat lagi menyebut dan membilang.

Apabila kipas dihayun balik semula
Penonton terjaga mata berpijar
Pada yang satu penglihatan tertumpu
Lembaga di pentas tunduk membongkok

Jeritan tepukan bergema lagi
Lebih kuat dan dahsyat daripada yang tadi
Sambil berdiri hormat memuja laku
Kagum dan takjub pada anugerah itu.

Di luar gerbang ia berdiri
Masih tersenyum menunjuk diri
Dengan jubah hitam topi berisi
Turut memerhati menunggu teksi.

Teksi meluncur menghala ke sisi
Tetapi melajak beberapa kaki
Terus ke sebelah dua pelajar lelaki
Menjemput dan membawa pergi.

Pelajar duduk terasa hairan
Mengapa kami tuan dahulukan
Terdengar dalam suara tertekan:
Kami pemandu mencari makan.


Hajis Salim

Tuesday, 1 January 2013

Tahun Baru oleh Hajis Salim

Seekor pipit mencelik
Melihat cahaya fajar naik
Dan sinarannya memancar lembut berselang dengan balikan kilauan 
Terbentang luas saujana mata memandang
Lautan yang bertepian hutan 
Yang pernah dilihat beberapa kali pada sejarah perjalanannya yang silam.

Matahari semakin menegak 
Kekelaman semakin menyerlah memperaga
Memperlihat menunjuk dan meminta diteliti semula
Segala yang mengkabur sasaran mata.

Dengan sekali kibas 
Bulu-bulu kepak bertaut segak
Bersedia untuk meneruskan kehidupan tabii
Dan meninggalkan di bawah dahan tenggekan
Taburan tin-tin makanan dan botol-botol yang tidak berisi
Juga sekeping takwim yang baru terbuka lembaran 
Zaman mukanya.

Hajis Salim

Sang Sapurba oleh Hajis Salim

Dari jauh seperti bintang di angkasa
Mengerdip-ngerdip menyumbang kegelapan malam
Dalam hutan yang penuh serigala manusia
Bermandi cahaya sinaran purnama.

Disusuri punca di pagi hari 
Di tengah pokok-pokok dan manusia
Sebuah pelita kecil terpencil dalam takukan
Masih hidup apinya.

Hajis Salim

Rokok! oleh Hajis Salim

Perokok terus merokok kerana apa?
Merokok merosakkan kesihatan. 
Tak cukup buktinya!

Perokok menyogok: Mari, begini disedut.
Saya anak sekolah, merokok itu salah!
Mengapa takut? Mahu jadi anak pengecut?

Perokok mengajak mereka yang belum merokok agar merokok: Jangan kekok!
Orang yang tidak merokok berkata: Ketagihan merokok menjadikan banyak wang dipersia-sia?
Banyak perokok juga yang kaya kerana sangat pandai mengira!

Cerita orang yang merokok dan ketagihan mereka 
sudah diketahui sangat lama di serata dunia.
Ia sudah lama wujud dalam sejarah manusia.
Ia disedarkan hanya untuk bicara seketika 
kerana kepada perokok dan yang tidak merokok 
semuanya tidak ada yang ketara.

Hajis Salim

Thursday, 27 December 2012

Secawan Kopi oleh Hajis Salim

Jelas kelihatan ia keletihan
Melayani jalanan usia yang pasti mendatang
Bertahun dalam pusingannya
Yang tinggal dan terbuang dalam kudratNya.

Di atas meja 
Terhidang secawan kopi
Airnya tergenang tenang
Terhias indah pada kelokan dan lekukan
Garis-garis dan titik-titik mula muncul dan mengeluarkan kilauan
Menembusi mata dan saraf lalu menusuk ke kerak fikiran
Mempesona dan memukau.

Tubuh yang keletihan
Hanyut dan hilang dalam keseronokan dan khayalan
Matanya mula kesilauan dalam ketidakpastian
Air kopi kebekuan.


Hajis Salim

Wednesday, 26 December 2012

Kopi oleh Hajis Salim

Buah kopi dari ladang terbilang
Hasil dari pengisar yang gigih berjuang
Kopi unggul menjadi rebutan
Mengura-ngura yang ketinggalan.

Ini kopi segar sekali
Terasa kesejahteraannya di lubuk hati
Menghadiahkan pemilik segala pati
Menikmatinya terus walau kurang mengerti.

Ini kopi muram menjadi kelam
Airnya saja keruhan berbalam
Khasiatnya sudah hilang di jalanan semalam
Tapi ia akan tetap bersama dalam keadaan.

Itu kopi hasil buatan
Yang wujud di balik celahan
Dengan teknologi penuh kecanggihan
Juga segar dalam serapan.

Kami anak-anak peminum kopi
Galak disorong dengan bekalan
Kopi berkafin merosak pandangan
Kekaburan masih tetap mengenakkan.

Dalam dunia kopi ini
Ikatan manusia sudah tabii
Keluar masuk dalam alam jasad dan rohani
Kita tetap begitu dan begini
Tiada akan ada yang jati walau percaya pada kewujudan diri sendiri.


Hajis Salim

Anak Itu oleh Hajis Salim

Anak itu aktif melayari naluri
Tangkas tubuh dan tangkis fikiran
Ketawa mengekeh sebentar geram muram
Tiba-tiba bertukar wajah keras tegang
Kiub-kiub berbagai warna dan gaya
Berterbangan berjatuhan berserakan
Anak itu lalu menangis kuat seperti kerasukan.

Ibu menoleh lembut menyapa
Membelai mengurut dengan wajah manis menunjuk-nunjuk dan berbicara
Kiub-kiub dipungut kedegilan dimarahi.

Anak itu terhenti
lalu terus memerhati
ciptaan bentuk biasa dalam tangan halus dengan senyum mesra
lalu bersama memegang-megang
tangan tadi yang hilang sementara
lantas melonjak gembira dan ketawa seperti bersuara:
Aku Berjaya.


Hajis Salim

Wednesday, 21 November 2012

Di Sebuah Alam oleh Hajis Salim

Sebuah padang luas
berumput  bersemak dan berhutan belantara
menjadi tempat haiwan berhuni pada buminya
manusia merasa gersang pada bencana dan mala petaka
namun ada yang mahu berada dan mengenal siapa mereka.

Harimau dan singa mengaum
gajah meraung
burung bersiulan dan binatang malam sentiasa tahu waktunya
dalam dunia yang angin juga sendu merasakan romanya.

haiwan manusia dan tumbuh-tumbuhan
dalam lapangan senda gurau yang menakjubkan
berlaku dan terus berlaku
tidak kira di titik mana edaran dan kedudukan
tidak kira di mana kemahuan dan kecitaan

Hajis Salim

Durian oleh Hajis Salim

Raja segala buah
Itulah gelaran baginya
Sudah lama diterima
Walaupun ada yang memberontak tidak mahu bersama.

Durian
Hidangan alam
Membawa cerita dan penentuan
Bagi kita
Manusia dan Insan
Dan yang dapat dimengertikan
Raja Segala Alam.

Hajis Salim