Thursday 27 December 2012

Kiswah oleh Isa Kamari

mata ini
redup harap
baldu kasih
gemerlap


rahsia apakah
di balik tabirmu
jiwa damba
makna asal
dalam selubung
bekal dan bakal


aku terkenang
secebis janji
ketika tersangkut
di tulang sulbi


Isa Kamari

Rujukan: Isa Kamari, (2006). 33 Puisi Tanah Suci: Lorong Wahyu. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.

Raudhah oleh Isa Kamari

solat di bawah kerusi
majlis para sufi
aku terdengar liuk
sungai
dalam damba kalbuku


biarpun dahi
hanya mencecah
sejengkal tanah
harum raudhah
kudakap dalam jiwa
penawar duka derita


sujud di atas taman ini
tidak mahu kulepaskan
asyik dan bisik


Isa Kamari

Rujukan: Isa Kamari, (2006). 33 Puisi Tanah Suci: Lorong Wahyu. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.

Masjidilharam oleh Isa Kamari

kristal gula
dari syurga
dikerumuni jiwa-jiwa
       semut
damba iman manis
basah pelipis


Isa Kamari

Rujukan: Isa Kamari, (2006). 33 Puisi Tanah Suci: Lorong Wahyu. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.

Secawan Kopi oleh Hajis Salim

Jelas kelihatan ia keletihan
Melayani jalanan usia yang pasti mendatang
Bertahun dalam pusingannya
Yang tinggal dan terbuang dalam kudratNya.

Di atas meja 
Terhidang secawan kopi
Airnya tergenang tenang
Terhias indah pada kelokan dan lekukan
Garis-garis dan titik-titik mula muncul dan mengeluarkan kilauan
Menembusi mata dan saraf lalu menusuk ke kerak fikiran
Mempesona dan memukau.

Tubuh yang keletihan
Hanyut dan hilang dalam keseronokan dan khayalan
Matanya mula kesilauan dalam ketidakpastian
Air kopi kebekuan.


Hajis Salim

Doaku oleh Putri Lily

Bila keresahan mencelah
Kutepis dengan mudah
Bila kerinduan menjelma
Kututupi dengan doa
Bila ujian melanda
Kutempuhi mengikut nada
Bila kerap diduga
Kuhadapi dengan redha
Bila luka di jiwa
Kucari penawarnya
Bila sakit tak sudah-sudah
Alhamdulillah selagi aku terdaya

Tuhan... kami bukan pinta dilanjutkan usia
Tapi kami pinta diberi ketabahan
Agar mampu menahan kesakitan
AMIN...

Putri Lily

Wednesday 26 December 2012

Manusia Itu Tolol (?) oleh MAS

dialog
1... Siapa bilang
      manusia itu bijaksana?
      manusia itu tak guna...


2... Siapa bilang
      manusia itu jempol, pentol?
      manusia itu tolol.


anekdot
1... ada manusia bicara
      tentang kesejahteraan manusia


      tetapi
      mereka berjanji untuk faedah diri
      mereka bersatu untuk mencari seteru
      mereka mencipta sesuatu untuk membinasa.


2... anjurannya
      biar kita siddiq, amanah
      supaya kita tabligh & fathanah...


      tapi amalannya
      mereka bohong dan khianat
      mereka menyorok dan bebal amat...


monolog

tidak ada janji suci
tidak ada ciptaan murni
tidak ada persatuan sejati...
mana bisa
dibilangi bijaksana?
dibilangi jempol - pentol?


sesungguhnya
manusia itu tolol!


MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Mencari Sahabat oleh MAS

Ketahuilah bahawa
manusia tidak serupa
rambut sama hitam hati berbeza-beza


   Ada orang pengasih penyayang
   tiada rela melihat derita
   orang menderita dia terasa;


      Ada orang berhati durjana
      tiada rela melihat bahagia
      orang bahagia dia tak suka!


Kalau engkau mencari sahabat
pilihlah yang benar boleh sepakat
yang penyayang engkau kasihi;
yang durjana engkau jauhi...


   kerana
   yang kasih sayang itu
   menjadikan engkau penyayang
   mengajak engkau ke syurga!


      sedangkan
      yang durjana itu
      memberi engkau bencana
      menolak engkau ke neraka!


MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Yang Bererti oleh Muhd Andi Mohd Zulkepli

Ku tulis dalam pengertian sepuncak ini
bahawa ku sangat mengerti
betapa bererti
pengertianmu
dan yang paling bererti
dalam 'simple' nya keadaan
kita membina erti
kepada segala nama
dan sejuta dunia.

