Thursday 26 February 2015

Persediaan Diri oleh Yesmint K. Hussein

Aku kekosongan di dalam gelombang putih
Menelan arus yang menghanyutkan takungan yang jernih.
Telah ditatang semalaman, diperam bak sebutir benih
Namun langit masih menjauhkan diri daripada bumi.
Aku kehilangan di atas kaki bertapakkan seribu nadi
Menjunjung langit dengan tangan, bertumit setinggi sepi.
Rezekiku tidak dicari dengan menenggelami kawan 
hanya bermandikan keikhlasan, berganti peluh setiap hari.
Kelaziman melayani kehidupan
menjadi alahan terhadap duniawi
Kekuatan melayari kesakitan
sudah lama mengebalkan diri.
Terlahir kekeluan terhadap kebiasaan
dalam buaian tidur ku temui Mati.
Nanti kencana mimpi tidak lagi aku genangi
setiap senja akan ku mengekori awan
menyiapkan diri untuk pulang kepada Ilahi.

Yesmint K. Hussein

Sunday 8 February 2015

Anak oleh Zainol Abi

Anak...
aku masih ingat
kau membesar cepat sangat
ilmu diajar sedikit amat
banyak lagi belum sempat kau dapat
tetapi kau tak sabar 
hendak membesar dengan cepat

Daripada kurus ke bulat
daripada kering ke mampat
masih lagi merangkak 
sudah hendak melompat
nakalmu tidak makan nasihat
sebab kau hendak membesar dengan cepat

Anak...
aku masih ingat
baju kurung kau sudah tak minat
kau kata rimas dan kolot sangat
baju 'kurang' nampak pusat 
kau sanjung 
menjadi adat ligat melekat
seluar koyak ketat-ketat
melekuk-lekuk ikut aurat
kau bangga ramai yang melihat
kau kata ini baru hebat!

Anak...
fikiranmu cetek dan singkat
apa nak buat
nasihat sudah terlambat
kau membesar tanpa adat
Pak Mat tengok pun lemah semangat
si mat rempit bertambahlah minat
kumbang jalang semakin mendekat
pujian menggunung memasang jerat

Anak...
ingatlah ingat
simpanlah malu pada malaikat
usah ditempah azab dan laknat
sebab kau dah besarlah aku peringat
tak malukah kau kepada Yang Maha Melihat?
di saat bumi digulung bertukar sifat
dan langit tiada lagi berkudrat
ke mana sesal nak kau bawa bertempat
merintih taubat di api akhirat

Anak...
aku mahu kau ingat
jangan membesar cepat sangat
takut keliru membawa sesat
di dunia hebat di akhirat merempat
hanya menunggu api menjilat
junjung budaya junjunglah adat
junjung ugama melimpah berkat
tiang ugama menjaga solat
tanpa solat peroleh kualat

Anak..
ingat ya..ingat
jangan membesar cepat sangat
biar lambat asal selamat

Zainol Abi