Monday, 2 December 2013

Angkatan Yang Asyik Kena Belajar 24 Jam Sehari oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Mungkin sebab kita takut
dan mungkin sebab keadaan telah melahirkan manusia-manusia yang pengecut
sebab itu kita takut untuk bernafas selayaknya seorang manusia
lalu bermula dengan pendidikanlah kita menjahanamkan fitrah kemanusiaan kita
yang mana orang kata kita ini makhluk yang semula jadinya serba ingin tahu
kita pun tunduk percaya
pendidikan yang ada yang akan membebaskan kita
kita bertanya
dan sepanjang sejarah kita tertanya-tanya:
"apa yang ayah dan mak belajar?"
"apa yang abang dan kakak belajar?"
"apa yang adik dan anakku kan belajar nanti?"
yang kita belajar, bukanlah repetisi harian guru di sekolah
bukan juga hukum disiplin yang kadang terlalu keras dan tidak berperi rasa
tapi yang kita belajar adalah apa yang kau, aku dan mereka faham
daripada pengalaman, daripada kata, daripada rasa, daripada bau, daripada sekelilingmu
daripada yang dihadirkan dan yang hadir dengan tiba-tiba atau tanpa kita sedar
kita telah hilang semangat belajar
bukan kerana kita bodoh atau kita tak faham-faham kita perlu belajar
kita hilang semangat belajar
pabila pendidikan membunuh serba ingin tahu kita
pabila sekolah hanya sekadar institusi yang mendiktat hidup kita
- dari awal pagi sampai ke tengah hari, kita diisi bak balang-balang kosong,
dari tengah hari sampai ke malam, kita diminta terus membelek dan terus membelek
kita telah hilang masa bermain, masa belajar kita sebenarnya
kita telah hilang nurani dan jiwa seorang pengembara yang ingin terus mencari sejauh mungkin
kita terpenjara dalam mencari makna cinta
sebuah hidup yang nyata
tanpa perlu diprogram dilaksana
ibarat robot dan segala mesin buatan dunia
orang-orang jahil tentang makna cinta, suka duka, tawa dan airmata
dan pandanglah sekeliling
kau akan bertemu mereka di antara kita
dan kau akan tahu antara kita siapa mereka.


Muhd Andi Mohd Zulkepli

Berjuang Bukan Menentang - Warkah Buat Sis oleh Khaziah Yem

Salam Sis,

Syukran atas kata-katamu yang baik budi
Menjadi peringatan bagi diriku ini
Kami bukan menentang takdir Illahi
Namun penentangan yang kau maksudkan
mempunyai makna yang berbeda bagi mereka yang mengalami
Inikan pula bagi mereka yang tidak pernah melalui

Katamu kami harus menerima dan reda
Tidak boleh menentang kehendak Illahi
Sesungguhnya menentang tidak sekali
Kami berjuang menerima keadaan diri dan hidup sebegini

Sis,

Apakah harus anakku membiarkan sahaja melihat alam kanak-kanaknya 
perlahan-lahan merayap meninggalkannya...
Apakah harus anakku diam melihatkan kebebasannya dikekang...
Apakah harus anakku diam merasa diri tiada masa hadapan...

Dia harus berjuang
Berjuang bukan bererti menentang.

Dan aku..

Apakah harus aku diam sahaja tatkala melihat tubuhnya
tinggal isi dan tulang seakan anak-anak kebuluran waktu perang..
Apakah harus aku mendengar sahaja keluhan dan rintihannya...
Apakah harus aku berdiam diri melihat dia terdiam pasrah..

Dari matanya kulihat satu penanggungan yang tidak terhingga
Satu penanggungan yang telah putus asa, telah pasrah, telah reda...

Sis,
Kami akur akan kasih sayangNya...
Kami berjuang untuk mendapatkan kasih sayangNya..
Kami berjuang bukan menentang.

Wasalam, 
Khaziah 


Khaziah Yem

Makna Sebuah Agama oleh Khaziah Yem

tanpa agama
kita hanyalah seekor manusia
hidup berpaksi naluri
benang-benang malu seurat pun tiada
hukum akal bertongkat hati
hukum rimba

lautan ghairah nikmat pesona nafsu
lorong-lorong hitam selaput dosa
tarian rona-rona dunia 
rakus mengancam
pemuja materi dan kemewahan
rasa berkuasa menguasai
naluri haiwan berkumpul jati

tiada pegangan, tiada tujuan
kerepotan manusia ingkar agama
hilang cahaya tinta nestapa
pada hati sembahan di mata
kebanggaan yang sementara
bak embun pagi hilang sahaja

Agama bukanlah dongeng
tentang mambang
yang sulit dijelaskan

Dengan agama
terlahirlah insan
Keimanan menjadi pakaian
terpancar nur kudus halus 
sejuk menyerap ke tulang sulbi
kendali hati 
faham lahir diri
berpegang pada tiang yang hakiki

tenang minda 
menggarap makna
antara yang ada dan tiada
kemewahan materi jambatan ikatan
antara hidup dan mati

Tanpa agama
kita seekor manusia
Dengan agama
kita insan istimewa
di sisiNya

Khaziah Yem