Muhd Andi Mohd Zulkepli

Hampir oleh Izwan Manan

Hampir
Sungguh indah rasanya
Bukan sekali bukan berkali-kali banyaknya
Tiada terkira hendaknya
Begitulah agaknya
Walau kadang kala tiada yang mengerti
Setiap saat bagai dibanjiri
Ketakutan, kealpaan, Kekaburan hati
Hanya kerana esok tidak pasti
Tetapi hakikatnya itulah kepastian yang terpatri
Samalah seperti hujan di tengah hari
Apabila ia turun maka diiringi
Kedinginan yang mendadak
Disusuli kehangatan yang mendesak
Diakhiri dengan kehidupan yang membiak
Tiada siapa yang berhak
Ke atasNya
Maka waktu itu sudah dekat
Sebelum kita pulang
Kita harus pergi
Mencari yang sudah hilang
Supaya tidak kehilangan
Arah yang Satu sebagai pedoman
Keyakinan itu tembok penghalang
Setiap orang perlu tahu
Perlu pandai meneliti diri
Di ketika iman masih disatukan
Sebelum nyawa bercerai badan
Penat lelah tiada jemu
Pagi, petang, siang dan malam
Mengejar waktu hingga ke akhir
Hanya kerana ingin bertemu
Kekasih hati, Pencipta Alam
Terpendam, tersemat di dalam zahir
Maka bersedialah
Kerana kini waktu itu makin hampir...

Izwan Manan

Haruskah Aku Bersuara oleh Khaziah Yem

Apabila aku bersuara...
Mengapa kau bermasam muka?
Terguris...
Apabila aku bersuara...
Mengapa aku disalahkan?
Mengapa aku yang dijahatkan?
Terguris, terhiris..
Apabila aku tidak bersuara..
Kutelan semua duka
Kubenamkan rasa
Kuterima semua kata
Apabila aku tidak bersuara...
Kurasa pedih cengkaman ketidakadilan
Kurasa diri tiada dihargai
Kurasa diri dihambakan
Kurasa diri tidak disayangi
Kurasa sepi...
Apabila aku tidak bersuara...
Aku bercakap sendiri dengan Illahi
Bicara senyap dari hati
Meminta simpati bermonolog sendiri
Haruskah aku bersuara atau diam sahaja...

Khaziah Yem

Yang Salah Bukan Aku oleh Juffri Supa'at

Yang salah bantal,
yang salah langkah,
yang salah urat,
yang salah ubat,
yang salah hari
yang salah makan,
yang makan aku.

Yang salah bukan aku
bila keadaan jadi tak tentu
kerana sudah takdir yang begitu.

Juffri Supa'at

Rujukan: Juffri Supa'at, (1999). XXL - Anak Muda Julung Berkeris. Singapura: Juffri Supa'at & f'nd:werx.EDITIONS.

Lorong Wahyu oleh Isa Kamari

menyusuri lorong
dekat rumahmu
di mana kerap
turun wahyu
jiwaku merangkak
dibebani dosa


ku usahakan berdiri
biar payah sekali
dengan rintih harap
semoga ringan
kalbu gelap
diangkat cahaya
doa mustajab


Isa Kamari

Rujukan: Isa Kamari, (2006). 33 Puisi Tanah Suci: Lorong Wahyu. Kuala Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.

Ketika Kita Merasakan Bangsa Kita Sudah Merdeka oleh Rafaat Haji Hamzah

Mari kita duduk bersila,
di atas selembar tikar mengkuang,
sambil menikmati wadah keMelayuan,
yang terhidang di atas piring buatan
Cina.


Rafaat Haji Hamzah

Rujukan: Rafaat Haji Hamzah, (2007). Yang Bilang. Singapura: COKELAT.

Bahasaku oleh MAS

Di sini, di Malaya
selama 13.5 dasawarsa
semenjak Anglo-Dutch Treaty 1824,

bahasa [lingua franca] nusantara tergugat
perkembangannya dipertingkat cuma setakat
kegunaan para pekerja di divisyen empat...

Sekarang
bahasaku ditabal menjadi Bahasa Kebangsaan
darjatnya diangkat ke tahap bahasa rakyat
sesuai dengan semangat KPMM 52 dan 54
yang diikrarkan pada 13 April 1952:
"kami tak mahu Malaya merdeka tanpa bahasa"!

