Saturday 26 April 2014

Terlambat oleh Nurul Arini Junaidi

Jangan dinantikan....
Jangan menantikan masa
Jangan ternanti-nanti saatnya...

Pabila mereka semua sudah pergi
Pabila ia sudah terlambat untuk mencari
Ilmu yang mereka miliki
Ilmu untuk kami raih
Lenyap sama sekali

Jangan
Jangan dibiarkan berlalu
Janganlah karya mereka terbiar begitu

Hembuskan nafas
Hidupkan sekali lagi...
Karya dahulu, nyawa baharu

Jangan buta melihat
Jangan membutakan masyarakat
Jangan dibutakan hati dan semangat

Kami mencari satu usaha
Mahu memahami karya mereka
Mengerti akal fikiran daripada setiap karya

Sayangnya mereka sudah pergi
Sayangnya mereka sudah kembali
Sayanganya kita lambat mencari

Berapa ramai lagi penulis negara ini
Yang harus pergi?
Sebelum aku sedari,
Akan harga suatu bakti?

Malu ...
Aku malu ...
Kerana aku terlambat mencari
Sudah mengapa dengan aku ini.

Nurul Arini Junaidi

Bebalisme Oleh Nurdiyanah Samsuri

Bebalisme itu berlaku
Apabila kita menjadi beku
Kepada persekitaran kaku
Menganggap semua liku

Hanya sibuk mengejar masa
Sejarah dianggap sebagai sisa
Membiarkan yang lain berkuasa
Kita redha dan terus menabur jasa

Bebalisme itu akan terus diwarisi
Sekiranya kita kekal tidak bervisi
Hidup dibiarkan berlalu tanpa misi

Ikut resmi ubi, diam tapi berisi
Jangan kita menjadi tapai basi

Berani kerana benar
Takut kerana salah
Usah pening berpinar
Jangan selalu beralah

Tidak harus menganggap semua liku
Hentikan bebalisme yang berlaku


Nurdiyanah Samsuri

Illusi Oleh Nur'lelah Asfee

Ku sangka kau jodoh
yang aku temui semasa membolosi
kandang orbitku yang tidak dikemaskini

Hidupku mengelilingi segala kata erti
yang kau ucap secantik pantai Hawaii

Kata-katamu membutakan mata dan hati
Kini ku terima,
kau dan semua ini
adalah satu ilusi

Nur'lelah Asfee

Lima Waktu Oleh Nur'lelah Asfee

Lima waktu

Hidupku senang tanpamu
Tak perlu hitung waktu
Tak terkejar siang malamku
Masa tidak pernah cemburu

Tapi aku tahu
senangku bukanlah sempurna 
Waktuku membuat yang tak berfaedah
Malam siangku porak peranda

Hatiku tak pernah sesenang mana
Imanku sering kalah bila digoda

"Solat lima waktu," katanya.
Alhamdulillah, setelah kian lama
Baruku sedar amalanku tiada

Dan kini
Hatiku senang nan ketenangan zikrullah
Sujudku hanya untukmu ya Allah.

Nur'lelah Asfee

Hasil Tanganmu Manusia Oleh Fadilah Abdul Malik

Dahulu kain putih ini
berkibar berseri suci
calitan pancarona indah
hasil tanganmu manusia

Kini kain putih ini
kau hitamkan semua
gelap gelita pemusnah suria
hasil tanganmu manusia

Pena bertintah amarah
merobek setiap benang perca
tercarik lunyai segala
Hasil tanganmu manusia

Kau kafankan harapan bangsa
Kau kebumikan warisan bonda
Kain putih ternoda sudah
Hasil tanganmu manusia

Fadilah Abdul Malik

Sunday 13 April 2014

Logika Oleh Nur'lelah Asfee

Logika

Logika dan perasaanku bertengkar
Kerana terlalu sayangkan anak
mereka berkata;
"Tidakmengapa"
"Biarkanlah"
"Dia tidak boleh dipaksa"

Apa?

Di mana nasihatmu?
Tidak kau menyedari
Katamu itu butiran doa
Sangguokah engkau diseret juga
ke neraka?

Teguran guru dan jiran tetangga dikata;
"Ah, merepek sahaja"
"Anakku bukan begitu"

Fikiranku berkecamuk
Sesungguhnya orang hari ini
Di alam dimensi yang tidak terdefinisi
Membiarkan anak tercinta
Memperkosa moral dan akhlak sendiri



Nur'lelah Asfee