Wednesday, 8 May 2013

Hari Salah Ejaan oleh Rafaat Haji Hamzah

M.E. me L.A. la Y.U. yu
Dadah

Yang gian Melayu
Yang hisap Melayu
Yang tagih Melayu
Yang bawa Melayu
Yang bekal siapa?

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang C.N.B. Melayu
Yang V.A.O. Melayu
Yang polis Melayu
Yang perintah siapa?

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang kena tangkap Melayu
Yang masuk D.R.C. Melayu
Yang heboh Melayu
Yang cakap siapa?

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang 'Akhbar' cakap
Yang 'Potret Keluarga' cakap
Yang 'Tinjauan' cakap
Yang 'FM 94.2' cakap

Yang kecoh Melayu
Yang masuk rekod Melayu
Yang resah Melayu
Yang risau Melayu

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang Pakcik risau
Yang Makcik risau
Yang Datuk risau
Yang Nenek risau
Yang Apek tak payah risau

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang buat rumah tumpangan Melayu
Yang tanggung beban Melayu
Yang beri sokongan Melayu
Yang dikutuk Melayu
Yang mengutuk, tak kira India, Cina, Melayu

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang dipertanggungjawabkan menteri Melayu
Yang bingung intelek Melayu
Yang terpaksa sokong, penyanyi rok Melayu,
Pemain bola sepak Melayu,
Golongan professional Melayu

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang gagal Melayu
Yang tagih Melayu
Yang jadi mangsa dadah Melayu
Yang bila disebut dadah
Orang ingat dadah itu Melayu

M.E. me L.A. la Y.U. yu

Yang jual dadah kita tak tahu
Yang bawa dadah masuk siapa yang tahu
Yang beli dadah dari luar bukan 'gua' bukan 'lu'
Yang kaya raya dari hasil dadah bukan Melayu
Yang tersenyum bila Melayu tertonggeng tentu bukan Melayu

M.E. me L.A. la Y.U. yu Mangsa
M.E. me L.A. la Y.U. yu Tertindas
M.E. me L.A. la Y.U. yu Pasrah
M.E. me L.A. la Y.U. yu Ikhlas
M.E. me L.A. la Y.U. yu Dimamah
M.E. me L.A. la Y.U. yu Melayu

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

Tuesday, 7 May 2013

Satu Haribulan Satu Tahun Hijrah (Anak Melayu) oleh Rafaat Haji Hamzah

dia yang telah dewasa kini bertanyakan asal-usul ibu bapanya

kata sang penjaga

sewaktu ibumu menghantar kau ke mari, dia masih terlalu muda
ayahmu entah di mana

ibumu telah diiringi pegawai polis dan pegawai anti dadah
dan sejarah ibu bapamu

mereka berkenalan di Queensway
bermesra di Parkway Parade
berkasih di Centrepoint
bercinta di Scotts
bertunang di Far East Plaza
bernikah di Wisma Atria
bermalam di Marina Square
berbulan-madu di Selarang DRC

dan kau lahir
satu haribulan satu tahun hijrah
anak Melayu.

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

Pada Tanggal Yang Janggal (Versi Lanjutan) oleh Rafaat Haji Hamzah


Sembah:
Ampun hambaku beribu-ribu ampun
Sembah beta harap diampun.
Politik:    
Suara terbanyak kalah
Yang dipertikai menang
kerana yang mempertikai pilih mereka.
Adab:  
Lelaki pegang perempuan, biasa
Perempuan pegang perempuan, luar biasa
Lelaki pegang lelaki, Alamak!!!
Bahasa:  
Nenek belajar cakap Inggeris
kerana cucu tak tahu cakap Melayu.
Biasiswa:
Bantu yang cemerlang
bukan yang kurang.
Ekonomi:
Hanya yang kaya
layak berhutang.
Agama:  
Yang sesat mencari kitab
Yang dah ada kitab, ubah.
Pelajaran:
Yang menghafal pandai,
Yang belajar, pandai-pandai.
Ilmu:
Yang tak tahu, bodoh
Yang tahu, bodoh-bodoh.
Jantina:
Yang lelaki, sexist
Yang perempuan, feminist
Yang bingung, semua rembat.
Makanan:  
Yang halal, ada cap
Yang haram, cap sendiri.
Fatwa:
Boleh diubah
Yang tak boleh ubah, Hari Raya.
Jenayah:  
Yang rogol, 23 tahun
Yang dirogol, 80 tahun.
Keluarga:    
Mak sayang anak
Anak sayang amah.
Keluarga:  
Mak sayang ayah
Ayah pun sayang amah.
Sekolah:      
Murid takut guru
Guru takut mak bapak.
Penyanyi:  
Yang main bola buat album
Yang menyanyi jual burger.
TV Melayu:  
Televisyen 12
Stesen 1 aje!
Drama Melayu:
Yang Malaysia punya bagus
Yang Singapura punya pun bagus
Yang 60 episode? Ha! Ha! Ha!
Radio:  
Yang dengar orang Singapura
Yang diperdengarkan orang Malaysia.
Forum perdana:
Yang nak disampaikan, syarahan
Yang peminat nak dengar, Raihan.
Perkahwinan:
Yang cerai diceritakan banyak
Yang tak nikah tapi kahwin
tak ada cerita.
Zuriat:  
Yang tak ada anak, cari anak angkat
Yang ada anak, jemur atas galah.
Pada tanggal yang janggal,
Yang tak janggal tertinggal,
Pada tanggal yang janggal,
Siapakah yang sebenarnya gagal?

Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.