Di Singapura
Lembaga Gerakan Pelajaran Dewasa
menubuhkan beratus-ratus kelas Bahasa
menampung 13,000 pelajar pelbagai bangsa...

     mengasah lidah biar fasih berbicara
     menyikap rakyat hormat pada Bahasa Negara,


300 cikgu-cikgi dikerah ligat berputar
ditambah mata-mata & peon disuruh mengajar
"menjual" bahasa seberapa yang lancar...


Dewan Bahasa & Kebudayaan ditubuhkan
Seminar Penulis & Kongres Bahasa diadakan
Bulan-bulan Bahasa Kebangsaan dianjurkan
Kegiatan Bahasa Kebangsaan sangat digalakkan,
untuk menjadikan Bahasa Kebangsaan itu
bahasa perpaduan rakyat berbilang menjadi satu...


Mudah-mudahan
tidak ada aral melintang
semoga bahasaku terus berkembang!


MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Tanah Tumpah Cinta oleh Fariz Husna

Beribu batu bersengkang mata
Meniti era lembaran kasih
Pasti yang tiada harapan
Yang tiada jangkaan
Tiada batasan

Rentetan kegagalan kian berhasil
Aku telah lama meninggal dunia
Nama di batu nisan kian pudar
Lalu aku hidup kembali berdiri

Sekilas pandang sejuta impian
Budi bahasa bergelora manja
Teguh pada janji niat murni
Wajahmu penuh motivasi
Memberikanku ketabahan
Menjangkau detik ranjau & riang

Mengorak langkah mencari erti
Halu nasib ke Narathiwat Yala Pattani
Tapak perjuangan agama dan bangsa
Warnai sirah sastera warisan

Senyuman sebalik tiap kepayahan
Syukur yang tidak pernah haus
Aku tergerak membuat kata putus

Demi bumi Tuhan yang dipijak
Demi langit Tuhan yang dijunjung
Sebagai khalifah bumi
Akan ku makmurkan dunia ini

Fariz Husna

Pudar oleh Erdiah Samad

Nafas tersendat
Minda tersekat
Di jiwa yang tersumbat
Air mata dikesat
Pabila terlihat
Kasih digugat
Diam tanpa akibat
Perangai sungguh meluat
Jangan sampai terlambat
Untuk mengembalikan hikmat
Kerana kini sudah penat
Kian pudar cinta tersemat
Hapuskan tiap saat
di mana kau sungguh taat
Hadir di sisi sepantas kilat
Bijak sekali menyusun ayat
Jangan, jangan terlambat
Takut tak sempat
 Kerana aku sudah penat
Dan kini, sahsiahku kuat.


Erdiah Samad

Rujukan: Erdiah Samad - Aku penulis setia

Pasrah oleh Erdiah Samad

Kering sudah kolam tangisan
Walau kesedihan masih kelihatan
Minda kata biarkan keadaan
Namun hati mencari jawapan

Begitu pantas cinta berlalu
Bibir terkunci jiwa membeku
Silap apa telah berlaku
Katakanlah bukan silapku

Tirai kenangan masih terbentang
Suaramu kedengaran lantang
Jari-jarimu masih dipegang
Senyumanmu belum lagi hilang

Erdiah Samad

Kopi oleh Hajis Salim

Buah kopi dari ladang terbilang
Hasil dari pengisar yang gigih berjuang
Kopi unggul menjadi rebutan
Mengura-ngura yang ketinggalan.

Ini kopi segar sekali
Terasa kesejahteraannya di lubuk hati
Menghadiahkan pemilik segala pati
Menikmatinya terus walau kurang mengerti.

Ini kopi muram menjadi kelam
Airnya saja keruhan berbalam
Khasiatnya sudah hilang di jalanan semalam
Tapi ia akan tetap bersama dalam keadaan.

Itu kopi hasil buatan
Yang wujud di balik celahan
Dengan teknologi penuh kecanggihan
Juga segar dalam serapan.

Kami anak-anak peminum kopi
Galak disorong dengan bekalan
Kopi berkafin merosak pandangan
Kekaburan masih tetap mengenakkan.

Dalam dunia kopi ini
Ikatan manusia sudah tabii
Keluar masuk dalam alam jasad dan rohani
Kita tetap begitu dan begini
Tiada akan ada yang jati walau percaya pada kewujudan diri sendiri.


Hajis Salim

Anak Itu oleh Hajis Salim

Anak itu aktif melayari naluri
Tangkas tubuh dan tangkis fikiran
Ketawa mengekeh sebentar geram muram
Tiba-tiba bertukar wajah keras tegang
Kiub-kiub berbagai warna dan gaya
Berterbangan berjatuhan berserakan
Anak itu lalu menangis kuat seperti kerasukan.

