Saturday, 14 September 2013

Betul Cakap Cicak oleh Farihan Bahron

celah-celah ceruk curi-curi masuk
pasang telinga bikin sibuk
belakang cermin berhabuk daun pintu berlapuk
situ dia terperuk pinjam kisah baik buruk
dalam sorok terjenguk-jenguk
mana ada khabar boleh dibuat tajuk

entah ke betul si cicak meracau
sapi disalut emas bikin mata terpukau
lambang sakti berkilau maka iman jadi kacau
pulangnya Musa lantas dihalau
namun entah ke betul emasnya masih silau
masih beronak berduri ranjau

entah ke betul si cicak simpati
julius mati bukan sepakat konspirasi
ditikam sahabat berjuang menjajah negeri
tapi terkujur kaku dalam hujah mark anthony
yang jelas mencatur strategi
entah ke betul masih dipercayai

entah ke betul si cicak yang cakap
lelabah yang pintal perangkap
bikin Junjungan dan sahabat senang ditangkap
atau si cicak yang membisik lengkap
dalam diam berpakat pasang jerangkap
ahh memanglah betul dia yang cakap

betul cakap cicak tahinya luruh melata
biar decit bingit di halwa telinga
tarik lastik panah ekornya
penyapu lidi digertak tak lari juga
orang tua-tua kata itu petanda
kebenaran di sebalik yang nyata

Farihan Bahron

Rujukan: Noridah Kamari & Farihan Bahron, (2005). Kail Panjang Sejengkal: Antologi Puisi. Singapura: [s.n.] 

Janggutku, Janggutmu oleh Rafaat Haji Hamzah

potong janggutnya
kalau yang bicara itu
berkopiah putih
umrah berkali-kali
sudah bergelar haji
tapi masih tetap mungkir janji
Insya Allahnya hilang erti

ragut janggutnya
kalau yang berkata itu
berkopiah 'Raihan'
Alhamdulillahnya setiap nafas
lembut di luar di dalam ganas
nasihatnya bernas
tapi tingkah lakunya tidak selaras

cabut janggutnya
kalau yang bersuara itu
berjubah hijau
bersarban kemas
bercelak dan ber'attar'
kalau pandangnya bongkak
renungnya penuh riak

cukur janggutnya
kalau dia gunakan ugama
sebagai konvensi
hujah syarahnya berpeti-peti
tipu helahnya tersembunyi
hidupnya penuh hipokrasi

kerana
       dalam masjid
            dalam ugama
                 dalam dunia
                      kau dan aku sama

belum tentu
           siapa ke syurga
                    siapa ke neraka
                          walau janggutku ku tebas semua

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

Ke Pusara Abadi oleh Khaziah Yem

Terbaca satu rencana
bagaimana mensucikan hati
antara banyak yang terkesan di hati
Ingatlah sentiasa akan mati

Ke Pusara Abadi setiap minggu
mendekatkan aku
mengingatkan aku
menginsafkan aku
mensucikan aku

Dulu ke pusara kujauhi
kata orang tempat bersemadi
takut terserempak makhluk yang tak diingini
atau diganggu roh menghantui

Setelah permata hati berumah di situ
berbeza sekali pandangan mata hati
semua prasangka buruk berundur satu persatu

Tiada ruang lagi dalam jiwa dan minda
Pusara Abadi tenang menjemputku
setiap kali aku datang bertamu
deretan batu nisan 
lambaian pohon-pohon kecil ditiup bayu
mengamit rasa kesyahduan dan kerinduan

Pelbagai perkara mengajak minda berbicara
tentang sakaratul menjemput nyawa
atau bagaimana nanti menghadap
malaikat yang bersoal itu dan ini
atau bagaimana nanti kuburku jadi
adakah sering diziarahi
atau sepi dihiasi lalang meninggi

Takut angkara bisikan syaitan
berubah takut pada diri sendiri
akan dosa melaut masih melemaskan
akan amalan menggunung belum didaki

Ziarahku ke pusara
penuh keinsafan mengenang kematian
yang bakal dilalui
bayangan gambaran ibadah yang dijanji
merasuk diri agar lebih dekat kepada Illahi
menjadi tasbih meniti hari-hari
tenang di pusara tenang hati
bertafakur muhasabah diri

Suci mensucikan itulah hakikat 
hadirku di Pusara Abadi...

Khaziah Yem