Friday, 17 October 2014

Kalimah Terakhir oleh Effendi Yusop

Dilahirkan ke dunia ini
sesuci embun pagi
menangis dan ketawa
merangkak dan berjalan
jatuh bangun sendiri
dan kenal jati diri

Al Quran pedoman hidup
meniti hari yang penuh cabaran
angin petang bertiup lembut
pada wajahnya berbunga senyuman

Bagaikan ada kerinduan yang mengimbau
bagaikan bahtera tanpa layar dan kemudi
engkau mengharungi hidup ini dengan sendiri
mengejar impi ke pintu syurga

Engkau bina tinta-tinta harapan yang baru
berbagai perasaan menusuk kalbu
peluh sejuk berhamburan
pedih dan bisa tidak dapat diperkatakan

Perjuangan engkau selesai di sini
tempat engkau di taman firdausi
marilah menuju kejayaan

Allah maha besar
Allah maha mengerti

Effendi Yusop

(Khas untuk Allahyarhamha Majiidah Bte Haji Khamsani yang suka pada sajak dan cerpen. Semoga rohnya dicucuri rahmat)

Wednesday, 15 October 2014

Ya, Saya oleh Effendi Yusop

Ya,
saya ada di sini
tiada tempat yang ingin ditujui
Walau sehebat mana dugaan
saya akan tetap menepati janji
fikirkan... anak bangsa

Ya,
saya masih di sini
lautan api tidak berani saya renangi
angin kencang meniup dengan berahi
flora dan fauna menyanyi nada sepi
fikirkan... anak bangsa

Ya,
saya tetap di sini
jauh di lubuk hati
harus berpijak di bumi yang nyata
agar tidak bersekang mata
fikirkan... anak bangsa

Ya,
saya tiada di sini
jauh pergi menemui Ilahi
semoga saya diberkati dan dilindungi
kepadaNya saya telah kembali
fikirkan... anak bangsa

Effendi Yusop

Tasbih Kasih oleh Patimah Jaludin

Kasihnya ibarat butir-butir tasbih
Terikat ibarat kalung mutiara
Yang dicucuk sebutir-sebutir dengan tangsi
Menjadi simbol pegangan hati.

Tasbih itu sentiasa di jari-jemari tangannya
Sambil menghitung menzikirkan kalimah-kalimah suci
Terkadang berkhayal seketika
Kerana terlalu asyik menghayati zikir.

Kasih!
Di mana untaian itu hendak diakhiri
Di mana butir-butir tasbih itu mengakhiri cinta kita
Di mana akan sudahnya simpulan yang disatukan itu
Kiranya diputuskan pasti bertaburan
Dan betapa sukarnya hendak dicantumkan semula
99 kalimah Allah itu

Patimah Jaludin