Ibu menoleh lembut menyapa
Membelai mengurut dengan wajah manis menunjuk-nunjuk dan berbicara
Kiub-kiub dipungut kedegilan dimarahi.

Anak itu terhenti
lalu terus memerhati
ciptaan bentuk biasa dalam tangan halus dengan senyum mesra
lalu bersama memegang-megang
tangan tadi yang hilang sementara
lantas melonjak gembira dan ketawa seperti bersuara:
Aku Berjaya.


Hajis Salim

Monday 24 December 2012

Nasib Guru oleh MAS

Wahai guru
Engkau penaka dian setamsil andang
membakar diri menerangkan orang
tempat yang gelap engkau perterang
agar yang sulit dapat dipandang!

Ibarat dian memancarkan cahaya

menyinari sekitar alam maya;
demikian engkau mendidik manusia
agar yang jail jadi bijaksana
       yang durhaka jadi takwa
       yang hina jadi mulia
       yang miskin menjadi kaya.

Tetapi

pabila padam sudah suluhan cahaya
pabila lemah jasad kehilangan tenaga,
         hilanglah julukan dian berjasa
         hilanglah gelaran pahlawan bangsa;
         benarlah amat pepatah  'rangtua:
         habis manis sepah tak guna!

Begitulah nian nasibnya guru

tidak silap apalagi keliru
berkoyan-koyan jasa diderma
balasan baginya keluhan cuma...

Apakan daya

aku tidak punya kuasa. 

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50

Benarkah? oleh MAS

Benarkah
Yang benar
Itu benar?


Benarkah
Yang benar itu
benar?


Benarkah
Yang benar itu benar?


tidak benar!

MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50.

Siapa Bilang . . . oleh MAS

Siapa bilang:
bila wang penuh di pinggang 
bahagia tentu datang menjelang?

Siapa bilang:
berbuat baik berulang-ulang
maka jahat tidak datang?

Siapa bilang:
ada ubi ada talas
ada budi adalah balas?

Zaman kini, bukan
zaman orang berbudi kita berbahasa..
zaman ada sembah adalah kurnia!

Zaman sekarang,
zaman tunggang-langgang
zaman petrok jadi dalang..

   yang jujur mati kebulur;
   yang curang bertambah garang!

tahu tak?


MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50.

Memilih Jodoh oleh MAS

Guruku,
Tunjuki daku maknanya cinta
terangkan daku ertinya rindu
untuk tuntunan hidupku nanti...
benarkah cinta membawa bahagia?
sungguhkah rindu menghiris kalbu?
haruskah keduanya hamba dekati?


Anakku,
Cinta itu bahagia tapi bahaya
mencapai cinta perlukan pengorbanan suci;
rindu pula satu khayalan hanya
menghilang rindu perlukan keberanian sejati...


Jika berani dan korbanmu sudah sedia
Bismillah, tepuklah dada tanya selera!


Guruku,
Cinta yang kurindu itu ada tiga
mengambil semuanya hamba tak daya;
berilah daku nasihat nan berharga
biar kuturut seberapa upaya.


Anakku,
Ada dua nasihatku, pertama
hendaklah engkau sabar menunggu
biar yang dua nikah dahulu
yang tinggal satu itulah rezekimu...


kedua: malam esok malam Jumaat
dirikanlah isytiharah dua rekaat
kepada Yang Khaliq engkau serahkan
biarlah Dia Yang Menentukan!


Jika demikian, wahai guruku
nasihat kedua itulah pilihanku.


MAS

Rujukan: MAS, (1998). Jangan Tak Ada. Singapura: Angkatan Sasterawan '50.

Monday 17 December 2012

Kami Sama Sahaja oleh Nurul Arini Junaidi

Berguguran dari Maha Tinggi.
Rebah ke dasar,
Meresap ke tengah,
Penghidupan dunia

Terang-gelap, terik-dingin.
Bersama-sama, bercanggah-canggah.
Begitulah, begitulah, cara semua.

Satu dua tiga empat
Alif ba ta tsa
Ke sini-sana,
Baca terus, baca sama
Mana dan apa makna agaknya?

Susah senang, tetapi pilih
Memilih-milih
Selamatkah kami?
Pastinya, PASTI.
Tentu sekali.
  
Manusia begini.
Begini manusia.

Nurul Arini Junaidi

Semut Pakai Selimut oleh Izwan Manan

Seekor semut pakai selimut
Jalan lambat terkemut-kemut
Sambil makan jemput-jemput
Nafas pun sesak sampai semput
Tiba di kawasan penuh rumput
Yang peliknya terasa sangat lembut
Rupanya berada di atas rambut
Warna hitam dan coklat comot
Tiba-tiba terasa sakit perut
Ke sana sini bagai nak ribut
Sampai tertanggal kasut but
Keadaan jadi kelam kabut
Kepalanya bagai nk tercabut
Menahan perutnya yang memboyot
Dahi manusia mulai berkerut
Baunya dahsyat tak tersebut
Semut yang tadinya sakit perut
Sedang lari terkentut-kentut
Manusia hairan sambil merungut
Apa ada di atas rambut?
Seekor semut pakai selimut…

Izwan Manan

Sunday 16 December 2012

AKAR oleh NurPertunjuk

Membenih, Menjalar, Menyusup
Di ruang-ruang minda
Menumbuh rasa Menyingkap jiwa
Membunga amanat untuk anak bangsa
Membuah belia bersemangat waja

NurPertunjuk

Rujukan: Norhidayat - Tinta Sastera NurPertunjuk

Tutup Lembaran Itu oleh Erdiah Samad

Tamat sudah kisah kita
Tertutup sudah lembaran cinta
Hakiskan segala rasa yang ada
Kerana takdir menentukan segalanya

Maafkanku harus pergi
Meninggalkan segala isi hati
Sungguh tak sanggup lagi
Meniti perjalanan yang sepi

Bulan, katakan dia bukan untukku
Bintang, itlakan dia bukan satu dalam seribu
Mentari, yakinkan dia takkan lagi ku buru
Langit, kentalkan semangat diriku

Gugur sudah dedaun-daunan
Yang telah mengukir seribu kenangan
Layu sudah bunga-bunga
Yang menyimpan saat kita bersama

Erdiah Samad

Lihat Apa oleh Khaziah Yem

Lihat pada hati...

Payah ..
tak siapa yg tahu apa yg tersirat di hati

Lihat pada wajah...

Payah...
Ramai org kini memakai topeng

Lihat pada laku...

Payah...
Kadang gerak tiada keikhlasan
Kadang gerak juga bertopeng kepura-puraan

Harus lihat pada apa sekarang

Jangan melihat, rasa saja ..

Kelak rasa memperlihatkan..


Khaziah Yem

Tanda Tangan oleh Noridah Kamari

pernahkah engkau terfikir

kala berdepan sehelai borang

begitu banyak inti bicara

insurans, kereta, kerja, rumah

dan apa sahaja yang perlu dipohonkan

tulislah nama penuh, tarikh lahir, alamat,

nombor telefon, kad pengenalan

oh! jangan lupa pangkah jantinamu

kemudian di sudut paling bawah

terlintang satu garisan bertitik

dalam kurungan dipinta tandatangan atau cap jari

yang dituntut sebenarnya adalah sebuah janji

mungkin juga sekerat dari diri


“Ini borangnya…”


dengan mata separuh kuyu

terlalu letih membaca meneliti

bait-bait kecil bak leteran tak berhenti

atau kemungkinan-kemungkinan

yang engkau sangka tidak mungkin terjadi

engkau tarikan pena yang tapaknya terlekat di hujung meja

atau lebamkan jarimu tinta hitam-kebiruan dan tekankan ia

jangan lupa tekan kuat-kuat

takut tak jelas tandanya

bukankah ukirannya unik untuk dirimu sahaja?

bak kuda belang yang tidak ada dua serupa

senanglah nanti bila kemungkinan itu

benar-benar memungkinkan diri


“Ini penanya…”


salurkan pena itu dengan cahaya hakiki

akan terpancar bayang sebilah pedang

tajamnya dengan hakikat kata

matikan fikir-fikir liarmu, usah duga batasan itu

lupakan timbangan putih darah dan merah kebenaran

itu soal atasan, engkau angguk sahaja bila disuruh

apa? engkau tak setuju, baca bait-bait kecil itu semula

tandatanganmu adalah tanda diri

dengan ia, sudah engkau korbankan lidah, mata dan telinga

hanya tangan dan kakimu sahaja bebas berhayun

mungkin juga otakmu sekali-sekala bila perlu


“Ini garisannya…”


kalau garisan itu mampu berdiri dan menari

mungkin sudah dipagari dirimu dengan bui terali besi

itu perhitungan dunia antara kita sesama manusia

yang digadai adalah usia nan sekerat

dalam limpahan darah dan keringat

kita bukan lembu yang dicucuk hidungnya

kita manusia ditambat dengan tandatangan


Noridah Kamari